F

Faktor-Faktor Risiko Kanser Payudara

Penyebab utama kanser payudara masih belum diketahui dan dipercayai bahawa lebih daripada satu faktor yang mengakibatkannya. Pakar pengkaji percaya bahawa faktor penyebab termasuk faktor genetik dan faktor alam sekitar.

Keutamaan telah ditumpukan kapada individu yang mempunyai risiko tinggi. Berapa sebab telah pun dikaji dengan teliti. Apakah implikasi mengenalpasti faktor-faktor risiko kanser payudara?

Faktor-faktor risiko yang sudah diketahui akan membolehkan individu yang berisiko tinggi menerima manafaat daripada kawalan rapi iaitu daripada pemeriksaan rapi klinikal dan pemeriksaan mammografi. Walaubagaimanapun, wanita yang tidak mempunyai faktor-faktor risiko boleh menghidapi kanser. Jadi, faktor-faktor risiko tidak boleh memberi ramalan yang tepat.

Pesanan utama

1. Mengetahui faktor risiko akan memutuskan sama ada anda perlu atau tidak pemeriksaan saringan.

2. Sekiranya anda tidak mempunyai faktor-faktor risiko tidak bermakna anda selamat. Ramai wanita yang mengidapi kanser tidak mempunyai riwayat keluarga atau mempunyai faktor-faktor risiko

3. Kanser payudara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan rawatan sebelum kanser itu merebak


Faktor–faktor yang dikenal pasti

Berikut adalah faktor-faktor yang telah dikenal pasti

Jantina
Kanser payudara adalah khususnya penyakit wanita (95% daripada kes kanser payudara adalah di kalangan kaum wanita)

Umur
Semakin usia meningkat semakin tinggi risiko. Wanita yang berumur kurang daripada 25 tahun jarang sekali mengidapi kanser payudara

Perbezaan geografi
Kawasan kediaman memainkan peranan. Kanser payudara lebih didapati di negeri barat jika dibandingkan dengan negara Asia atau Afrika (sila lihat Barah Payudara - Permasaalahan serius)

Riwayat kanser payudara
Sekiranya anda pernah menghidapi kanser payudara, risiko ianya akan berulang meningkat 4 kali ganda

Riwayat keluarga dan faktor genetik
Sekiranya seorang wanita mempunyai ibu atau adik beradik perempuan (waris perempuan terdekat) yang pernah menghidapi kanser payudara pada usia yang agak muda, risiko ia akan menghidapi kanser payudara akan meningkat 2 kali ganda dan risiko ini akan meningkat 4 kali ganda sekiranya 2 atau lebih waris terdekat menghidapi kanser payudara.

Untuk lelaki, risiko meningkat sekiranya, bapa, adik beradik lelaki atau anak lelakinya menghidapi kanser payudara. Saudara mara seorang lelaki yang menghidapi kanser payudara mempunyai risiko tinggi. Ada laporan yang mengatakan 60% lelaki pengidap kanser payudara mempunyai saudara wanita yang menghidapi kanser payudara. Usia mereka ketika menghidapi kanser penting diketahui.

Hanya 5-10% wanita yang menghidapi kanser payudara mempunyai faktor-faktor genetik. Pada tahun 1990 gen BRCA1 ditemui dan diikuti berapa tahun kemudian dengan gen BRCA2. Sekiranya salah satu gen tersebut didapati, risiko akan meningkat sebanyak 85%

Gen BRCA1 mempunyai kaitan dengan kanser ovari. Gen ini bukan suatu gen yang berlebihan tetapi merupakan suatu gen yang berubah mengakibat munculnya kanser payudara. Wanita yang ada gen BRCA1 mempunyai riwayat keluarga di mana beberapa generasi menghidapi kanser pada usia yang muda dan kanser didapati pada kedua-dua payudara. Walaubagaimanapun, terdapat wanita yang ada gen BRCA1 di mana saudaranya tidak menghidapi kanser payudara.

Sindrom Li-Frameni adalah sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan dikaitkan dengan gen p53. Kanser pada pesakit-pesakit ini dikaitkan dengan ketumbuhan tisu lembut, tulang, otak dan kelenjar adrenal.

Adanya riwayat penyakit payudara
Ini meliputi semua keadaan di mana terdapat sel-sel abnormal. Wanita di mana sel-sel agak abnormal iaitu hiperplasia atypical mempunyai kadar risiko 4 kali ganda menghidapi kanser payudara. Begitu juga dengan penyakit fibrosistik atau penyakit proliferatif.

Riwayat haid
Sekiranya seorang wanita baligh pada usia sebelum 12 tahun atau putus haid selepas 55 tahun, risiko ia menghidapi kanser meningkat 2 atau 3 kali ganda. Ini berkaitan dengan fasa kesuburan dan pendedahan terhadap pengaruh hormon oestrogen.

Jumlah anak
Seorang wanita yang tidak mempunyai anak atau tidak pernah hamil selepas umurnya 30 tahun mempunyai risiko tinggi menghidapi kanser payudara. Ini mungkin ada kaitan dengan pusingan haid yang tidak terganggu.

Pendedahan radiasi
Pendedahan radiasi seperti sinar-X semasa usia atau sebelum usia 30 tahun boleh meningkatkan risiko terhadap kanser payudara tetapi pendedahan seperti ini jarang sekali berlaku

Pendedahan kepada letupan bom atom boleh meningkatkan risiko sebanyak 3 kali ganda. Risiko radiasi diperolehi daripada data pendedahan tinggi seperti mangsa letupan bom atom, pelombong uranium, mangsa pendedahan gas radon, pesakit tuberculosis yang pernah mengalami floroskopi ulangan (satu cara pemeriksaan yang tidak dilakukan lagi) dan pesakit yand didedahkan radiasi untuk rawatan penyakit mastitis dan penyakit Hodgkins. Dos yang didapati merangkumi 250mGy – 20Gy (25 sehingga 2000rads). Dos seperti ini tidak digunakan semasa pemeriksaan diagnostik

Status socioekonomi
Status socioekonomi tinggi akan meningkatkan risiko kanser payudara. Ini berkaitan dengan usia semasa baligh, usia semasa putus haid, usia ketika hamil anak pertama dan juga pemakanan

Pemakanan
Pemakanan telah dikatakan mempengaruhi kadar kanser di antara negara-negara. Walaubagaimanapun kajian telah menunjukkan bahawa kaitan antara kadar kanser payu dara dan pemakanan adalah lemah atau tidak secara langsung. Pengambilan minuman beralkohol telah membuktikan peningkatan risiko 1.4 sehingga 2.0 kali ganda.

Saiz tubuh
Wanita yang gemuk selepas putus haid mempunyai risiko yang meningkat. Ini adalah kerana lemak mengandungi oestrogen dan pada wanita seperti ini paras oestrogen lebih tinggi

Pil perancang dan terapi hormon gantian (THG)
Pengambilan pil perancang pada jangka masa yang lama dikaitkan dengan peningkatan risiko dalam lingkungan 1.2 kali. Rawatan hormon gantian (THG) dalam bentuk campuran oestrogen dan progestogen sering diberikan. Dos oestrogen yang diberikan adalah rendah dan risiko kanser akan meningkat 1.8 kali hanya selepas penggunaan selama 5 tahun. Selepas 5 tahun risiko meningkat 2.6 kali.

Keputusan untuk menerima rawatan THG bergantung kepada berapa faktor. Data mengenai manafaat terhadap penyakit kardiovaskular dan penyakit osteoporosis makin menggalakkan.THG juga bermanfaat kepada wanita yang mempunyai gejala gejala putus haid seperti ‘hot flush’ dan perubahan perasaan.

Kanser payudara yang dikaitkan dengan THG didapati mudah dirawati dan kurang merebak. Ini mungkin kerana wanita-wanita ini lebih sering melakukan mamogram dan kanser dikesan lebih awal. Walaubagaimanapun implikasi risiko dan faedah penggunaan THG perlu dikaji dengan teliti.

Penggunaan THG dipertimbangkan apabila faedah mengambilnya adalah melebihi risikonya.

Penyusuan
Kajian telah menunjukkan bahawa tidak ada kaitan antara penyusuan dan kanser payudara. Penyusuan tidak memberikan apa perlindungan. Kajian Carolina Breast Center pada tahun 1999 telah menunjukkan bahawa penyusuan merendahkan sedikit risiko terhadap kanser payudara di kalangan wanita yang boleh hamil (child bearing). Kajian ini juga memperingatkan wanita jangan melakukan penyusuan hanya sebagai perlindungan untuk kanser payudara. Penyusuan harus dilakukan kerana manfaat kepada kedua dua ibu dan bayi.
1 Response
  1. saya baru je buat right mastectomy dan axiliarry clearance operation kat PPUM, masih sakit pada luka pembedahan. sesiapa ada tips penjagaan diri selepas pembedahan bolehlah kongsi


Sahabat2ku.......