F

Musibah bukan Makna kita dizalimi

ADA manusia yang menyangka apabila Allah Taala menurunkan suatu musibah kepada dirinya, dia menganggap itu suatu petanda Allah mahu menghinanya. Ramai pula orang lain yang memusuhinya akan menuduh dengan pelbagai spekulasi.

Mereka akan berkata: “Oh, begitulah akibat yang menimpa orang yang zalim, Allah menghinanya.” Seperti tertulis dalam firman Allah Taala bermaksud:

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya, lalu memuliakannya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata: ‘Tuhanku memuliakanku’. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: ‘Tuhanku menghinaku’.” (Surah al-Fajr: Ayat 15 dan 16)

Lebih teruk lagi ada pula yang percaya bahawa penyebab musibah itu daripada kuasa hebat seorang manusia. Pernah diceritakan kepada saya ada seorang hamba Allah yang menziarahi masjid wali-wali di Indonesia, tiba-tiba sakit kononnya kerana dia tidak percaya kuasa ghaib di kubur wali itu. Lahawla wala quwwata illa billah, apakah yang mendatangkan sakit itu adalah wali? Sungguh kepercayaan karut sebegini mampu memusnahkan akidah.

Musibah yang menimpa anda bukanlah kerana buatan manusia yang memiliki kuasa atau ilmu tertentu. Ia hanyalah datang daripada Allah Taala bagi membawa khabar gembira bahawa Dia sentiasa merahmati anda.

Boleh jadi jika anda tidak disentuh musibah, anda akan cepat lupa dan tak perasan langsung dengan kewujudan Allah Taala dalam kehidupan anda. Jika anda merintih disebabkan hati yang hancur mengenangkan nasib, kemudian mengadu kepada Allah Taala dan percaya bahawa Dia akan menghapus luka itu dan menggantikan musibah itu dengan anugerah yang lebih baik, maka sesungguhnya saat seperti ini iman dan keyakinan anda kepada Allah Taala berada di atas kemuncak yang paling tinggi.

Tiada yang lebih menggembirakan Allah Taala melainkan suatu saat ketika Dia mendengar tangisan penyesalan dan keluhan orang yang mahu meminta pertolonganNya. Allah suka melihat hamba-Nya mengaku lemah dan tidak berdaya.

Allah juga menyukai hamba-Nya yang mengaku bahawa kekuatan dan kekuasaan itu hanya milik Allah SWT. Rancanglah sebaik mungkin, tetap tertulis, kuasa Allah saja yang menentukan nasib kita.

Antara adab ketika ditimpa musibah ialah:

- Percaya bahawa Allah Taala tidak sesekali akan menzalimi diri anda.

Jika manusia mahu menerima musibah itu umpama suatu teguran, dia tidak akan cepat melatah seraya berputus asa. Bahkan dia sanggup menerimanya umpama satu cambukan yang membangkitkan semangat bagi memperbaiki diri.

Allah SWT tidak sesekali menzalimi hamba-Nya. Ujian itu tujuannya adalah untuk membelai hati supaya lebih sensitif, peka dan waspada atas segala kesilapan yang dilakukan. Allah SWT sayang kepada anda dan mahu anda berada dekat di sisi-Nya ketika lemah dan perlukan pertolongan.

- Meyakini musibah itu menyimpan rahmat besar di sebaliknya.

Allah Taala akan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik dan pasti akan menghapuskan kesakitan dengan kegembiraan. Mungkin ketika anak kecil kita meninggal dunia, kita akan lebih menyayangi anak kita yang lain.

Allah SWT menggantikan kehilangan satu jiwa dengan menghidupkan jiwa anak kita yang lain dengan iman kerana kita menjaga dan mendidik mereka dengan lebih teliti. Saat sakit yang menghampirkan nyawa ke hujungnya kita tidak mengeluh menyalahkan Tuhan akan nasib malang menderita kesakitan yang teramat sangat, bahkan menelannya dengan reda atas ketentuan-Nya sambil mengingat kembali terlalu banyak nikmat Allah yang selama ini dikecapi.

Apabila kembali sihat, bertambahlah kesyukuran itu. Lantas kita melipatgandakan ibadat kerana tidak mahu kehilangan satu saat pun di sepanjang usia kita. Bukankah semua musibah itu boleh diterima sebagai rahmat? Bukannya seksaan dan kekejaman Tuhan?

- Banyak mengingat nikmat Allah yang sudah dirasai.

Ketika sedih eloklah kita membaca surah al-Duha yang akan menghapus rasa sedih dan putus asa. Nabi SAW pernah bersedih kerana terputusnya wahyu agak lama. Suatu hari Ummu Jamil, isteri Abu Lahab mencela Rasulullah SAW dengan katanya: “Nampaknya kawan kamu itu meninggalkan kamu dan memboikot kamu.” Lalu Allah Taala menurunkan surah Al-Dhuha dengan firman-Nya bermaksud:

“Tuhanmu tidak sesekali meninggalkanmu dan tidak pula membencimu.”

Mengapa kita berasa Allah meninggalkan dan membenci kita ketika musibah datang? Perasaan ini sebenarnya berasal daripada hasutan syaitan supaya kita berputus asa dari rahmat-Nya. Firman-Nya lagi dalam surah al-Duha yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu dari kehidupan dunia. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu kamu reda.”

Ayat ini seolah-olah memujuk kita supaya tabah dan menganggap kecil segala urusan dunia jika dibandingkan dengan akhirat. Ia juga menyuruh kita untuk yakin dengan janji Allah SWT yang akan menggantikan kesusahan dunia dengan kesenangan akhirat yang abadi.

Kemudian Allah SWT berfirman lagi dalam surah al-Duha bermaksud:

“Bukankah Dia mendapatimu sebagai anak yatim, lalu Dia melindungimu. Dia mendapatimu sebagai orang yang kehilangan arah lalu memberi petunjuk bagimu. Dan Dia mendapatimu sebagai orang yang serba kekurangan lalu mencukupimu.”

Hati kita pasti kembali disentuh dengan kalimah yang begitu menghiris perasaan. Betapa Allah SWT amat mengasihani diri yang tidak memiliki apa-apa ini. Jika boleh ditimbang yang manakah lebih banyak, musibah atau nikmat yang kita rasai di dunia ini?

Sungguh biadapnya lidah yang pernah berkeluh-kesah dan hati yang tidak mahu bersyukur di atas segala ketentuan-Nya.

- Segala sesuatu akibat daripada perbuatan tangan yang zalim.

Apakah dosa kita sehingga harus menerima musibah ini? Soalan sebegini bukan bermaksud tidak reda dengan ketentuan Allah SWT, tetapi lebih kepada sikap mencari keaiban diri dan mahu bermuhasabah untuk lebih mempertingkatkan iman dan amal salih.

Sudah pasti setiap sesuatu menyimpan hikmah di sebaliknya. Terpulang kepada diri sendiri bertanya, apakah menerima musibah sebagai suatu peringatan daripada Allah SWT atau langsung membutakan mata dan hati atas kesilapan yang pernah dilakukan?

Lidah boleh menafikan sekeras-kerasnya, tetapi hati dapat berasa di manakah salah silapnya. Hanya orang yang kuat imannya yang mampu menjawab setiap hikmah di sebalik setiap musibah. Tiada manusia yang lepas dari ujian hatta Nabi dan Rasul.

Bahkan Nabi dan Rasul menerima ujian yang jauh lebih berat dan tidak mampu dipikul oleh manusia biasa. Bukan bermakna ujian itu merendahkan iman seseorang, bahkan ia akan melonjakkannya ke tempat yang paling tinggi.

Berbahagialah orang yang diuji jika mereka reda dan sedikitpun tidak berubah hati kepada Allah Taala. Kita perlu membuktikan kepada Allah SWT bahawa diri ini tidak pernah berubah di dalam mencintai-Nya, biar senang ataupun susah.

- Artikel Dr Juanda Jaya - seorang pendakwah dari negeri Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
0 Responses

Sahabat2ku.......