F

Aku berjaya dalam caraku!

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Dalam hidup ini, semua orang ingin hidup berjaya. Makna berjaya terlalu subjektif. Mungkin kita rasakan orang yang tiada rumah besar, kereta mewah dan jutaan wang ringgit di bank, mereka itu tidak berjaya. Dan ada pula yang mengatakan orang yang punya segala kemewahan adalah orang yang berjaya. Adakah itu ukuran kemewahan yang sebenarnya? Adakah kejayaan seseorang itu memang ada ukurannya? Bagaimanakah ukuran sebuah kejayaan itu? Apakah medium yang digunakan untuk menentukan seseorang itu berjaya atau tidak? Haaaa.....best soalan ini, namun pada kacamata diri saya sebagai seorang wanita, isteri, dan ibu, kejayaan itu adalah bagaimana kita membentuk atau mencorakkan diri kita....sama ada nak jadi putih atau hitam, lurus atau bengkok dan seumpamanya. Bagi saya, saya memang telah berjaya. Kenapa saya kata begitu? Kerana saya dah miliki semuanya yang sepatutnya saya perlu ada, rumah, kereta, suami dan anak. Pada saya itu adalah kejayaan, namun di sebalik kejayaan itu, semuanya adalah bukan milik saya tetapi semua itu hanyalah pinjaman semata-mata daripada yang Maha Pencipta. 

Jadi istilah kejayaan itu sebenarnya hanyalah satu ungkapan, semua perkara yang saya dapat/perolehi  di dunia ini adalah bersifat sementara sahaja.......jadi tak perlulah saya mendabik dada mengatakan saya telah berjaya itu dan ini. Cukuplah sekadar saya merasai kejayaan itu dalam cara saya sendiri. Saya tidak perlukan juri untuk menilai akan kejayaan diri saya, tetapi saya lah yang harus menilai diri saya sendiri adakah saya telah berjaya. Kerana kejayaan saya mungkin tidak di kategori berjaya pada orang lain, dan mungkin kejayaan saya juga orang lain tidak nampak hakikat kebenarannya. Kebanyakan orang selalu membuat tekaan dari apa yang tersurat sebab mereka tidak mampu melihat apa yang tersirat. Biarlah apa penilaian orang, yang penting bersederhana dalam apa juga kejayaan  yang diberikan olehNya. Kalau kita mampu untuk memiliki sebuah kereta kancil, maka itulah kejayaan kita. Jadi pendek kata, kejayaan adalah cara bagaimana kita bersyukur dan mensyukuri atas apa jua yang kita miliki/perolehi. 



Namun, tidak boleh dinafikan bahawa di dalam hidup kita perlu ada cita-cita dan impian. Tidak boleh tidak, kita mesti ada matlamat dalam hidup kita. Kalau kita dah capai matlamat itu, maka itulah kejayaan kita. Selagi matlamat tidak dicapai, ada beberapa perkara yang tetap perlu kita lakukan. Kerana dengan matlamat itulah yang memacu diri kita untuk berusaha ke arah matlamat itu. Dan usaha itulah yang menjadikan hidup kita lebih berwarna-warni. Mahukah kita dipakai dengan pakaian yang mempunyai satu warna sahaja setiap hari? Ermmmm.....macam ne warna putih? Rasanya belum lagi kot...belum sampai masanya Smiley kan? 

Untuk berjaya menikmati kejayaan,  langkah pertama adalah menjaga kesihatan kerana orang yang sihat sahaja boleh menikmati kejayaan, dan orang sihat biasanya penuh tenaga dan motivasi, jadi mereka akan ada matlamat hidup yang realistik, bijak dalam membuat perancangan untuk mencapai matlamat mereka dan of course kerana itu mereka perlu sanggup bersusah payah bagi merealialisasikan matlamat mereka itu.  

Langkah kedua, didik, pimpin dan bantu diri anda dan orang lain juga. Kerana dalam hidup ini kita memang saling perlu memerlukan antara satu sama lain, umpama majikan dan pekerja, tiada majikan tiada pekerja dan begitulah sebaliknya. Manusia ni memang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Akan berjaya sesebuah negara, jika ada pemimpin dan rakyat yang sentiasa berganding bahu, yang sama memberi dan menerima apa jua bentuk kebaikan demi membangunkan sebuah negara. Jangan tunggu dan tengok sahaja, jangan bersikap kau kau aku aku....ianya tidak akan berjaya! Percayalah! Orang berjaya tidak akan membiarkan orang lain menderita. Oppssss....tak kan kita nak bantu orang aje dgn harta benda kita, gunung ditarah pun pasti akan botak kan? Betul lah tu....tapi bantulah semampu yang boleh....jangan jadi seperti Lebai Malang, sana tak dapat, sini berciciran, akhirnya kecundang diri....

Akhir sekali....... jaga disiplin....istiqamah dalam berusaha dan jangan cepat berputus asa.  Kerana Allah SWT memang tak suka pun pada hambaNya yang cepat sangat berputus asa. Dan mesti diingat bahawa jangan gelojoh dan suka mengikut jalan pintas untuk berjaya. Jika pendek jalannya, maka pendek jugalah kejayaan. Jangan terlalu memikirkan gambaran suatu kejayaan sebelum melakukannya, tetapi fikirkanlah "proses dan cabaran" ke arah kejayaan itu. Jangan berfikiran tidak teguh, cepat berubah dan terlalu tamak untuk berjaya dalam banyak perkara. Tumpukan pada yang satu sehingga benar-benar berjaya.  So, take action, dan beranikan diri membuat satu misi, visi dan aksi ke arah memperbaiki kualiti hidup sebagai seorang yang berwawasan dan juga sebagai seorang yang berjaya.  

Pendek kata kunci kejayaan adalah:
BERANI DAN BERSEDIA
* untuk gagal "kerana "kegagalan itu mengajar kita erti kejayaan
* mencipta suatu kelainan" supaya kita "lahir menjadi seorang perintis kejayaan
* mencari peluang" kerana di dalam hidup "peluang tidak mencari kita
* memastikan "diri kita cemerlang" sekiranya ingin mencapai sesuatu kejayaan

JANGAN
* mudah putus asa dan mengalah di saat awal
* peduli "apa orang fikir@kata kpd kita, tapi fikirkan "apa yang ingin kita katakan kpd orang

YA!
- katakan "ya" pada setiap perkara positif/ berfaedah yang ingin dilakukan di dalam hidup.
* Ya, saya yakin saya PASTI berjaya
* Ya, saya mesti MENDISIPLINKAN DIRI untuk berjaya

Tapi ingatlah dalam kita  mengejar kejayaan hidup didunia ini kita janganlah sampai lupakan kejayaan kita untuk hari akhirat juga. Sama-sama kita bersyukur untuk mengecapi apa saja kejayaan yang kita inginkan dan selamat beramal. Wallahu'Alam bissawab.
0 Responses

Sahabat2ku.......