F

Nikmati Masa yang ada sebaik-baiknya!



Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Hari berganti hari, minggu berganti minggu,bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, dan begitulah seterusnya kehidupan kita di dunia ini. Usia masih juga meningkat, tak akan pernah turun kembali, wajah yang cantik, kelihatan kedutan di sana sini, biarpunlah ditempekkan dengan bedak tebal....ianya tidak dapat menutup akan hakikat kebenaran usia kita. Kalau pun orang lain tidak tahu akan usia sebenar kita, kita sendiri tahu akan kebenaran hakikat itu. Itulah permainan kehidupan di pentas dunia ini. Semuanya hanyalah sebuah perjalanan yang pasti semua orang akan tempuhi. Dalam pelbagai cara dan situasi. Masa memang bergerak pantas, meninggalkan kita kalau kita lalai, namun kita tetap boleh bergerak seiring masa seandainya kita bijak mengatur masa.

Sebagai insan yang peka kepada hakikat masa itu usia, akan mengisi masa  sepenuh-penuhnya dengan amal soleh dan kebajikan, supaya tiada masa yang terbuang dengan percuma. Setiap saat sangat bernilai, maka janganlah dihabiskannya kecuali untuk sesuatu yang bernilai. Jika kita mampu untuk mengisi masa dengan amal ibadah yang berat, ibadah kebajikan yang ringan dan kecil sedang menunggu untuk mendapatkan sedikit masa daripada kita. 

Tanyakan pada diri, adakah kita menggunakan masa yang telah diberi dalam menjalani kehidupan seharian sebagai seorang hamba pada jalan yang diredhai oleh Allah? Atau sebaliknya? 
Jika jawapannya "ya"........ Alhamdulillah, terus istiqomah. Jika tidak...mulakan sekarang masih belum terlewat lagi...... kerana tiada istilah terlewat dalam beramal apatah lagi amalan-amalan kita kepada Allah, Rasul dan manusia. Justeru, bagi menyelamatkan masa pada diri kita, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:-

  • Uruskan masa dengan berjaya dengan menggunakan masa yang ada dengan baik.
  • Beriman keapada kebenaran Islam dengan menegakkan perinsip keimanan di atas enam rukun, iaitu iman kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab-kitab, hari Akhirat dan qada serta kadar.
  • Beramal soleh dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah, sama ada yang berupa kewajipan `aini atau kifa`i.
  • Berpesan-pesan dengan dengan kebenaran, sebarkan kebenaran di mana-mana jua anda berada.  Bimbinglah orang jahil dan tunjuklah jalan keapada orang yang mencarinya.
  • Berpesan-pesan dengan bersabar kerana dunia tempat menguji, tiada perkara yang diberi dengan selamat dan percuma, semuanya ada risiko sekalipun berbeza.  Hanya kesabaran jua yang menjadi penawar hidup di dunia yang penuh dengan bala dan ujian.
Demi masa......sesungguhnya manusia memang suka lalai dan bertangguh-tangguh, terutama akan dua nikmat ini iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.  Lalai itu adalah penyakit dalam jiwa manusia.  Ianya menghilangkan rasa sayang kepada masa.   Jika dibiarkan, semakin hari ia akan semakin menghakis kesungguhan kita untuk memperhambakan diri kepada Allah, bahkan ia turut merosakkan kesungguhan kita dalam ibadah-ibadah lain juga. Dan penyakit ini akan lebih  parah bila mana kita lalai, tetapi kita tidak sedar yang kita sedang lalai. Maka, sebab itu Allah hantar peringatan dalam bentuk yang pelbagai. Tinggal lagi kita sedar atau tidak saja itu sebenarnya adalah peringatan dari Allah supaya kita mula duduk dan muhasabah diri. Jika manusia peka kepada masa sesingkat ini, nescaya dimanfaat sepenuhnya masa yang ada kerana menyedari kerugiannya adalah kerugian umur yang hanya sekelip mata.

Begitu juga sikap suka bertangguh-tangguh. Ermmm....kejap lagi lah aku solat, kejap lagilah aku buat keje tu.... Kejap, kejap dan kejap! Sikap ini juga merupakan pengancam masa dan pembunuh usia, namun tidak ramai orang peka,  bahkan begitu ramai orang yang suka menangguh-nangguh kerja hingga ke saat-saat akhir, sekalipun berbagai-bagai kerugian di luar jangka boleh berlaku pada saat-saat yang ditangguhkan itu. 

Semoga kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi....sampaikanlah apa jua pesanan yang baik dan benar dan terus bersabar menyampaikan pesanan itu demi memenuhi masa hidup kita dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah.
0 Responses

Sahabat2ku.......