F

Tidurlah awal dan bangun awal!



Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Sekadar berkongsi....Amalkan tidur yang cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi. 

Tidur nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi kini masalah tidur tidak cukup semakin meningkat, dengan beberapa kajian dan penyelidikan membuktikan seorang daripada setiap lima orang, berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 mengalami keletihan berpanjangan. Tidur ialah cara semula jadi yang membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu lain yang melakukan perkara sama. Bagaimanapun, ramai daripada kita menganggap tidur cuma satu komoditi. Kita tidak menghormati pengambilan tidur nyenyak mencukupi, menganggap ia seperti pengacau. Mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam tidak pernah dianggap penting.

Menurut kajian Universiti Warwick menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam sehari dan terganggu berisiko 48 peratus menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar. 

Lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur nyenyak yang cukup berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi, menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard. Kajian ke atas 784 pesakit, yang disiarkan dalam jurnal Hypertension, mendapati mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding yang tidur nyenyak yang panjang.

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah kesihatan lain. Kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, memaksa jantung berdegup lebih pantas. Namun tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit termasuk kardiovaskular.

Satu kajian ke atas 472 pesakit obes, yang disiarkan dalam International Journal of Obesity, membabitkan peserta memakan 500 kurang kalori setiap hari, disertai senaman kebanyakan hari. Mereka yang tidur terlalu pendek atau terlalu lama kurang kehilangan berat badan dalam tempoh enam bulan.

Kita selalu disyorkan untuk tidur tujuh hingga lapan jam setiap hari, atau tidur lebih awal dan bangun lebih cepat. Namun entah kenapa, sukar sekali melaksanakan kebiasaan tidur yang teratur. Padahal, terlalu banyak hikmah yang boleh kita perolehi apabila tidur awal dan bangun awal antaranya:- 

Berat badan turun
Orang yang suka berjaga malam akan cenderung makan hingga larut malam, dan makan pun sebenarnya tidak kerana lapar. Ia memberi amaran bahawa makan lewat dari jam makan malam akan menyebabkan kalori disimpan di dalam tubuh. Di samping itu, apabila anda ingin menikmati makanan tertentu pada malam hari, biasanya anda akan melewatkan sarapan pada esok harinya. Akibatnya tenaga anda akan berkurangan dan cenderung akan makan berlebihan pada siang harinya.

Tidur lebih mudah
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa kebiasaan tidur larut malam,boleh menyebabkan insomnia. Selain jadi lebih susah untuk tidur, anda juga menjadi lebih sukar tetap dalam keadaan tidur. Sangat tidak menyenangkan bukan, ketika anda terbangun pada malam hari dan mengalami kesukaran untuk kembali tidur?

Lebih produktif pada pagi hari
Anda boleh saja mengaku sudah biasa berjaga, namun tak seorang pun diprogramkan secara biologi untuk berjaga hingga larut malam. Dengan tidur lebih cepat, anda pun akan bangun dengan keadaan segar dan dengan tenaga yang lebih tinggi. Keadaan ini tentu membuat anda mampu melakukan apa-apa aktiviti anda dengan lebih produktif.

Jantung yang lebih sihat 
Semasa tidur, manusia yang mempunyai kadar tekanan darah yang normal akan mengurangkan dalam 10-20% kadar denyutan jantung. Para penyelidik di Misao Health Clinic di Gifu, Jepun, mengatakan bahawa sukarelawan dalam sebuah kajian yang baru tidur setelah lewat tengah malam diketahui mempunyai pengerasan pembuluh darah daripada mereka yang terbiasa tidur lebih awal. Sekadar info, pengerasan pembuluh darah arteri merupakan salah satu gejala awal penyakit jantung.

Lebih bertenaga
Jadi, apa lagi.....dapatkan tidur yang berkualiti, ianya amat penting untuk tubuh badan kita. Tidur yang berkualiti menjadikan sistem pertahanan badan menjadi lebih kuat. Bahagian otak dan organ-organ dalam badan yang lain akan berfungsi secara optimum. Bila tidur cukup, kita akan jadi ceria, bertenaga. 

Antara cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan tidur yang cukup :-
1. Tidur mengikut waktu yang sama setiap hari. Jangan ubah waktu tidur anda kerana boleh mengganggu kita mendapatkan tidur yang cukup.
2. Lakukan senaman yang kerap dan amalkan pemakanan yang seimbang setiap hari.
3. Atasi setiap masalah dengan profesional. Belajar menangani tekanan.
4. Pastikan persekitaran tempat tidur sentiasa kemas, selesa. Pencahayaan bilik tidur yang sesuai.
5. Jangan merokok, ambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi sebelum tidur.
6. Tidur dengan posisi yang betul. Jangan tidur melentang, meniarap dan mengiring ke kiri. Tidur mengiring ke kanan dengan kaki dibengkokkan sedikit sambil mengepit bantal di tengah-tengahnya merupakan posisi tidur yang terbaik.
7. Gunakan bantal yang keras bagi menyokong bahu.

Dan akhir sekali cara tidur yang dianjurkan adalah dengan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda tidur dengan berbaring ke kanan menghadap kiblat dan baginda meletakkan tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan.

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidur, maka berwudhuklah seperti wuduk kamu untuk solat kemudian berbaringlah ke sisi sebelah kanan.”

Tidur juga boleh menjadi suatu ibadah jika kita meniatkannya dengan betul. Baca doa sebelum tidur. Niatkan tidur kita adalah untuk merehatkan badan dan fikiran kita serta memulihkan kekuatan agar dapat bangun kembali untuk beribadah kepada Allah. InsyaAllah tidur kita akan diberkati dan mendapat pahala dari Allah.

Sebagai kesimpulan, jaga tidur kita dengan mendapatkan tidur yang secukupnya supaya dapat memberikan kesihatan yang baik demi kebahagiaan dalam hidup. Manfaatkan waktu tidur yang kita ada dengan sebaik-baiknya!
0 Responses

Sahabat2ku.......