F

Peti Sejuk Penyelamat atau sebaliknya!

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Peti Ais Penyelamat atau pelindung makanan?
PETI sejuk dikatakan pemudah kerja setiap keluarga pada zaman ini. Ia banyak memudahkan kerja, menjimatkan masa, tenaga dan wang. Peti sejuk merupakan tempat khas untuk menyimpan makanan bagi mengekalkan kesegarannya namun pengabaian dalam penjagaan yang sewajarnya akan memberi masalah kesihatan kepada anda sekeluarga.  Ia juga dikatakan penyelamat daripada melakukan pembaziran. Amalan penyejukan yang kurang baik boleh menyebabkan makanan menjadi rosak dan menghasilkan bau, rasa dan tekstur yang tidak menyenangkan. Apa2 pun anda perlulah mengenali peti sejuk anda..... Bacalah!

Lebihan makanan memang sentiasa memenuhkan peti sejuk. Ketika membuat pembersihan, ada yang mendapati ada makanan yang disimpan sudah tamat tempoh, berkulat mahupun berubah bentuknya. Ini berlaku kerana ketika hendak menyimpan makanan itu kita selalu menyangka, peti sejuk adalah penyelamat dan pelindung makanan terbabit.



Benarkah peti sejuk penyelamat dan pelindung makanan kita? Berapa lama lebihan makanan boleh disimpan di dalam peti sejuk? Bolehkah kita menikmati sayur dan lauk-pauk semalam pada keesokan harinya?





Berikut adalah perkara-perkara yang harus dititikberatkan dalam memastikan peti sejuk anda menjalankan fungsinya dengan baik.
Jangan memperjudikan kesihatan diri dan sekeluarga hanya semata-mata kerana kita sangat mempercayai peti sejuk. Tahukah anda, kita sebenarnya tidak boleh menyimpan makanan yang dimasak di dalam peti sejuk lebih daripada empat hari? Tidak kira ia sekadar sayur, nasi, ikan, daging ataupun puding.

Ini kerana walaupun kita menyimpan lebihan makanan itu di dalam peti sejuk, tidak bermakna makanan itu tidak menjadi rosak. Bakteria membiak perlahan di dalam suhu sejuk tetapi ia masih ada. Ia seperti memandu laju ataupun memandu perlahan ke destinasi yang sama. Perjalanannya tetap ada cuma cepat atau lambat saja sampai ke tempat yang dituju.

Untuk menyelamatkan makanan selama yang boleh, kita kena memastikan makanan yang hendak disimpan ke dalam peti sejuk dimasukkan dalam masa dua jam selepas ia dimasak.

Ada makanan yang rosak lebih cepat daripada yang lain. Mayonis contohnya, mudah rosak dalam masa dua bulan walaupun berada di dalam peti sejuk selepas botolnya dibuka. Makanan bayi juga cepat rosak walaupun baru sehari disimpan. Jadi pastikan setiap botol yang sudah digunakan ditandakan tarikhnya supaya ia tidak memudaratkan keluarga.

Sangat berbahaya apabila kaedah perubahan rupa dan bau tidak dapat digunakan bagi menentukan makanan itu masih elok atau tidak. Banyak makanan seperti mayonis, makanan bayi dan piza masih kelihatan cantik, tidak berbau dan rasanya sedap walaupun sebenarnya ia sudah rosak.

Sangat elok jika kita mempunyai perasaan risau dengan tahap keselamatan makanan itu kerana sekiranya kita sentiasa menganggap ia masih selamat, dikhuatiri kita mudah mendapat keracunan makanan.

Untuk memastikan makanan boleh disimpan lebih lama, boleh saja menyimpan ia di bahagian dingin beku. Makanan yang didingin beku boleh tahan beberapa hari lebih lama daripada di tempat sejuk biasa.

Suhu di dalam peti sejuk pula mesti kekal antara 33 hingga 40 darjah Fahrenheit (0.5 hingga 4.4 darjah Celsius). Bagaimanapun, bukan semua bahagian di dalam peti sejuk mampu mengekalkan suhu sebegitu. Semakin ke dalam, semakin sejuk suhunya berbanding di bahagian luar berdekatan pintu.

Jadi, pastikan meletakkan makanan seperti telur, susu, keju dan lebihan makanan lain di bahagian yang lebih dalam. Letakkan makanan yang tidak perlu suhu sejuk seperti air di bahagian depan.

Lebihan makanan hanya boleh disimpan di dalam peti sejuk selama empat hari kerana ia mengurangkan risiko terkena keracunan makanan. Sekiranya anda rasa tidak mungkin menggunakannya semula dalam masa empat hari, dingin bekukan segera.

Keracunan makanan dapat dielakkan sekiranya kita memasak dan menyimpannya dengan cara yang betul. Paling penting, makanan seperti daging, ayam, ikan, susu dan telur tidak dibiarkan berada di dalam suhu bilik (32 darjah Celsius) lebih daripada sejam.

Makanan yang tidak melalui proses masakan seperti salad dan sandwic harus dimakan segera ataupun dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi meminimumkan pembiakan bakteria.

Sebelum memakan lebihan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk, panaskan ia di atas dapur atau ketuhar. Periuk api perlahan atau penghidang makanan yang mempunyai pemanas tidak digalakkan untuk memanaskan lebihan makanan daripada peti sejuk.

Jangan simpan terlalu penuh. Peti sejuk yang penuh akan mengakibatkan peredaran udara dalam peti sejuk tidak dapat mengalir dengan sempurna lalu menaikkan suhu peti sejuk anda. Ini akan menyebabkan kulat dan bakteria mula membiak.

Pencemaran lintang - Pencemaran lintang membawa maksud pencemaran yang berlaku dari bekas/ makanan yang tercemar kepada bekas/makanan yang terpelihara. Sebagai contoh, membiarkan makanan yang telah berkulat berada dalam peti sejuk akan menyebabkan kulat tersebut merebak ke bekas/ makanan yang lain. Gunakan bekas yang bertutup seperti beg plastik atau kerajang aluminium untuk mengelakkan hal ini terjadi. Keluarkan bekas/makanan yang telah tercemar dari peti sejuk anda.

Simpan dengan betul - Peti sejuk anda mempunyai ruang yang ditetapkan untuk menempatkan makanan-makanan yang tertentu. Sila guna ruang yang disediakan. Letakkan makanan basah seperti ayam/daging di bahagian sejuk beku dan sayur-sayuran/ buah-buahan di ruang khasnya. Rak teratas adalah sesuai untuk menempatkan makanan seperti keju dan telur. Simpan makanan yang telah masak di bahagian tengah peti ais. Proses sejukbeku dan cairbeku yang berulangkali boleh menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma. Habiskan jus buah-buahan anda dalam tempoh 6jam walaupun berada dalam peti sejuk.

Bersihkan dan nyahbekukan peti sejuk anda dengan kerap. Ramai yang menganggap peti sejuk tidak perlu dibersihkan dengan kerap dengan alasan dikhuatiri meningkatkan penggunaan elektrik. Peti sejuk hendaklah dibersihkan dalam dan luar. Gunakan soda bikarbonat atau air suam untuk mengawal bau. Buang air yang bertakung dibahagian bawah atau belakang peti sejuk sekurang-kurangnya seminggu sekali. Jika peti sejuk anda rosak atau terputus bekalan elektrik, pastikan pintu peti sejuk sentiasa tertutup untuk memastikan peti sejuk anda kekal sejuk dalam tempoh 4 jam.

Supaya anda tidak perlu menyimpan lebihan makanan:
Rancang jadual pemakanan supaya tidak membazir. Amalkan memasak lauk yang ringkas, bukan pelbagai lauk kerana anda akan rambang mata ketika memakannya.

Selalu sangat nasi dimasak berlebih-lebihan! Latih diri dan keluarga supaya mengurangkan pengambilan nasi.

Sekiranya mengadakan majlis makan-makan, pastikan anda sediakan bekas dan pembungkus supaya makanan boleh diagihkan kepada tetamu bagi dibawa pulang.

Pastikan jumlah sebenar tetamu yang datang. Suruh mereka mengesahkan kehadiran dan beritahu mereka anda perlu berbuat demikian demi penyediaan makanan dan tidak mahu mengamalkan pembaziran yang dilarang agama.

Apabila mengajak tetamu datang, pastikan anda tahu apa kegemaran mereka dan sebaliknya. Jangan masak mengikut selera sendiri, sebaliknya utamakan tetamu. Ini supaya makanan dapat dinikmati bersama.

Periksa peti sejuk setiap minggu supaya lebihan makanan yang sudah tamat tempoh segera dibuang.
1 Response
  1. untuk peti sejuk ni, sebenarnya produk keluaran Tupperware memang membantu. Dari segi BPA free, cantik dan sangat pratikal.
    www.naltupperware.com/blog


Sahabat2ku.......