F

Kekufuran bawa kerugian dunia dan akhirat


SELAGI manusia berpegang teguh dengan kitab suci al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, mereka tidak akan `sesat' walaupun Baginda telah tiada. - Gambar hiasan

SYEIKH Sya'rawi berkata : "Sesungguhnya risalah yang dibawa Rasulullah SAW amat jelas. Inilah yang termaktub dalam kitab Samawi. Maka apakah yang menjadikan kamu hai ahli Kitab, tidak beriltizam jalan kebenaran sedangkan kamu menjadi saksi? Sudah pasti telah disentuh kepada mereka syubhah. Sesungguhnya Allah tidak lupa apa yang mereka lakukan." Ayat 100
Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Sebab Nuzul
Mengikut riwayat Zaid bin Aslam kerana adanya peristiwa kegemparan besar di antara orang-orang Ansar. Iaitu orang-orang Yahudi (seperti Syas bin Qis) cuba memecahbelahkan persatuan dan kerukunan antara orang-orang Ansar Madinah. Mereka itu telah mengungkit sejarah permusuhan dan peperangan kedua-dua suku orang-orang Ansar yang terdiri dari suku al-Aus dan al-Khazraj yang terjadi kira-kira 120 tahun sebelum kebangkitan Nabi SAW yang lalu. Kejadian membangkitkan permusuhan antara suku-suku tersebut telah menjadikan kegemparan besar hampir mengakibatkan pertumpahan darah di antara orang-orang Ansar.
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibnu Kathir berkata : "Allah memberi ancaman dan amaran kepada hamba-hamba-Nya yang beriman supaya jangan mentaati golongan ahli Kitab yang berhasad dengki terhadap orang yang beriman."
ii. Ibnu Jauzi berkata : "Kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat ini ditujukan kepada Aus dan Khazraj. Zaid bin Aslam berkata dikehendaki kumpulan ialah Syas bin Qis al-Yahudi dan sahabat-sahabatnya."
iii. Syeikh Sya'rawi berkata : "Orang kafir sentiasa tidak tenang dengan ayat-ayat Allah melainkan cuba menggugat orang beriman pada agama mereka."
iv. Al-Maraghi berkata : "Wahai orang yang beriman, jika kamu mendengar sesuatu perbicaraan yang menimbulkan fitnah daripada golongan Yahudi, lalu kamu berbicara lemah lembut dengan mereka dan bersetuju dengan apa yang diserukan kepadamu nescaya kamu akan kembali menjadi kafir semula padahal sebelum ini kamu sudah beriman. Kekufuran menyebabkan kerugian di dunia dan akhirat. Di dunia ialah timbulnya permusuhan dan kebencian serta berkobarnya fitnah, sehingga menimbulkan peperangan. Di Akhirat tidak perlu diberi penjelasan lagi."
Ayat 101
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibnu Kathir berkata : "Berpegang dengan Allah, bertawakal kepada-Nya adalah pokok serta asas dalam hidayah, di samping itu ia menjadi bekalan untuk menjauhkan kesesatan dan wasilah kepada petunjuk."
ii. Ibnu Qutaibah berkata : "Siapa yang enggan atau menegah iaitu yang benar-benar berpegang dengan Allah sudah pasti mendapat petunjuk ke jalan yang lurus."
iii. Al-Maraghi berkata : "Barang siapa berpegang teguh dengan agama Allah SWT, kitab-Nya, dan Rasul-Nya nescaya dia akan memperoleh petunjuk ke jalan yang lurus. Ibaratnya kamu berkata kepada temanmu: "Jika aku mendatangi si fulan, tentulah aku akan gembira kerana ketika itu dia sedang berada di ambang kebinasaan dan perasaan kebimbangan tidak mempengaruhinya lagi."
iv. Qatadah berkata : "Pada ayat ini disebutkannya dua perkara yang dapat mencegah seseorang daripada terjerumus ke lembah kekafiran. Pertama, dengan cara membaca kitab Allah yang benar. Kedua, perutusan rasul kepada mereka. Meskipun Rasulullah SAW telah pergi menghadap Allah SWT, namun al-Quran tetap kekal sampai tibanya Hari Kiamat."
v. Al-Sonhadji berkata : "Pertanyaan yang dikemukakan oleh Allah dalam ayat ini merupakan "Istifham Ta'ajub dan Taubikh" ertinya pertanyaan yang mengandungi rasa kehairanan dan celaan ditujukan kepada sahabat-sahabat Nabi kaum Ansar daripada suku kaum al-Aus dan al-Khazraj yang disebutkan kisahnya dalam huraian ayat yang lalu."
vi. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Penutup ayat ini memberi isyarat bahawa Rasulullah SAW akan meninggalkan mereka. Namun kesesatan tidak akan menyentuh mereka selama berpegang teguh dengan kitab suci al-Quran dan sunah Rasulullah SAW walaupun baginda telah pergi meninggalkan sekalian manusia."
Marilah kita berpegang teguh dengan ajaran Islam iaitu mengikut al-Quran dan sunnah Nabawiyah yang menjadi sumber utama bagi mencapai hidayat Allah. Inilah sebesar-besar nikmat. Semoga kita mencapainya. Amin.
Artikel: Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
0 Responses

Sahabat2ku.......