F

Keindahan sistem ekonomi anjuran Islam

ISLAM menekankan empat sifat dalam bisnes iaitu kesatuan, keseimbangan, kebebasan dan tanggungjawab.Sekiranya keempat-empat sifat ini dilaksanakan sepenuhnya, maka ia adalah kemuncak kepada keindahan dan kesyumulan sistem ekonomi Islam yang tidak terdapat pada mana-mana ajaran.

Natijahnya ialah keberkatan hidup di dunia dan akhirat serta pengampunan daripada Allah s.w.t.

Disebabkan Islam menyusun sepenuhnya tatacara ekonomi yang perlu dipatuhi penganutnya tanpa sebarang kompromi, haram dan halal sesuatu perniagaan menjadi asas kepada sesuatu perniagaan yang ingin diceburi.

Islam menetapkan bentuk perniagaan, barangan dan perkhidmatan yang boleh dan tidak boleh diperniagakan.

Sesuatu yang menimbulkan syak dan syubhat perlu ditinggalkan. Manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah tidak dibenarkan bersifat individualistik kerana semua kekayaan dan kemewahan adalah milik Allah sahaja.

Setiap sen dan kekayaan kita adalah milik Allah kerana rezeki itu datang daripadanya.

Kemewahan dan kekayaan perlu dikongsikan bersama terutama dengan orang miskin melalui zakat dan sedekah.

Manusia hanyalah pemakmur dan pembangun di muka bumi sahaja dan ia dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.” (Hud:61).

Sistem ekonomi Islam berbeza daripada kapitalisme, sosialisme, mahupun negara kebajikan atau welfare state.

Orang miskin dalam Islam tidak dilihat sebagai kelompok yang malas dan yang tidak suka menabung, ketinggalan atau tidak ingin maju ke hadapan. Prinsip Islam Hadhari yang diilhamkan Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa Islam begitu komited kepada pembangunan dan kemajuan umat Islam dalam ekonomi dan fiskal negara.

Sekiranya semua Islam Hadhari diterjemahkan secara bijaksana maka asas ekonomi negara akan menjadi kukuh dan dikagumi masyarakat dunia.

Sepuluh prinsip yang dimaksudkan adalah:

- Keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi.
- Kerajaan adil dan beramanah.
- Rakyat berjiwa merdeka.
- Penguasaan ilmu pengetahuan.
- Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif.
- Kehidupan berkualiti.
- Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
- Keutuhan budaya dan moral.
- Pemeliharaan alam semula jadi.
- Kekuatan pertahanan.

Jelas di sini berdasarkan kepada prinsip Islam Hadhari, etika bisnes Islam amat menjunjung tinggi semangat saling percaya, kejujuran, tolong menolong, amanah dan keadilan serta semangat kekeluargaan.

Misalnya larangan riba adalah bersifat kejam dan menekan pihak yang lemah serta memerlukan.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)

Sejarah dan tradisi Islam membuktikan bahawa sememangnya Islam adalah agama yang menggalakkan perdagangan, perniagaan atau bisnes.

Satu sistem perniagaan Islam sudah dilaksanakan sejak ribuan tahun dulu kerana ia suatu pekerjaan yang amat disukai dan digalakkan Islam.

Allah menjanjikan pahala dan ganjaran kebaikan yang banyak kepada peniaga yang ikhlas dan jujur dalam perniagaannya.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sahabat seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan ramai lagi adalah tokoh korporat Arab yang amat hebat dan dihormati sebelum dan selepas mereka memeluk Islam.

Mereka menjadi tonggak dan penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi umat Islam ketika itu melalui dana zakat, infa’ dan derma.

Peniaga juga tidak dibenarkan menipu dan mengurangi kadar sukatan dan timbangan.

Rasulullah sering mengingatkan peniaga supaya memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Ini dapat dilihat kepada pelaksanaan muamalah melalui pembelian secara hutang dan bayaran secara ansuran serta tangguh.

Kemudahan kredit ini adalah sebenarnya satu kelebihan kepada yang berhajat dan tidak menekan mana-mana pihak.

Kini kita dapat bermuamalat secara tunai dan hutang mengikut kemampuan kita.

Medium pembayaran lain seperti melalui penggunaan kad kredit, potong gaji bulanan, bayaran di kaunter dan sebagainya tidak bercanggah dengan syariat Islam bertujuan memudahkan lagi proses pembelian dan dapat merancakkan perkembangan ekonomi serta fiskal negara.

Dalam hubungan ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang susah, mahupun dilangsaikan hutang itu, Allah akan memayungkannya di hari kiamat di bawah bayangan ‘arasyh-Nya’.

Sesungguhnya membangunkan prasarana ekonomi Islam dengan penuh etika adalah ibadah dan perkara yang sangat dituntut agama.
0 Responses

Sahabat2ku.......