F

Tubuh dan Kepanasan yang melampau

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Cuaca di Malaysia memang panas sangat sekarang. Kepanasan matahari semakin terik terutama pada tengah hari. Ramai mengeluh cuaca sekarang semakin panas. Suka atau tidak kehidupan kita memang dipengaruhi oleh keadaan cuaca harian. Yang pasti kita jalani sahaja kehidupan kita dengan redho dan rasa bersyukur. Usah dikeluh-kesah. Malah kita patut lebih bersyukur kerana keadaan cuaca di Malaysia ni tak macam di Haiti, Aceh dan baru2 ni di Chile. Malapetaka gitu.

Menurut laporan Berita Harian....... Malaysia tidak dilanda kemarau sebaliknya sedang mengalami cuaca panas, kata Timbalan Ketua Pengarah (Strategi dan Teknikal), Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Dr Rosaidi Che Abas.

Beliau berkata, cuaca panas dengan suhu purata antara 34 dan 36 darjah Celsius di kebanyakan negeri di Semenanjung sekarang mengakibatkan keadaan kering mengikut tafsiran meteorologi. 

Nah...kita lalui semua ini dengan ikhlas dan banyak berdoa agar semua ini dapat diharungi dengan tabah.

Namun dalam pada itu... mestilah kita berhati2 dalam menghadapi situasi panas ini, terutama anak2 kecil kita di rumah. Peningkatan suhu keterlaluan boleh mengganggu fungsi badan, malah boleh sebabkan strok haba. Walaupun duduk di dalam ruang atau bilik hawa dingin, tekak masih terasa kering dan tidak mengurangkan suhu badan yang terasa panas, termasuk pada waktu malam.

Sedikit info utk dikongsi.....

Badan hilang upaya
Peningkatan suhu panas yang mendadak dan keterlaluan mengganggu fungsi sistem badan. Haba yang dijana pada badan akan bekerja keras untuk menghilangkan haba.

Biasanya, proses berpeluh dan penyejatan peluh memudahkan penyejukan badan. Namun, dalam suhu ekstrem melebihi 32.2 darjah celcius, jumlah haba yang dihasilkan melebihi kesan penyejukan penyejatan peluh.

Begitu juga, jika kelembapan mencapai 100 peratus, penyejatan peluh tidak lagi mungkin berlaku, dan badan kehilangan keupayaan untuk menghilangkan haba. Akhirnya suhu badan meningkat, membawa kepada penyahhidratan yang teruk.

Oleh itu, cuaca panas ini tidak boleh dipandang ringan dan kesihatan harus dijaga serta sentiasa terpelihara supaya tidak membawa akibat lebih buruk. Antara penyakit yang boleh menyerang akibat cuaca panas ialah sakit kepala, demam, batuk, selesema dan radang kulit seperti ruam.

Kepanasan melampau ini juga sudah pasti akan memberi impak dan menimbulkan masalah kulit, mata, selaran matahari, ruam panas, kekejangan otot, edema haba, sinkope haba, kelesuan haba dan paling serius ialah strok haba yang turut dikenali, sunstroke atau heat stroke.

Justeru, orang ramai dinasihatkan membataskan aktiviti di luar rumah atau bangunan bagi mengelak mereka terkena strok matahari atau haba yang boleh menyebabkan seseorang pengsan.

Kurangkan aktiviti di luar

Pastinya, ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya strok haba. Mungkin juga ada masih mencari jawapan, apakah kesan mudarat strok haba kepada kesihatan dan risiko yang bakal ditanggung jika individu itu berterusan terdedah cuaca panas ini.

Strok haba sebenarnya ialah sejenis bentuk hipotermia, keadaan suhu badan meningkat lebih daripada paras normal. Dalam erti kata lain, strok haba adalah penyakit berkaitan haba. Ia adalah satu kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa disebabkan kegagalan peraturan suhu badan (thermoregulation) mekanisme.

Tidak seperti penyakit haba yang lain, strok haba dicirikan oleh ketinggian melampau suhu badan (hyperthermia) dan berkaitan pusat disfungsi sistem saraf dan disfungsi organ.

Strok haba tidak sama seperti serangan strok, sebaliknya ‘strok’ adalah istilah umum digunakan untuk menggambarkan aliran oksigen berkurangan kepada kawasan otak.

Dalam keadaan cuaca yang teruk seperti Asia Barat terutama di Oman, badan kita melaksanakan pelbagai jenis fungsi yang kemudian membebaskan radiasi yang disebabkan oleh ‘aktiviti metabolik’ melalui peluh atau pembuangan haba daripada kulit. Ini adalah satu cara badan dapat mengekalkan suhu normal. Ketidakseimbangan dalam suhu badan akan mengakibatkan strok haba yang juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Semua berisiko
Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zainal Ariffin Omar, menjelaskan strok haba adalah keadaan kesihatan atau penyakit berkaitan cuaca panas termasuk keletihan dan kelesuan akibat daripada panas.

Beliau yang juga Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, berkata setiap individu berisiko menghadapi masalah kesihatan terutama yang berisiko ada penyakit tertentu.

“Malah mereka yang bekerja sebagai buruh, peladang, ahli sukan dan tentera serta kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah mudah diserang strok haba. Begitu juga dengan mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan kelenjar tiroid, risiko berkali ganda terdedah kepada gejala berkenaan,” katanya.

Dr. Zainal berkata, dalam keadaan ini, orang ramai seharusnya elak memakai pakaian tebal dan ketat kerana ia boleh menghalang panas keluar, penyejatan atau pengeringan peluh.

“Masyarakat memang sedar keadaan ini. Biasanya mereka akan mengambil langkah pencegahan awal. Setakat ini, tiada sebarang kes mengenai kejadian ini dilaporkan di negara ini,” katanya yang turut menjelaskan negara lain terjejas termasuk di Asia Barat dan Afrika.

“Strok haba jarang berlaku di negara rantau ini seperti Singapura atau negara serantau lain,” katanya.

Katanya, mencegah baik daripada mengubati terutama kepada mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan berisiko tinggi dan mengambil langkah terbaik.

Apa yang penting, jangan sesekali mendedahkan diri dengan panas melampau, sebaliknya perlu menurunkan suhu badan dengan cepat untuk mengelakkan sawan, kerosakan organ atau kematian, selain mengekalkan pernafasan mencukupi.

Ini boleh dilakukan dengan berada pada persekitaran yang sejuk, tidak berpakaian tebal, kerap mandi. Mungkin anda boleh juga menggunakan pek ais diletakkan pada leher, ketiak dan pangkal paha.

INFO: Amalan mengelak jangkitan penyakit sepanjang musim panas
Perkara yang Perlu dilakukan.
  • Banyak minum air tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga dahaga.
  • Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
  • Berada di dalam rumah atau bangunan.
  • Hadkan aktiviti luar.
  • Berehat dengan kerap.
  • Mandi atau buka kipas angin untuk menyejukkan badan.
  • Pakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar.
  • Sewajarnya pakai pakaian diperbuat daripada 100 peratus kapas.
  • Pakai topi atau payung. Ia dapat mengelak mengawal 40 peratus haba pada bahagian kepala

Perkara yang Jangan/ tidak perlu dilakukan
  • Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.
  • Jangan duduk di dalam kereta yang bertutup tanpa pendingin hawa.
  • Bersenam dalam cuaca panas

Simptom strok haba
  • Muka kemerah-merahan
  • Tidak berpeluh
  • Suhu badan meningkat ketara
  • Sawan
  • Sakit kepala
  • Denyutan nadi pantas
  • Tidak sedarkan diri
  • Lesu
  • Bingung
  • Kulit kering

Bagaimana anda merawat mangsa strok haba
  • Mangsa strok haba mesti menerima rawatan segera untuk mengelakkan kerosakan organ kekal. Pertama sekali, menyejukkan mangsa.
  • Bawa atau alihkan mangsa ke kawasan yang redup, tanggalkan pakaian, sapukan air sejuk atau suam pada kulit.
  • Kipas mangsa untuk menggalakkan peluh dan penyejatan. Letakkan pek ais tempat di bawah ketiak dan pangkal paha.
  • Jika mangsa mampu untuk minum cecair, berikannya minuman, tetapi pastikan ia tidak mengandungi alkohol atau kafein.
  • Pantau suhu badan dengan termometer dan teruskan usaha penyejukan sehingga suhu badan turun ke 38.3 hingga 38.8 darjah celcius.
  • Jika keadaan tidak berubah, segera bawa ke klinik atau hospital.

0 Responses

Sahabat2ku.......