F

Apa Itu Osteoporosis?

Osteoporosis adalah keadaan kemerosotan kepadatan normal tulang, menyebabkan tulang menjadi rapuh.
Ia menyumbang kepada keadaan poros tulang dan menjadikan tulang seperti span dan rapuh dari dalam. Masalah yang berlaku pada tulang rangka ini melemahkannya dan menyebabkan risiko tulang retak atau patah semakin meningkat.
Tulang normal mengandungi protein, kolagen dan kalsium yang menjadikannya kuat.
Tulang yang mempunyai masalah osteoporosis pula boleh retak hanya disebabkan kecederaan ringan yang biasanya tidak boleh menyebabkan tulang patah.
Keretakan boleh terjadi sama ada dalam bentuk retak (seperti pinggul retak) atau rekahan mampat pada tulang vertebra tulang belakang.
Tulang belakang, pinggul dan pinggang adalah kawasan yang biasa mengalami retak tulang yang turut berkemungkinan berlaku pada tulang rangka lain.
Dianggarkan satu daripada tiga wanita dan satu daripada 12 lelaki berumur melebihi 50 tahun kini menderita akibat osteoporosis di seluruh dunia. Kos bagi rawatan osteoporosis seluruh dunia untuk semua peringkat umur pula dijangka meningkat kepada AS$131.5 bilion (RM432.4 bilion) menjelang 2050. Selain itu, insiden keretakan pinggul di seluruh dunia dijangka meningkat sebanyak 240 peratus bagi wanita dan 310 peratus bagi lelaki menjelang 2050.
Simptom
Osteoporosis tidak mempunyai simptom khusus melainkan berlakunya retak tulang dengan mudah.
Sesetengah retak osteoporosis sukar dikesan sehingga bertahun-tahun lamanya sehinggakan pesakit sendiri tidak sedar dirinya mengalami osteoporosis sehingga mengalami retak tulang yang menyakitkan.
Retak di bahagian vertebra tulang belakang boleh menyebabkan kesakitan teruk dari bahagian belakang hingga ke sisi badan.
Selepas beberapa tahun, keretakan tulang belakang boleh berulang dan menyebabkan kesakitan kronik bahagian belakang terutamanya di pinggang dan pinggul yang kelihatan seperti berbonggol.
Retakan yang berlaku secara normal dipanggil retakan trauma minimum atau retak stres. Contohnya, sesetengah pesakit yang mengalami osteoporosis boleh menyebabkan retak stres lebih teruk di kaki ketika berjalan.
Retak pinggul pula biasanya berlaku disebabkan terjatuh. Di kalangan penghidap osteoporosis, retak pinggul boleh berlaku walaupun hanya disebabkan kemalangan kecil. Retak pinggul juga sukar dirawat kerana kualiti tulang yang teruk.

Faktor-faktor Yang Meningkatkan Risiko Osteoporosis

Berikut adalah faktor yang meningkatkan risiko bagi mendapat osteoporosis:
  • ATLET profesional yang menggunakan tenaga di tahap optimum, seperti pelari maraton.
  • KURANG bersenam dan diet kalsium rendah, badan akan mengekalkan kepadatan tulang mengikut aktiviti fizikal individu. Bagi mereka yang kurang bersenam, badan tidak akan mengekalkan kepadatan tulang yang tinggi walaupun dengan nutrien yang cukup. Beberapa kajian menunjukkan senaman ringan seperti aerobik, angkat berat ringan dan sukan ketahanan dapat mengekalkan atau meningkatkan kepadatan mineral tulang (BMD) wanita yang telah menopaus.
  • WANITA, lelaki mempunyai kepadatan tulang lebih tinggi daripada wanita dan hanya hilang 0.3 peratus kepadatan tulang mereka setiap tahun berbanding 0.5 peratus setahun untuk wanita.
  • BERBANGSA Asia atau campuran Asia, warga Afrika mempunyai kepadatan tulang yang lebih tinggi daripada warga Eropah atau Asia.
  • TERLALU kurus dan memiliki kerangka tulang badan yang kecil, berat badan berlebihan melindungi daripada osteoporosis melalui peningkatan beban berat badan atau hormon leptin.
  • SEJARAH keluarga menghidap osteoporosis, ibu yang pernah mengalami retak pinggul akibat osteoporosis menjadikan anak berisiko dua kali ganda lebih tinggi.
  • MENGALAMI keretakan atau patah tulang ketika dewasa.
  • MEROKOK dan pengambilan alkohol berlebihan.
  • PENYERAPAN nutrien dari makanan tidak sempurna, nutrien tidak diserap dengan sempurna oleh sistem gastrousus.
  • MENOPAUS (putus haid), wanita boleh kehilangan sehingga empat peratus kepadatan tulang setiap tahun untuk tempoh lima hingga 10 tahun pertama selepas menopaus. Ini boleh menyebabkan kehilangan kepadatan tulang sehingga lebih 30 peratus dalam tempoh 10 tahun tersebut.
  • PARAS hormon estrogen yang rendah, ketika menopaus atau selepas melakukan pembedahan membuang kedua-dua belah ovari.
  • RAWATAN kemoterapi.
  • AMENORRHEA, tiada haid di kalangan wanita muda yang mana menyebabkan estrogen rendah. Amenorrhea boleh terjadi kepada wanita yang melakukan senaman secara ekstrem untuk menguruskan badan atau akibat masalah pemakanan anoreksia nervosa.
  • INFLAMASI kronik, radang sendi dan penyakit hati kronik.
  • HIPERTIROIDISME, penyakit di mana pengeluaran hormon paratiroid berlebihan oleh kelenjar tiroid atau disebabkan pengambilan terlalu banyak ubat mengandungi hormon tiroid.
  • KURANG vitamin D, yang membantu badan menyerap kalsium. Apabila vitamin D kurang, badan tidak mampu menyerap amaun kalsium yang diperlukan untuk mencegah osteoporosis.
  • PENGAMBILAN sesetengah ubat yang menyebabkan osteoporosis seperti heparin (untuk mencairkan darah).
  • PENDEDAHAN kepada logam berat, pendedahan kepada logam kadmium dan plumbum telah dibuktikan menyebabkan kepadatan tulang semakin merosot dan membawa kepada osteoporosis tanpa mengira usia dan jantina.
  • MINUMAN ringan, beberapa kajian mendakwa minuman ringan yang mengandungi asid fosforik mungkin meningkatkan risiko ospeoporosis.
0 Responses

Sahabat2ku.......