F

PERKONGSIAN : Dunia Adalah Jambatan Akhirat


Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS


Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Dari Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata; Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Bila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu. (HR Bukhari No: 5937)

Mengetahui dan meyakini bahawa akhirat adalah kehidupan abadi adalah dua perkara yang berbeza. Tahu sahaja tidak cukup, andai tidak diterjemah melalui perbuatan. Realitinya hari ini kita hidup pada bayangan impian yang dikejar untuk hari esok. Cita-cita melangit pada hari depan yang belum pasti tidak sepatutnya menghalang kita daripada mengingati tarikh kembali ke negeri akhirat yang abadi. Kerana itu Rasulullah SAW menyarankan agar kita menyikapi kehidupan umpama seorang musafir. Bersegera di waktu pagi tanpa menanti waktu petang, beramal di waktu petang tanpa bertangguh ke esok paginya!

Pengajaran:

1. Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

2. Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan , memperbanyakkan ketaatan dan amal solleh.

3. Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal solleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

4. Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Mukmin yang merindui akhirat, makan dan tidurnya untuk akhirat. Mukmin yang mencintai syurga, pekerjaan dan ibadahnya untuk Allah semata. Mukmin yang mengharapkan ganjaran pahala akan mengelakkan diri dari aktiviti yang tidak berfaedah. Semuanya kerana mereka seakan tidak punya masa, lantaran dunia ini sementara cuma dan harus dimanfaatkan demi meraih akhirat yang selamanya.

Ayuhlah sama kita rebut peluang beramal ketika kita muda, sihat, berharta, lapang dan semasa hidup ini. Insha Allah.
0 Responses

Sahabat2ku.......