SIFAT DAN SIKAP ORANG BERTAQWA
Assalamualaikum....
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Perkongsian tentang sifat dan sikap orang2 yg bertakwa..... moga mendapat manfaat....
Sebahagian dari sifat, sikap, akhlak dan pakaian orang mukmin dan lebih-lebih lagilah orang yang bertaqwa itu ada diceritakan oleh Allah SWT di dalam ayat Al Quran: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, yang telah percaya dengan Allah dan rasul-rasul dan yang tidak ada pada mereka itu keadaan ragu dan mereka berjuang dengan menggunakan harta-harta dan diri mereka di jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar.” (Al Hujurat: 15)
Di dalam ayat lain juga Allah berfirman yang bermaksud : “Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman dengan Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat, Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Surah al-Baqarah ayat 2-5).
Berdasarkan ayat-ayat di atas terdapat sifat, sikap atau akhlak orang mukmin dan orang bertaqwa yang dapat difahami:-
1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada Rasul
3. Mendirikan solat.
4. Menafkahkan (sedekah/infak) sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
5. Mereka yang beriman dengan kitab al-Quran dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya (Taurat , Zabur dan Injil)
6. Serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat.
Inilah enam ciri-ciri orang yang mendapat petunjuk daripada Allah SWT iaitu orang-orang yang bertakwa (orang yang mendapat kejayaan)
1. Percaya kepada Allah
Yakni percaya dengan Allah secara ‘ainul yakin dan bukan setakat ‘ilmul yakin. Orang mukmin dan orang bertaqwa yang percayakan Allah secara ‘ainul yakin ini, dia merasa hebat dengan Allah SWT. Dia juga rasa gerun kepada Allah manakala hatinya sentiasa rasa malu kepada Allah. Hatinya sentiasa cinta kepada Allah dan redha apa sahaja yang ditimpakan oleh Allah kepadanya.
Selain itu, dia bertawakal kepada Allah sahaja. Yang mana dia percaya hanya Allah sahaja yang boleh membela dirinya. Inilah kepercayaan orang yang percaya kepada Allah secara ‘ainul yakin. Orang ini sudah bertauhid kepada Allah dengan jiwanya, bukan setakat akal atau fikirannya sahaja. Orang yang percaya kepada Allah secara ‘ilmul yakin, itu sekadar imannya sah tetapi amat sukar baginya untuk memiliki sifat sabar dan redha kepada apa sahaja yang Allah timpakan kepadanya. Tidak mungkin dia dapat memiliki sifat tawakal, rasa hebat dan rasa cinta kepada Allah.
Seperti dalam firman Allah SWT: “Hanya sanya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hatihati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah mereka beriman dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.” (Al Anfal: 2)
‘Ayat-ayat Allah’ dalam firman ini yang boleh menambah iman orang mukmin itu mempunyai dua maksud iaitu:
i. Ayat-ayat Al Quran yang sebenar.
ii. Ciptaan Allah yang dapat kita lihat dan dengar seperti langit, bumi, laut, gunung-ganang dan sebagainya. Itu adalah tanda kebesaran, kekuasaan dan bijaksana-Nya Tuhan. Itu juga tanda Tuhan itu Maha Mentadbir.
2. Percaya kepada Rasul
Ini bererti percaya dengan sifat-sifat yang wajib ada pada Rasulullah SAW yang diyakini dengan sepenuh keyakinan iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Siddiq bererti benar dan betul tentang apa yang dikhabarkan serta bersetuju dengan setiap apa yang disampaikannya adalah dari Allah sama ada pada perkataan mahupun perbuatan. Kemudian percaya bahawa pada Rasulullah itu ada sifat amanah, tabligh (menyampaikan) dan juga sifat fatonah (bijaksana).
Orang mukmin yang sebenar, lebih-lebih lagilah orang yang bertaqwa bukan percaya setakat itu sahaja tetapi dia juga mengikuti sunnah Rasul. Dia ikuti sunnah Rasul dalam apa aspek sekalipun termasuk dalam hal makan minum, ber-pakaian, rumah tangga, pergaulan, masyarakat, dalam berjuang dan berjihad, dalam pendidikan dan pelajaran, dalam ekonomi pentadbiran hinggalah kepada soal-soal negara dan alam sejagat.
Jadi orang mukmin dan orang bertaqwa itu, dia bukan sahaja percaya dengan adanya para rasul yang bermula dari Nabi Adam a.s. hinggalah kepada Rasulullah SAW tetapi dia juga ikut menegakkan sunnah Rasulullah SAW atau perjalanan Rasulullah atau cara hidup Rasulullah. Barulah dengan itu akan tertegak dan akan nampak syiar Islam. Dalam Al Quran, kita disuruh oleh Allah untuk mene-gakkan syiar.
Firman Allah SWT: “Barangsiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itulah daripada hati yang bertaqwa.” (Al Hajj: 32)
Orang yang belum mukmin sukar untuk mengikut sunnah Rasulullah. Mereka setakat percaya Rasul itu ada sifat-sifat yang wajib padanya. Akal dapat percaya dan menerimanya tetapi belum sampai menghayati keyakinan itu di dalam hati. Sebab itu dia tidak mampu mengikut perjalanan hidup Rasulullah. Dia lebih mudah ikut cara hidup bintang filem, ahli sukan bahkan cara hidup orang Barat, Yahudi dan Amerika dari mengikut cara hidup Rasulullah.
3. Mendirikan Solat
Iaitu menjaga:
a. Waktu sembahyang
b. Syarat, rukun, sah dan batal sembahyang
c. Jaga bacaan dalam sembahyang
d. Jaga makna bacaan
e. Jaga penghayatannya
f. Kalau berjemaah, jaga saf dan barisannya.
Orang mukmin dan bertaqwa itu sangat merendah diri dengan Tuhan. Firman Allah SWT:
Maksudnya:“Dengan Tuhan mereka, mereka merendah diri.”
Mereka sangat takut dengan Tuhan, taat, patuh dan menyerah diri secara total kepada-Nya. Firman Allah Taala: “Jawapan orang mukmin itu, apabila di-ajak kepada Allah dan Rasul agar menghukum di antara mereka, mereka berkata,‘Kami dengar dan kami patuh’.” (An Nur: 51)
Firman Allah SWT lagi: “Di antara sifat orang mukmin lelaki dan perempuan, apabila diperintahkan sesuatu perkara sama ada perintah suruh atau larang, tidak ada dolak-dalik.”
Orang mukmin dan orang bertaqwa itu sentiasa terkenangkenangkan Tuhan. Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk dan berbaring.” (Ali Imran: 191)
Mereka selalu berbuat kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, memberi tunjuk ajar, menjadi pendakwah dan penasihat dan terikat dengan jemaah.
4. Menafkahkan (sedekah/infak) sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Orang mukmin yang sebenar dan orang bertaqwa itu, dia mengorbankan hartanya, jiwanya, dirinya dan tenaganya di jalan Allah. Iaitu dia berkorban menegakkan hukum-hakam Allah yang lima iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus di dalam kehidupan. Sama ada dalam hal yang mengenai dirinya ataupun rumah tangganya, pergaulannya, kenduri-kendaranya, pendidikannya, ekonominya, politiknya dan seterusnya kepada persoalan negara dan hubungan sejagat.
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya mendapat kemenangan orang mukmin yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menghindari perkara-perkara yang sia-sia. Dan mereka menunaikan zakat. Dan mereka yang menjaga kehormatan kecuali pada isteri mereka dan hamba sahaya milik mereka, maka mereka itu tidaklah dicela. Dan mereka yang melakukan sebaliknya itu adalah melampaui batas. Mereka yang menunaikan amanah dan janji-janji mereka, mereka yang sentiasa memelihara sembahyang mereka. Mereka itulah yang mempusakai Syurga Firdaus dan mereka akan kekal di dalamnya.” (Al Mukminun: 1-11)
5. Mereka yang beriman dengan Al-Quran dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya.
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Dan mereka yang beriman kepada kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-Kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. (Q.S Al Baqarah: 4). Iman terhadap kitab-kitab mengandung keimanan terhadap para Rasul serta apa-apa yang meliputinya.
Mereka beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan kepada para nabi dalam Al-quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Mereka yakin akan adanya hari Akhirat dengan sepenuhnya. Mereka mempercayai hari kebangkitan iaitu manusia akan dibangkitkan dari kubur ruh dan jasad, dihisab, dihitung amal kebajikan, diberi balasan dan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya
6. Serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat.
وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. (Q.S Al Baqarah: 4). Akhirat adalah sebutan untuk apa-apa yang terjadi setelah kematian. Allah menyebutkannya secara khusus setelah keumuman ayat karena iman terhadap hari akhir salah satu dari rukun iman, juga pembangkit paling besar untuk menimbulkan raghbah (berharap), rahbah (takut), dan amal shalih. Yakin adalah ilmu yang sempurna yang tidak ada sedikit pun keraguan dan mengharuskan amal.
Apakah kebaikan dan kelebihan orang yang bertakwa?
Kebaikannya orang yang bertakwa ketika di dunia akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT , di doakan oleh para malaikat dan di sukai oleh manusia kerana akhlak dan keperbadiannya yang mulia.
Kebaikan di hari akhirat pula orang-orang yang bertakwa telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT.
Suatu kenikmatan yang besar kurniaan Allah SWT kepada orang-orang bertakwa adalah balasan syurga. Syurga yang dibangunkan hanya untuk orang-orang yang bertakwa, bukan yang lain. Tidak ada campuran antara penghuni-penghuninya. Ini khusus untuk orang-orang yang bertakwa semasa hidup di dunia, biarpun semasa berada di dunia mereka hidup bercampur dengan manusia-manusia yang ingkar.
Walaupun mereka hidup dalam masyarakat majmuk namun mereka memegang erat sifat takwa. Mereka tidak mengharapkan keduniaan sahaja. Mereka hidup menuntut kebaikan di akhirat dan dengan sebab mereka pegang teguh akan takwa maka Allah melimpahkan rahmat dan menempatkan mereka di syurga.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: 'Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?' Mereka menjawab: 'Kebaikan' orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Nahl (16) ayat 30)
Segala sesuatu yang datang daripada Allah SWT untuk orang-orang yang bertakwa adalah hal-hal kebaikan. Tidak ada yang tidak baik. Mana ada tempat yang labih baik daripada syurga.
Jadi, marilah kita berlumba-lumba untuk menjadi orang yang bertakwa kerana banyak dugaan dan rintangannya hingga boleh melayakkan diri kita menjadi orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa akan melaksanakan semua yang wajib dan meninggalkan semua yang haram dan syubahat. Dan berusaha untuk memperbanyakkan amalan sunat dan dia cukup berhati-hati di dunia ini supaya tidak tergelincir oleh tarikan hawa nafsu dan godaan syaitan.