F

Wanita banyak berjasa kepada Rasulullah

Ingin berkongsi artikel ini......Wanita ini mmg dimuliakan didalam Islam....Di rumah atau di tengah masyarakat bukan ukuran tinggi rendah atau mulia hinanya wanita. Bahkan, di mana saja dia berada, di situlah jalan untuknya membina taqwa. Kemuliaan seorang wanita diukur pada taqwanya. Wanita masih boleh menggenggam dunia, berjaya dalam kerjaya, menjadi ibu dan isteri yang solehah - sekaligus. Wanita masih boleh memiliki kedudukan, pangkat dan harta tanpa menyimpannya di dalam hati. Dan yg penting dalam apa juga yg kita lakukan sebagai wanita, moga kita mendapat keredhaan Allah S.W.T.....aminn....




Sejarah buktikan kelembutan semula jadi tak halang serikandi Islam tabur bakti
 

Oleh Amran Zakaria
bhnews@bharian.com.my
2011/07/21

ISLAM tidak sesekali bersikap diskriminasi antara gender dengan melebihkan dan mengurangkan peranan yang lain walaupun ada pihak menafikan sumbangan wanita dalam sejarah kebangkitan Islam sejak zaman Rasulullah SAW.
Ada beranggapan wanita hanya layak tinggal di rumah bagi menguruskan rumah tangga dan melayan suami saja. Mereka tidak dibenarkan menjenguk keluar dari jendela kehidupan. Alasannya mudah, Islam tidak menggalakkan mereka berbuat begitu demi memelihara kedudukan wanita.

Golongan wanita dijaga dengan baik oleh agama. Islam sama sekali tidak membenarkan sebarang penghinaan dilakukan terhadap mereka sama ada bertujuan menghina atau menzalimi mereka. Islam menuntut supaya wanita dilindungi, diberi pendidikan sehingga menguruskan perkahwinannya. 

Daripada Abu Said Al-Khudri, Baginda Nabi bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang membesarkan tiga anak perempuan, mendidik mereka, mengahwinkan mereka dan berbuat baik terhadap mereka, dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Yusuf al-Qardhawi, ulama dan tokoh pemikir Islam yang terkemuka, telah menulis mengenai kedudukan wanita dalam Islam dengan menyebut, Islam menghormati wanita, mengiktiraf keinsanan serta keupayaannya memikul tuntutan agama, tanggungjawab, kesaksamaan hukuman dan peluang memasuki syurga. 

Sebenarnya sifat kehalusan, kelembutan dan ketajaman perasaan mereka amat bernilai dan tiada tandingannya hingga ke akhir zaman dengan mengambil contoh peranan dimainkan oleh Ummu Salamah. 
Ummu Salamah dibawa Nabi saat perjanjian Hudaibiyah dibuat. Banyak sahabat tidak berpuas hati dengan perjanjian yang mereka rasa berat sebelah dan merugikan umat Islam. Namun Baginda tetap melaksanakan perjanjian itu. 

Melihat maklum balas sahabat, Rasulullah SAW berasa susah hati. Baginda menemui Ummu Salamah dan memberitahu sikap sahabat yang tidak mahu mencukur rambut dan kembali ke Madinah. Maka jawab Ummu Salamah, masalah itu boleh diatasi dengan mencadangkan Baginda Rasul memulakannya. 

Ummu Salamah yakin dan percaya sahabat Baginda yang lain akan mencontohi Nabi. Benar sekali, sahabat mencontohi Baginda Nabi dengan mencukur kepalanya lalu balik semula ke Madinah. Allah mengurniakan kelebihan terhadap wanita iaitu ketajaman firasatnya. 

Peranan dan sumbangan Siti Khadijah sebagai isteri dan wanita pertama juga tiada bandingannya hingga ke hari ini. Sebagai orang pertama menerima Islam, secara langsung menjadi teras kekuatan semangat kepada Rasulullah SAW. 

Siti Khadijah berperanan besar di sebalik kejayaan Rasulullah SAW menyebarkan Islam kepada puak Quraisy. Sebagai seorang isteri yang patuh dan setia, Siti Khadijah sentiasa di sisi Nabi dalam membantu Baginda hingga ke akhir hayatnya. 

Begitu juga dengan Barakah binti Tsa’labah bin Amru bin Hishan bin Malik bin Salmah bin Amru bin Nu’man al-Habasyiyah yang kemudian dikenali sebagai Ummu Aiman, wanita sentiasa bersama Nabi sejak dilahirkan hingga Baginda wafat. 

Jasa Ummu Aiman sangat besar kepada Baginda. Wanita inilah yang menjadi pengasuh Nabi dan sangat rapat dengan Baginda. Tidak harian Baginda menyebut Ummu Aiman sebagai ibu kedua setelah ibu kandung Baginda, Aminah binti Wahab. 

Walaupun Islam tidak menyamakan antara lelaki dan perempuan namun Islam tetap menghormati wanita dan mengangkatnya kedudukannya. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.” (Surah Ali-Imran, ayat 195) 

Sejarah merakamkan pembabitan wanita dalam melaksanakan tanggung jawab kebajikan, khidmat sewaktu perang, membantu keluarga serta perkhidmatan lain yang bersesuaian dengan imej dan keterampilan wanita Islam itu sendiri.

Pembabitan wanita pada zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai bidang menolak tanggapan bahawa wanita Muslim tidak perlu terbabit dengan aktiviti luar melainkan untuk tetap dan setia bersama keluarga sepenuh masa. Saidina Ali berkata: “Dada orang berakal itu adalah peti rahsianya.” 
0 Responses

Sahabat2ku.......