Israk Mikraj - ubati kesedihan Nabi Muhammad, Rasulullah
Assalamualaikum....
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Berkongsi cerita tentang Israk Mikraj 1435H.....
Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam mencatat dua peristiwa sedih memilukan hati dalam sejarah perjalanan hidup rasul kesayangan kita, iaitu Nabi Muhammad.
Dua peristiwa sedih ialah kewafatan Saidatina Khadijah, isteri yang sangat disayangi Baginda. Saidatina Khadijah dengan penuh ikhlas dan rela hati menyumbang semua harta miliknya untuk kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.
Kematian bapa saudara Nabi, Abu Talib yang begitu rapat dengan hidup Nabi. Justeru, Abu Talib bersungguh-sungguh dan bermati-matian membela dan melindungi Rasulullah daripada ancaman orang kafir Quraisy.
Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni’).
Peristiwa Israk Mikraj perlu diingati seluruh umat Islam kerana ia membuktikan kebesaran Allah SWT dan kebenaran ajaran Islam. Kurniaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW itu sebagai mengubat kesedihan Baginda itu. Apa yang penting, di sebalik kesedihan dirasai Nabi Muhammad SAW, peristiwa Israk Mikraj perlu diingati kerana hikmah daripada perjalanan baginda dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha), seperti mana yang dirakamkan dalam al-Quran itu adalah untuk meningkatkan keimanan kepada kekuasaan Allah SWT.
Firman Allah SWT, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israa’: 1)
Israk dan Mikraj bukan sekadar peristiwa, tetapi ia juga membawa pelbagai hikmah yang besar, ditunjukkan kepada Nabi SAW sebagai bukti kebesaran Allah SWT. Di dalamnya juga diperintahkan ibadah yang terbesar di dalam Islam iaitu ibadah solat.
Israk dan Mikraj juga merupakan medan ujian bagi manusia, sama ada selepas mendengar kisah ini akan terus beriman kepada Allah SWT atau mengingkarinya lalu kembali kepada kekufuran.
Ia juga adalah pengukur bagi iman seseorang, jika seseorang itu tidak mempercayai dan menafikan kisah ini, maka imannya terbatal. Justeru, akurlah bahawa akal dan diri kita ini amat lemah berbanding dengan kerajaan dan kekuasaan Allah SWT.
Justeru, umat Islam perlu menghayati ajaran al-Quran serta memahami sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW termasuk peristiwa besar membabitkan Baginda dalam menyebarkan syariat Islam kepada seluruh ummah.