F

Kanser usus - jgn abaikan buang air besar


Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

LEBIHKAN...pemakanan harus dijaga terutama lebihkan sayuran dan buah-buahan.


KANSER USUS: KESAN DENGAN AWAL
Kanser usus yang juga dikenali sebagai kanser kolorektal adalah salah satu daripada  kanser yang kerap berlaku. Kanser usus seringkali dapat dikesan pada peringkat awal dan pada peringkat ini rawatan 
boleh menyembuhkan penyakit ini. Terdapat juga langkah-langkah yang boleh anda ambil  untuk mengurangkan risiko kanser usus.

Apa itu usus?
Usus ialah organ terpanjang dalam sistem penghadaman. Ia mempunyai dua bahagian:

  1. Usus kecil- tempat makanan diserap
  2. Usus besar- tempat air dan garam diserap

Terdapat dua bahagian dalam usus besar iaitu kolon dan rektum.

Apa itu kanser usus?

Kanser usus ialah ketumbuhan kanser yang biasanya bermula dari dalam lapisan usus  besar. Ia boleh membesar lama di situ sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain. Oleh sebab itu, lebih awal kanser ini dikesan lebih cerahlah peluang untuk menyembuhkannya. Peluang untuk sembuh adalah 90%, jika penyakit ini dikesan pada  peringkat awal. Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur. Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

Tanda-tanda kanser usus 

Tidak semua kanser usus menunjukkan tanda-tanda atau simptom awal tetapi anda harus  berjumpa dengan doktor jika anda alami mana-mana yang berikut:

  • Keluar darah daripada dubur atau terdapat darah selepas membuang air besar.
  • Perubahan ketara pada tabiat membuang air besar: contohnya , lebih kerap membuang air besar atau najisnya cair, kerap sembelit dan/atau rasa lebih kerap hendak buang air besar daripada biasa.
  • Berasa tidak puas selepas membuang air besar.
  • Sakit perut.
  • Berat badan turun tanpa sebab yang nyata.
  • Berasa penat, lemah atau sesak nafas tanpa sebab. Gejala ini mungkin disebabkan oleh anemia akibat kekurangan zat besi.
  • Anemia jenis ini boleh disebabkan oleh kanser usus.
  • Individu yang berusia empat puluh tahun ke atas perlu awasi tanda-tanda amaran kanser usus. Jika anda mempunyai salah satu daripada tanda-tanda kanser usus di atas, sila berjumpa doktor yang akan merujukkan anda untuk menjalankan beberapa ujian tertentu. Jika hasil ujian menunjukkan terdapatnya kanser usus, rawatan awal adalah lebih baik.

Faktor risiko

  1. Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:
  2. Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.
  3. Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.
  4. Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.
  5. Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.
  6. Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.
  7. Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.
  8. Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.
  9. Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.
  10. Kurang bersenam.

Saringan dan pengesanan

Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap ‘pembawa maut’, ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, hingga 90%, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.

Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan. Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).

Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun, peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.

Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda antara 26 hingga 29 bulan.

Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang.

Cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser usus ialah dengan menjalani ujian saringan terutama bagi individu berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai sejarah kanser atau penyakit keradangan usus yang lain. Pengesanan awal dan pembuangan polip sebelum ia bertukar menjadi kanser adalah cara terbaik mencegah penyakit ini.

Ujian saringan kanser usus melibatkan ujian terhadap individu yang tidak mempunyai  tanda-tanda menghidap kanser usus. Saringan menggunakan kaedah faecal occult blood test (FOBT) atau ujian darah okulta tinja disarankan kepada individu sihat yang berumur lima puluh tahun ke atas.

Faecal occult blood test (FOBT)
FOBT ialah satu ujian ringkas untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kanser usus. Ujian ini melibatkan pengambilan beberapa sampel tinja atau najis dengan menggunakan kit ujian. Sampel diambil di rumah dan kemudiaanya dihantar ke makmal untuk dianalisis.

FOBT akan menentukan sekiranya terdapat darah di dalam tinja (darah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar). Darah di dalam tinja boleh disebabkan oleh polip (ketumbuhan di bahagian dalam usus yang boleh bertukar menjadi kanser) ataupun disebabkan oleh kanser usus yang berdarah. Jika terdapat darah di dalam tinja, ujian lanjut perlu dijalankan untuk mengenal pasti punca pendarahan.

Ingatlah bahawa kanser usus mempunyai peluang yang tinggi (90%) untuk disembuhkan  sekiranya dikesan pada peringkat awal. Polip yang dikesan melalui FOBT boleh dibuang sebelum bertukar menjadi kanser.

Dimanakah saya boleh mendapatkan FOBT ?
Lelaki dan wanita yang berumur lima puluh tahun ke atas perlu berjumpa dengan doktor  untuk menjalani FOBT dua tahun sekali.
Bagi mengurangkan risiko mendapat kanser amalkan lah gaya hidup sihat seperti: 
  • makan makanan yang berkhasiat, termasuk mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dan mengurangkan pengambilan lemak haiwan.
  • mengekalkan berat badan yang normal.
  • Meningkatkan aktiviti fizikal - selalu bersenam.
  • tidak merokok.
  • kurangkan minum alkohol
Dengan mematuhi panduan yang diberi tidak bermakna anda akan terlepas daripada  diserang kanser usus tetapi ia boleh mengurangkan risiko anda dan juga memberi banyak  faedah kesihatan yang lain.

Rambut terjejas akibat TEKANAN!


Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Ketidakseimbangan hormon boleh jejas kesihatan rambut. Tekanan dan amalan gaya hidup yang kurang sihat menjadi punca masalah rambut yang serius, terutama di kalangan wanita. Perubahan gaya hidup masa kini dan juga beban lebih berat yang dihadapi di pejabat, rumah dan juga dalam perhubungan sosial menjejaskan kesihatan rambut.

Hormon tidak seimbang
Tekanan mencetus ketidakseimbangan hormon yang menghasilkan lebih banyak sebum (minyak), lantas menyebabkan penyumbatan folikel dan keguguran rambut. Tidur lewat, minuman beralkohol dan kurang bersenam boleh menambahkan tekanan dan keguguran rambut. 

Beberapa tinjau selidik global yang dijalankan, menyatakan bahawa "fenomena peningkatan tekanan" yang memberi kesan terhadap kesihatan dan keguguran rambut yang kian ketara di Malaysia.  Laporan perniagaan Antarabangsa Grant Thornton menunjukkan kaitan antara tekanan, wanita dan kesihatan yang menjelaskan mengapa wanita kini keguguran lebih banyak rambut berbanding lelaki. Laporan mendedahkan Malaysia mempunyai bilangan wanita tertinggi dalam tenaga kerja, berbanding negara ASEAN lain. Satu kajian merangkumi 2,000 wanita di United Kingdom mendapati 90% responden berkata, mereka rasa bersalah kerana terlalu sibuk dan tidak mencari nafkah secukupnya untuk memenuhi keperluan anak mereka.

Tekanan emosi
Lebih 70% golongan ibu berkata mereka sentiasa bimbang dan meragui sama ada mereka menjadi ibu yang baik, manakala lebih satu per lima rasa bersalah "kebanyakan masa" atau "hampir setiap masa". Ini memang tidak menghairankan jika wanita mengalami tekanan fizikal dalam kitaran kehidupan harian yang sibuk. Mereka juga mengalami tekanan emosi kerana rasa bersalah, bimbang dan meragui nilai diri sendiri terhadap keluarga. Tekanan emosi menjejaskan kesihatan dan rambut adalah bahagian pertama untuk mencerminkan keadaan kurang sihat. Wanita juga mengalami keguguran rambut selepas bersalin kerana perubahan hormon.

Remaja turut abaikan penjagaan rambut.
Dalam satu lagi penemuan baru-baru ini, Regus (penyedia ruang kerja fleksibel) mendapati waktu kerja yang panjang kini menjadi trend umum di seluruh dunia.

Regus, yang mengumpulkan maklum balas lebih 12,000 responden di 85 negara, mendapati di Malaysia, kira-kira satu pertiga daripada warga kerjanya bekerja dalam tempoh yang panjang. Kira-kira 47% pekerja di Malaysia membawa kerja pulang lebih daripada tiga kali seminggu berbanding 43% di peringkat global, 5% wanita bekerja 60 jam seminggu berbanding 12 pertus bagi lelaki.

Lebih ramai orang kini bekerja menggunakan peranti mudah alih, di pejabat rumah dan dengan waktu kerja fleksibel, lantas memgaburi waktu antara kerja, bermain, makan dab rehat dan menjejaskan keseimbangan kehidupan kerja. Golongan remaja juga sibuk dengan media sosial dan aktiviti waktu malam. Disebabkan kesuntukan masa, ramai orang makan makanan ringan, berminyak, terlalu masin dan makanan diproses, yang menjejaskan kesihatan rambut.

Hasil kaji selidik oleh 101 Hair Care membabitkan 2,393 responden di Malaysia, menghasilkan keputusan berikut:
Lima masalah rambut utama di negara ini;
  • 25% - masalah kelemumur
  • 23% - keguguran rambut akibat minyak
  • 20% - penipisan
  • 13% - rambut bercabang
Punca Masalah rambut:
  • 67% - disebabkan TEKANAN HIDUP
  • 49% - faktor gaya hidup
  • 43% - makanan dan penjagaan rambut kurang wajar
  • 39% - faktor genetik
Faktor rambut sihat:
  • 60% - pemilihan syampu yang betul
  • 57% - faktor pemakanan
  • 20% - penggunaan pelembap, teknik menyikat atau mencuci rambut
Tabiat Penjagaan Rambut:
  • 72% - mencuci rambut setiap hari
  • 24% - mencuci rambut 2 hingga 3 kali seminggu
Tindakan Atasi masalah rambut:
  • 55.78% - kunjungi pusat pakar rambut
  • 14.21% - ke salun rambut
  • 12.71% - dapatkan rawatan tradisional
  • 17.23% - abaikan masalah rambut
Lain-lain:
  • 15% - bekerja lebih 11 jam sehari berbanding 10% peringkat global
  • 47% - bawa kerja balik ke rumah
Credit : Berita Harian@21/4/2013

Bagi mengurangkan kesihatan rambut terjejas kita mestilah menjalani gaya hidup sihat seperti banyakkan bersenam kerana berpeluh dapat menenangkan fikiran. Elakkan stress, lagi pun stress tidak elok untuk kesihatan diri keseluruhan.

Selain bersenam, pengambilan makanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah berkaitan rambut. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar. Minuman berkarbon seperti air gas dan kopi boleh memburukkan masalah rambut gugur. Minuman itu perlu dielakkan dan kalau boleh minum air kosong lebih banyak atau air yang boleh menyejukkan badan seperti barli, kacang soya atau kelapa.

Rambut yang sihat mengalami keguguran antara 30 hingga 120 helai setiap hari, tetapi jumlah ini diganti semula. Bagaimanapun, rambut yang bermasalah gugur lebih banyak daripada jumlah ini dan tidak mempunyai anak rambut sebagai gantian kepada rambut yang gugur.

Keguguran rambut terutama di kalangan remaja pula adalah disebabkan penggunaan bahan kimia yang keterlaluan seperti mouse, semburan rambut mahupun pewarna. Penggunaan kimia dalam proses memutihkan rambut sebelum mewarnakannya juga adalah antara faktor menyumbang kepada struktur rambut lemah dan mudah gugur.

Rambut yang strukturnya lebih halus lebih mudah rosak akibat aktiviti mengerinting rambut dan teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Kenali dulu rambut anda sebelum sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut yang diidamkan.

Misalnya, jika jumlah rambut terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda sering melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut kelihatan gugur terlalu banyak.

Bagi mengekalkan rambut sihat, amalkan menyapu minyak rambut lebih kerap dengan menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa, selain menjalani rawatan rambut secara tetap. Diet seimbang dan ketenangan jiwa amat mempengaruhi rambut lebih sihat serta bersinar. Wallahu'Alam bissawab

Gangguan Mental selepas bersalin

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Semalam rakan saya dari Johor called...dia bagi tahu dia kat Hospital tengah buat terapi. So saya tanya lah pasal apa..... rupa-rupanya every 6 months dia akan berjumpa psychiatrist utk treatment. Saya pernah dengar dia kata dia kena meroyan... tetapi saya tidak sangka situasinya begitu teruk hinggakan dah anak 3 pun dia masih mendapat rawatan lagi...dan adakalanya "meroyan" datang memang dia tak dapat kawal diri. Katanya selepas melahirkan anak pertama dia mendapat gangguan emosi tetapi dia sendiri pun tak tahu apa puncanya.... dia tak sukakan anaknya, hingga suaminya terpaksa menjauhkan anak daripadanya. Dia tidak mahu menyusukan anaknya dan dia merasakan anak tu menyusahkan hidupnya. Padahal rakan saya tu punyalah susah nak dapat anak selepas 7 tahun lebih baru dia dapat anak pertama...tetapi macam tu pula takdirnya. Namun selepas mendapat rawatan, keadaannya semakin stabil cuma bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital... sehingga skrg anaknya dah 3 orang....alhamdulillah....tetapi kadang2 keadaannya akan berulang lagi..... dia memang tak boleh tertekan, kadang2 hanya tekanan yang pada wanita normal biasa aje tetapi pada dia ianya sesuatu yang membebankan, maka situasinya akan berulang lagi, dia akan menjerit2 dan membaling-baling barang, jadi anak2nyalah yang akan menjadi mangsa...... Menurutnya kalau dulu setiap bulan dia akan berjumpa pakar tetapi sekarang hanya 6 bln sekali  berbekalkan macam2 ubat.....skrg dah 8 tahun dia berulang-alik ke hospital utk rawatan....katanya. Begitulah takdirnya....namun apa jua keadaan kita mesti redha dah berusahalah mencari penyelesaiannya...dalam hal ini suamilah yang perlu memberi sokong yang padu, terutama kena menjaga emosi isteri agar tidak terganggu.

Berikut adalah artikel yang saya kumpulkan melalui pembacaan saya di laman-laman web...... moga bermanfaat.

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.

Gila meroyan
Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.
Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin.

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Daripada beberapa kajian yang pernah dibuat, ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut turut mendapati ibu berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu tersebut.

Gangguan perasaan
Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.


Pengenalan
Proses kehamilan dan kelahiran adalah salah satu fasa perubahan dalam kehidupan seorang wanita yang mana ia boleh mendatangkan ketidakseimbangan dalam diri wanita tersebut. Ia boleh dianggap sebagai satu proses kematangan diri, walaupun sesetengah wanita, mungkin menghadapi masalah. Penyakit mental selepas bersalin boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

Gangguan emosi postpartum
Kemurungan postpartum atau meroyan
Psikosis postpartum, juga disebut meroyan
(Postpartum=waktu selepas bersalin)
Ganguan emosi postpartum

Ia berlaku ke atas 25 - 85% wanita yang baru bersalin. Tanda-tanda penyakit ini timbul beberapa hari selepas bersalin dan ia memuncak pada hari kelima. Namun begitu, gangguan emosi ringan ini biasanya pulih dalam masa dua minggu.
Kemurungan postpartum

Ianya berlaku di kalangan 10 - 20% wanita selepas bersalin. Gejala-gejala timbul dalam masa sebulan selepas bersalin. Pada kebiasaannya, penyakit ini sembuh dengan tersendiri dalam jangka masa tiga hingga enam bulan, tetapi bagi kes-kes yang berat ia mungkin berterusan sehingga dua tahun.
Psikosis postpartum

Keadaan ini jarang dijumpai tetapi serius dan berlaku dalam setiap 500 - 1000 jumlah kelahiran. Gejala penyakit ini timbul dengan pantas dan biasanya timbul beberapa hari sehingga dua atau tiga minggu selepas bersalin. Walaupun begitu,risiko tetap tinggi selepas beberapa bulan kemudian.
Tanda-tanda dan gejala

Gangguan emosi postpartum
Kemurungan yang ringan dan emosi yang berubah-ubah
Mudah menangis
Mudah melenting
Gelisah
Kurang penumpuan
Kurang selera makan dan gangguan tidur

Kemurungan postpartum
Perasaan murung
Letih lesu dan tidak bermaya
Suka memencilkan diri
Kerap mengadu akan kurang sokongan sosial
Salah faham akan kehendak bayi
Kurang penumpuan dan daya ingatan

Psikosis postpartum
Gangguan tidur dan perubahan selera makan
Mudah resah
Berfikir untuk membunuh diri dan melakukan pembunuhan
Perasaan dan kelakuan yang pelik
Gejala psikosis. Contoh seperti mendengar suara walaupun pada zahirnya tiada orang di sekeliling (halusinasi) atau kepercayaan yang tidak rasional (delusi)

Komplikasi
Bayi-bayi kepada ibu yang menghidapi penyakit mental selepas bersalin kelak berkemungkinan mempunyai masalah dalam emosi, tingkah laku dan pembelajaran. Di samping itu di kalangan kes-kes yang melampau, ibu yang mempunyai penyakit mental selepas bersalin ini boleh mencederakan bayi mereka.

Rawatan
Gangguan emosi ringan postpartum
Pendidikan mengenai gangguan emosi ini amatlah penting. Ibu yang diganggu dengan masalah emosi ini memerlukan sokongan daripada ahli keluarga dan juga bantuan dalam mengurangkan punca tekanan psikologi. Ahli keluarga hendaklah membawa ibu untuk berjumpa dengan doktor sekiranya tanda-tanda penyakit didapati semakin teruk.
Kemurungan postpartum

Pendidikan, memberi ketenangan dan sokongan terutamanya daripada ahli keluarga adalah amat digalakkan untuk membantu dalam proses pemulihan. Psikoterapi sokongan dan terapi kognitif didapati berkesan, di samping ubat-ubatan yang diberikan dalam kes-kes tertentu. Bagi kes-kes yang teruk, pesakit mungkin akan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan dalam kes begini, perjumpaan antara ibu dan anak digalakkan.

Psikosis postpartum
Kemasukan ke wad mungkin diperlukan. Ubat-ubatan diberikan untuk mengawal gejala-gejala. Dalam setengah kes-kes yang teruk terapi "elektrokonvulsif" mungkin diperlukan. Ahli keluarga pula perlu diberi penerangan mengenai penyakit ini.

Pencegahan
Pengesanan awal ke atas ibu yang berisiko untuk mendapat penyakit mental postpartum amatlah penting agar rawatan dapat dimulakan dengan secepat mungkin. Wanita yang dikategorikan sebagai mempunyai risiko yang tinggi termasuk mereka pernah mengalami penyakit mental postpartum, sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental, kehamilan yang tidak dirancang dan kepincangan rumah tangga. Sokongan emosi, rohani, fizikal dan sosial amatlah penting bagi ibu-ibu selepas bersalin sebagai satu aspek pencegahan penyakit mental selepas berkahwin.

Tips
Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.

Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.

Rehabilitation
Kemurungan postpartum
Psikosis postpartum
Kumpulan sokongan
www.postpartum.net

Rujukan:-
Postpartum Depression Fact Sheet: National Women's Health Information Centre.(www.4woman.gov)
American Association of Family Physicians (www.aafp.org)

Kehamilan kerap jejas tulang?

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
WANITA disaran supaya menjarakkan kehamilan
sekurang-kurangnya selama dua tahun

MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

MINUM banyak susu dapat menambah
bekalan kalsium ibu hamil.
Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.
TULANG rapuh disebabkan kalsium
di dalamnya telah diserap oleh tubuh

“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.

Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.

Credit : kosmo.com.my

Lagi tentang Kolagen dan Rumpai Laut


Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Credit : Berita Harian
Dipercayai sebagai ejen penuaan untuk menambah kolagen Baca sini juga!

Rumpai laut yang dianggap 'ibu kolegen' mentah kini semakin popular dan ramai khususnya wanita mengambilnya untuk dijadikan makanan tambahan bagi menjaga kesihatan serta kecantikan.
Khazanah laut pelbagai warna seperti hijau, merah, hijau biru dan perang ini boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan.
Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta karotein serta protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit," Dr Muta Harah Zakaria, Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, UPM.

Penggunaan ibu kolegen spesis Eucheuma Cottonii dan Euchuema Kappayachus atau nama tempatannya agar-agar kini dipelbagaikan fungsinya dalam bidang kecantikan dan boleh didapati daripada rumpai mentah, sabun dan pil melalui ekstrak rumpai.

Harga rumpai laut yang banyak tumbuh melatari laut di Sabah ini begitu murah dan mempunyai gred tersendiri. Dijual dengan harga serendah RM5 untuk seratus gram gred AA sehingga mencecah RM20 untuk kuantiti yang sama bagi gred AAA. Produk berasaskan rumpai laut ini juga banyak dipasarkan menerusi jualan langsung dengan pelbagai jenama.

Khasiatnya dikatakan lebih berkali ganda daripada menghirup sup ikan Yu atau sup sarang burung yang harganya lebih mahal membuatkan ramai wanita memilih tumbuhan dasar laut itu.

Menjamin kecantikan?
Persoalannya adakah rumpai laut jenis itu mengandungi kolegen untuk mampu menjadi ejen anti penuaan, menambah keserian, keanjalan dan kemulusan kulit? Adakah ia selamat digunakan? Adakah ia bebas daripada keracunan dan mendatangkan kesan jangka panjang kepada kulit dan kesihatan kepada pengamalnya?

Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muta Harah Zakaria, ketika diminta mengulas mengenai fenomena pengambilan rumpai laut, menegaskan makanan atau minuman daripada rumpai laut tidak membahayakan kerana ia mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein tinggi yang membantu mengekalkan kolagen di dalam kulit.

Katanya, bahan berkenaan digunakan secara meluas dalam pembuatan kosmetik dan digunakan banyak kepentingannya dalam bidang perubatan.

“Rumpai laut seperti Laminaria, Fucus, Sargassum dan Turbinaria sudah digunakan sejak berkurun dulu untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, cirit-birit dan masalah usus kecil.

“Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolesterol plasma,” katanya dihubungi, baru-baru ini.

Pelbagai khasiat

Ditanya benarkan rumpai laut mengandungi kolegen, beliau berkata sebenarnya kolagen adalah struktur protein yang berfungsi sebagai pelekat dalam badan.

Lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen memberikan struktur kepada badan, melindungi, menyokong tisu lembut dan menyambungkannya dengan tulang badan.

“Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit. Misalnya rumpai laut hijau Caulerpa racemosa mengandungi protein yang tinggi iaitu 11.16 peratus berbanding kubis bunga 1.8 peratus saja,” katanya.

Rumpai laut jenis merah (misalnya Kappaphycus sp) mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia adalah sumber bahan mentah untuk pengekstrakan karagenan iaitu kandungan bahan yang ada dalam rumpai laut yang dianggap sebagai kolagen oleh orang ramai.

Secara kimia, karagenan menyerupai agar-agar tetapi mempunyai kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel.
Jelasnya, kandungan karagenan dalam rumpai laut yang sudah di ekstrak membantu mengekalkan keanjalan kulit dan kerana orang ramai menganggap tumbuhan itu membekalkan kolegen.

Kajian lain

Berdasarkan pencarian hasil kajian terhadap kebaikan rumpai laut jelas menunjukkan bahan berkenaan mampu bertindak secara positif dalam membantu mencantikkan kulit, antaranya:

* Laman berita CBS New York, melaporkan kajian baru mereka menjelaskan rumpai laut mungkin benar-benar berfungsi membantu masalah kesihatan dan memperbaiki kulit. Beberapa pandangan umum diambil daripada pakar yang menyarankan pengambilan rumpai laut organik dan bukan yang sudah dituai kerana dikhuatiri tidak selamat untuk dimakan.

* Kaunselor Kesihatan Holistik New York, Andre Beaman, berkata rumpai laut mengandungi vitamin dan mineral.

“Saya rasa ramai dan lebih ramai orang Amerika mula makan tumbuhan ini dan menemui khasiatnya. Rumpai jenis Nori antara yang tumbuhan laut paling popular dengan warna hijau dan hitam yang membalut sekeliling sushi,” katanya.

* Pemilik syarikat produk kecantikan rumpai laut New York, Lydia Sarfati, menerangkan kepada CBS rumpai laut mampu menyahtoksik dan mencantikkan kulit tanpa sebarang mudarat pada kulit.

* Pakar Dermatologi New York, Dr Jebra Jaliman, berkata rumpai laut yang melatari laut mempunyai vitamin yang sangat baik dan antioksidan yang mampu memerangi penyakit ekszema dan rosacea. Rumpai laut mempunyai banyak vitamin B, E dan C, selain mampu mengatasi masalah keradangan kulit.

* Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Beth Israel, berkata barisan penyelidik berharap tumbuhan itu menjadi bahan berkesan menangani penyakit jantung dan arthritis.

“Kajian demi kajian dilakukan untuk melihat sama ada rumpai laut benar-benar memberi kesan yang boleh dibuktikan secara saintifik,” katanya.

INFO: Rumpai laut
* Industri rumpai laut dijangka berkembang apabila ia turut diperluaskan sebagai bahan tambahan dalam pelbagai produk kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik.
* 150,000 tan metrik rumpai laut dikeluarkan dengan nilai RM1.45 bilion menjelang tahun 2020.
* Sabah pengeluar rumpai laut di Malaysia

INFO: Khasiat rumpai laut untuk kecantikan dan kesihatan

Kesihatan
• Terkenal sebagai ejen kecantikan kulit semula jadi.
• Menjadikan kulit lebih putih dan tegang.
• Melancarkan kitaran darah.
• Melicin dan menegangkan kulit dan payudara ( anti penuaan)
• Melambatkan proses penuaan dan melangsingkan badan.
• Mengekalkan kelembapan dan menganjalkan kulit.
• Menaikkan tekstur kulit dan seri wajah.
• Mengurangkan pembentukkan selulit.
• Menguatkan akar rambut dan menjadikan rambut sihat dan bersinar

Kecantikan
• Menambah baik dan meningkatkan tahap kesihatan sendi tulang.
• Meningkatkan nafsu dan daya keintiman
• Iodine yang ada di dalamnya mampu memperbaiki fungsi kelenjar thyroid sekaligus mencegah masalah Goiter iaitu kelenjar Thyroid membengkak.
• Membantu mengurangkan kolestorel dalam badan.
• Membantu dan merawat penyakit gastrik.

Keburukan
* Jangan mengambil terlalu berlebihan kerana rumpai laut mengandungi iodin yang boleh menyebabkan keracunan, sakit perut dan mampu menghakis perut.

Fahami Waktu Subur Anda



Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Masa subur pada wanita adalah sebuah kitaran menstruasi atau yang biasa juga disebut dengan istilah haid, dimana pada masa subur tersebut akan terdapat sel matang pada wanita yang siap untuk dibenihi, sehingga apabila seorang wanita melakukan hubungan intim, maka kemungkinan akan terjadi kehamilan.

Bagi seorang wanita yang tengah merancang kehamilan, maka mengetahui masa subur ini tentulah sangat penting. Dengan diketahuinya bila masa subur bagi seorang wanita yang hendak mendapatkan keturunan, maka tentunya dia juga sudah dapat merancang bila waktu tepat melakukan hubungan intim dengan suami. 

Pertama, apa yang kita mesti faham adalah mengenai kitaran haid. Mari kita belajar tentang cara menentukan waktu-waktu subur wanita, bagi memudahkan proses kehamilan berlaku. Berikut hanyalah  gambaran bagaimana cara mengetahui ciri-ciri wanita subur, ada beberapa cara untuk mengetahuinya, namun tidak semua wanita mengalami hal di bawah ini. Apapun, sebagai hambaNya harus berusaha, berikhtiar selagi mampu.


Kenapa anda perlu tahu waktu subur wanita? 
Ada 2 sebab utama :
1. Untuk memudahkan mendapat zuriat
2. Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat

Fahami Kitar Haid Anda
Kitaran haid wanita berlaku setiap bulan, secara puratanya ialah 28-30 hari. Tetapi setiap wanita ada kitarannya sendiri – ada 25 hari dan ada yang lambat sehingga 35 hari. Tetapi secara puratanya ialah 28-30 hari.

Terdapat beberapa fasa dalam kitaran haid. Anda perlu memahami fasa ini.

Hari 1-4

Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation) – ketika ini darah haid keluar. Hari pertama haid adalah penting untuk diketahui kerana ia adalah di mana fasa ini bermula. Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda pada kalendar dan tamat selepas berapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari di dalam sebulan.

Hari 5-13

Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.

Hari 14

Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran fallopio ke rahim.

Hari 15-28

Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya, sejenis hormone dipanggil progestron dirembes daripada sarangnya (corpus luteum). Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestron semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh.

Waktu Terbaik

Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama haid seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.
Contohnya,  kitaran haid anda adalah:-

28 hari ~ maka 28-14 = hari ke 14 adalah hari subur

30 hari ~ maka 30-14 = hari ke 16 adalah hari subur

35 hari ~ maka 35-14 = hari ke 21 adalah hari subur

Ini adalah kerana fasa luteal mengikut kiraan kebiasaannya berlaku selama tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama haid yang seterusnya.

Sekiranya haid anda adalah tetap 28 hari, tidak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya haid anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.

Cara Lain Mengetahui Waktu Subur


  • Terjadinya Peningkatan Suhu Tubuh. Masa subur wanita dengan siklus haid normal adalah hari ke-12 hingga hari ke-16 sejak haid pertama. Selain dengan menghitung secara kiraan, masa subur wanita dapat diketahui dengan adanya peningkatan suhu tubuh. Peningkatan ini terjadi bukan karena wanita sedang sakit, tapi dalam keadaan badan sihat seperti biasa. Peningkatan suhu tubuh yang terjadi adalah sekitar 0,2 darjah Celcius setiap hari selama 10 hari berturut-turut. Anda dapat meletakkan thermometer biasa di bawah ketiak setiap pagi untuk mengetahui peningkatan ini.
  • Cairan Serviks Mengalami Perubahan. Wanita pada masa subur memiliki cairan serviks yang mirip dengan putih telur, ciri-cirinya yakni cairan serviks cair, kenyal dan lebih jernih dari biasanya. Pada kondisi yang sedang tidak subur keadaan cairan serviks terlihat lebih kental. Kadang bahkan tidak keluar sama sekali.
  • Berghairah Tinggi. Ketika melakukan hubungan intim di masa subur, wanita akan terlihat lebih bergairah dari biasanya. Hal ini akan terjadi pada wanita yang selalu ingin melakukan hubungan di masa suburnya. Wajarlah, gairah meningkat bererti keinginan untuk melakukan hubungan badan juga meningkat.
  • Adanya Perubahan Posisi Serviks. Ketika sedang ovulasi (masa wanita subur), posisi serviks dapat dijangkau dengan jari. Sedangkan pada saat tidak berovulasi, posisi serviks ini jauh lebih ke atas, sehingga tidak dapat tersentuh. Untuk menguji hal ini, Anda dapat memasukkan jari Anda secara lurus ke dalam Miss V. Jika memang sedang dalam masa subur, maka Anda akan dapat menyentuh bagian ujung serviks, rasanya seperti bagian ujung hidung.
  • Payudara lembut dari biasa. Situasi masa subur ini hampir sama dengan situasi kehamilan, sehingga banyak sekali hormon yang berkumpul pada masa ini. Dengan begitu, payudara akan terasa lebih lembut dari hari biasanya.
  • Terjadinya Flek. Ketika masa subur biasanya wanita mengalami bercak-bercak darah yang tertinggal di celana dalam. Hal ini sering terjadi pada masa subur.
  • Perut Terasa Kembung. Di masa subur, anda mungkin merasa bahawa seluar dalam anda terasa sempit, meskipun tidak kekenyangan atau berat badan naik. Hal ini biasa terjadi kerana pada masa ovulasi ini tubuh sedang meyimpan air dalam jumlah yang banyak.
  • Menggunakan Test Kit Ovulasi. Ianya hampir sama seperti  test pack dalam pengujian kehamilan. Dengan menggunakan alat ini maka kesahihan bahawa anda sedang subur memang tak perlu diragukan.

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit dalam satu darjah celcius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. Ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu.

Menganggar Waktu Terbaik Untuk Mendapat Zuriat

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka jangkamasa untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu sperma dicipta dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan, ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami-isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Oleh itu, untuk mendapatkan zuriat, pasangan boleh bersama pada hari ke 11, 12, 13, 14, 15 atau/dan 16 untuk mendapatkan waktu optimum hari kesuburan sekiranya haid anda datang secara konsisten selama 28 hari. Itu adalah menganggarkan waktu subur adalah pada hari ke-14.

Anda boleh cuba setiap bulan untuk beberapa bulan sekiranya tidak berhasil. Ini adalah untuk memastikan waktu subur adalah sesuai dengan waktu bersama anda.

Mengelakkan Mengandung Melalui Cara Kiraan

Selain daripada untuk mendapatkan zuriat, ada pasangan yang ingin mengelakkan mengandung dengan cara mengira kalendar.

Untuk pengetahuan anda, cara mengira melalui kalendar adalah berisiko dan tidak beberapa tepat. Ini adalah kerana anda mungkin boleh tersilap kira, atau kedatangan haid yang tidak beberapa teratur menyebabkan tarikh subur lari dari kebiasaan.

Oleh kerana anda tahu sperma boleh bertahan selama 5 hari di dalam rahim (ada kajian menunjukkan 7 hari!), jadi 5 hari sebelum dan selepas hari kesuburan adalah waktu yang dianggarkan tidak boleh bersama isteri ataupun terpaksa menggunakan cara kontraseptif yang lain.

Ada juga yang meletakkan 3 hari sebelum dan selepas waktu subur. Ini lebih rapat dan lebih berisiko. Terpulang kepada anda sendiri. Seperti yang dinyatakan tadi, cara ini tidak beberapa tepat dan mempunyai risiko yang tersendiri. Wallahu'Alam bissawab.

Jimat Petrol Masa Gawat!



Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Sekarang asyik semua benda naik, petrol naik, tambang naik, elektrik naik.. so apa kata anda mula berjimat-cermat dalam apa aje perkara.... berjimat-cermat hidup lebih berkat dan dipermudahkan dalam setiap urusan....InsyaAllah. Saya kongsi artikel berikut, moga ada manfaat untuk semua. Pemandu yang bijak akan mengikuti kaedah-kaedah yang betul untuk menjimatkan penggunaan petrol. BUKAN mudah hendak membuang tabiat pemanduan yang salah.

Dengan kebimbangan dan kemarahan yang memuncak, pemandu yang bijak akan melakukan apa sahaja untuk menjimatkan penggunaan petrol.
Mungkin anda sendiri boleh mempraktikkan beberapa tip berikut:

* Apabila lampu isyarat bertukar hijau, anda tidak perlu bergerak laju. Lebih kuat anda menekankan pedal minyak, lebih banyak minyak yang digunakan.
Sebaliknya, tekan perlahan-lahan dan anda dapat menjimatkan banyak petrol daripada dulu.

Jika anda melihat lampu isyarat bertukar kepada merah, cepat-cepat tekan pedal brek daripada menunggu sehingga mencapai ke hujung jalan. Pijak brek secara perlahan agar kereta anda dapat berehat seketika dan ini menjamin ketahanan pad brek.

Kedua-dua tip ini mampu meningkatkan penggunaan petrol sehingga 35 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan oleh laman automotif.

* Walaupun tidak menekan minyak dengan kuat, kelajuan boleh menghabiskan banyak petrol. Lebih laju anda memecut, lebih banyak angin yang diperlukan untuk menolak kereta ke depan.

Berdasarkan satu lagi laporan konsumer, pemanduan kereta pada kelajuan 75 batu sejam daripada 65 batu sejam akan mengurangkan penggunaan minyak petrol antara tiga hingga lima batu setiap gelen, bergantung kepada jenis kenderaan.

* Tabiat mengekori kenderaan lain adalah satu perkara yang patut dielakkan.
Selain tidak selamat, perbuatan ini membazirkan minyak kerana setiap kali kereta di hadapan menekan brek, anda terpaksa memijak lebih cepat. Kemudian, anda terpaksa menekan lebih minyak untuk mengejar dan mengekori kereta itu semula.

* Rilekskan diri dan memandu secara hemah. Pastikan kereta anda sejauh dua saat dari kereta di hadapan dengan mengira dua saat dalam hati.

* Anda tidak perlu memulakan enjin dan membiarkannya panas terlalu lama.
Dengan enjin baru yang dipasang pada kereta moden, tabiat ini boleh dikikis tanpa was-was. Dengan membiarkan enjin seminit akan menghabiskan minyak sejauh setengah batu berdasarkan kepada Suruhanjaya Tenaga California.

Sebab itu kereta hibrid akan mematikan enjin gasolin apabila ia berhenti bergerak, walau sesaat. Kita tidak perlu menghentikan enjin pada setiap masa tetapi sekurang-kurangnya matikan enjin sekiranya menunggu kawan berlari ke kedai dan lain-lain. (credit: Utusan Malaysia)

*Isi minyak diwaktu awal pagi atau diwaktu suhu sejuk. Ini kerana ia mempunyai kapasiti lebih banyak cecair petrol pada waktu sejuk berbanding waktu panas kerana banyak wap.

*Isi minyak secara perlahan-lahan supaya cecair petrol dapat masuk sepenuhnya kedalam tangki dan mengurangkan fenomena wap petrol meruap bebas dan membazirkan petrol anda.

*Perhatikan tekanan angin tayar anda. Tekanan angin yang berkurangan akan menambah 5% penggunaan minyak kerana geseran berlebihan.

*Isi minyak semasa tangki separuh penuh. Ini kerana lebih banyak baki minyak dalam tangki akan mengurangkan kapasiti ruang udara sekaligus anda dapat lebih petrol dalam tangki yang lebih optimum.

*Penggunaan Gear - Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi menyebabkan pembaziran minyak kerana rpm injin akan meningkat. Gunakan mod ekonomi jika kereta anda memilikinya.

*Tak perlu pasang air cond kalau cuaca dah sejuk, atau tutup air cond apabila dah nak sampai destenasi. Penggunaan minyak bertambah 10% apabila menggunakan air cond.

*Pastikan tingkap kereta tidak dibuka sepenuhnya semasa memandu. Jika tidak kereta anda akan bertambah geseran dan perlahan menyebabkan anda terpaksa menekan lebih banyak pedal minyak untuk bergerak.

*Kelajuan - Lebih perlahan anda memandu, lebih jimat minyak yang digunakan malahan dapat mengelak dari kena saman. Memandu melebihi 90 km/j akan meningkatkan dengan ketara penggunaan petrol.

Sahabat2ku.......