F

Ucapan salam suburkan perasaan muhibah

Islam galakkan umat perkukuh perpaduan tanpa mengenal bangsa, keturunan

ISLAM meletakkan perkataan 'Assalamualaikum' sebagai ucapan rasmi bagi umatnya ketika di awal pertemuan atau di awal perbualan. Walaupun ucapan 'Assalamualaikum' kedengaran ringkas, perkataan itu merangkumi segala falsafah kesejahteraan.

Ia juga adalah salam persaudaraan antarabangsa tanpa mengenal bangsa dan keturunan. Apa juga bangsa tidak dapat mengubah ucapan salam itu kepada bahasa mereka, malah terus mengekalkannya dengan bahasa asal (bahasa Arab).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ucapkanlah salam kepada orang yang engkau kenal dan juga tidak kenal.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Hadis itu menunjukkan Islam menggalakkan umatnya supaya sering melafazkan ucapan salam kepada saudara mereka tanpa membezakan warna kulit, bangsa, keturunan, pangkat dan darjat serta tidak mengira sudah mengenali antara satu sama lain atau tidak.


Galakan demikian adalah semata-mata untuk memupuk perasaan muhibbah dan kasih sayang sesama Islam bagi mewujudkan kesatuan yang erat, perpaduan kukuh dan perhubungan rapat.


Ucapan salam dilafazkan oleh seseorang sama ada ketika berjumpa saudaranya di tengah jalan, pasar, perhentian bas, pejabat, sekolah atau di mana saja.

Seseorang yang hendak berpisah dengan saudaranya atau meninggalkan sesuatu majlis juga turut dituntut mengucapkan salam sebagai ucapan perpisahan kepada individu atau kumpulan yang ditinggalkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Andainya kamu hendak memasuki sesuatu majlis, maka ucapkanlah salam dan berikanlah salam sekali lagi apabila kamu bangun meninggalkan majlis.”

Ucapan salam juga sunat dilafazkan ketika hendak memasuki masjid, rumah sendiri atau rumah orang lain, walaupun tidak ada orang di dalamnya. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Ucapkanlah salam sewaktu memasuki rumah untuk diri kamu sendiri sebagai doa selamat, mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat kurniaan yang baik lagi diberkati kepada kamu.”

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya.” (Surah An-Nur, ayat 27)

Ucapan salam mestilah dengan lafaz ‘Assalamualaikum’ yang bermaksud kesejahteraan ke atas kamu dan menjadi kewajipan pula kepada penerima salam menjawab yang bermaksud kesejahteraan ke atas kamu juga.

Salam bukan saja terhenti kepada orang yang masih hidup, malah orang sudah mati juga wajar diucapkan salam kerana ucapan salam itu sebagai satu doa kepada mereka. Dalam konteks ini, dapat digambarkan hubungan silaturahim sesama Islam tidak akan putus walaupun sudah meninggal dunia.

Memberi salam hukumnya sunat, manakala menjawabnya adalah wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).” (Surah An-Nisa, ayat 86)

Menjawab salam dalam majlis keramaian adalah fardu kifayah, iaitu memadai hanya seorang atau sebahagian yang hadir menjawabnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesuatu kumpulan yang lalu di suatu tempat dan mereka menemui orang Islam, maka memadai seorang daripada mereka mengucapkan salam. Demikian juga sesuatu kumpulan dalam majlis andainya ada orang memberi salam kepada mereka, maka memadailah seorang saja antara mereka yang menjawab.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Menjawab salam dikirimkan orang jauh juga wajib dijawab. Ulama terkenal, Abi Zakaria Yahya mengulas: “Apabila seseorang mengutuskan salam kepada seseorang lain, maka si pembawa hendaklah berkata: Si fulan mengucapkan (mengirimkan) salam kepada anda, penerima hendaklah menjawab segera dengan berkata: “Padamu dan padanya juga kesejahteraan).”

Berhubung perkara itu, Rasulullah SAW pernah didatangi seorang lelaki yang menyampaikan ucapan salam daripada bapanya, maka Rasulullah SAW spontan menjawab: “Kesejahteraan juga ke atas kamu dan bapa kamu.”

Pada dasarnya, hukum memberi salam itu sunat, tetapi dalam beberapa ketika dan keadaan hukum itu menjadi makruh seperti memberi salam kepada orang membuang air atau bersetubuh.

Makruh juga diucapkan salam kepada orang yang tidur, mengantuk, sembahyang, berada di bilik mandi dan sedang makan ketika mulutnya penuh makanan. Dalam keadaan itu, penerima salam tidak diwajibkan menjawabnya, malah haram jika sedang bersembahyang.

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azhar menerangkan dengan lebih lanjut mengenai hukum memberi dan menjawab salam. Ia dibahagikan kepada beberapa bahagian:

# Lelaki Muslim tidak dikenali sebagai fasik dan tidak melakukan bidaah, maka sunat memberi salam kepadanya dan wajib menjawab salam diberikan olehnya.

# Bagi perempuan dengan perempuan sama halnya seperti lelaki dengan lelaki, iaitu sunat memberi salam dan wajib menjawabnya.

# Bagi perempuan dengan lelaki pula, perlu dilihat kepada dua keadaan. Keadaan pertama, jika perempuan itu isteri, hamba atau mahramnya, maka hukumnya sama seperti biasa. Keadaan kedua, jika perempuan (bukan mahram), memilik rupa paras cantik dan boleh menimbulkan fitnah, maka tidak harus bagi lelaki memberi salam kepadanya dan demikian juga sebaliknya. Hukum menjawabnya pula tidak harus bagi perempuan dan makruh bagi lelaki.

# Bagi perempuan yang tua dan lemah serta ditakuti fitnah lagi, maka harus ia memberi salam kepada lelaki dan harus pula lelaki menjawabnya. Begitu juga sebaliknya.

# Seorang lelaki dibolehkan memberi salam kepada kumpulan yang ramai dan sekumpulan lelaki yang ramai harus juga memberi salam kepada seorang perempuan dengan syarat tidak mendatangkan fitnah bagi kedua belah pihak.

# Haram memberi salam kepada orang Yahudi dan Nasrani, demikian juga haram menjawab salam daripada mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu memulakan salam pada orang Yahudi dan Nasrani.” (Hadis riwayat Abu Hurairah) Sabda Baginda SAW lagi: “Apabila ahli Kitab memberi salam kepada kamu, maka jawablah: ‘waalaikum’.”

# Sunat memberi salam dalam majlis yang bercampur antara umat Islam dengan penganut agama lain dengan niat khusus ditujukan kepada orang Islam saja.

# Seperkara yang tidak patut dilupakan di sini ialah mengenai adab atau peraturan yang baik memberi salam. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang menunggang (kenderaan) mengucapkan salam terlebih dulu kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan kepada orang yang duduk dan pihak yang sedikit kepada kumpulan yang ramai.”

Sabda Baginda SAW lagi: “Orang yang kecil memberi salam kepada orang besar, orang yang berjalan kepada orang yang duduk dan kumpulan yang sedikit kepada kumpulan yang ramai.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dua hadis di atas, jelas kepada kita bahawa seorang anak perlu memberi salam terlebih dulu kepada bapanya, isteri kepada suaminya, murid kepada gurunya, pekerja kepada majikannya dan rakyat kepada pemimpinnya.

Andainya berlaku sebaliknya tidaklah pula sampai menjejaskan hukum memberi salam. Ada juga kes di mana kedua-dua belah pihak mempunyai kedudukan yang sama seperti dua murid yang sama-sama sedang berjalan.

Hikmah utama salam digalakkan kerana ia adalah amalan paling berkesan menyuburkan perasan muhibah antara satu sama lain seperti pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman sehingga kamu berkasih-kasihan. Sukakah kamu aku tunjukkan satu perkara bila kamu melakukannya, kamu akan menjadi berkasih-kasihan? Maka sahabat menjawab: Ya. Rasulullah SAW menyambung: Ucapkanlah salam sesama kamu.” (Hadis riwayat bu Hurairah).

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20081205082813/Article/index_html
2 Responses
  1. Assalamualaikum....senang & suka dgn smua info yg telah diberikan....thanks.


  2. Assalamualaikum...mizzblackbeauty...gembira kerana anda senang & suka dgn infonyer...moga memberi manfaat ya...jenguk2lah blog saya ni ya.


Sahabat2ku.......