Beriadah: Sihat + Mesra
Alhamdulillah, syukur sy panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, serta semua ulama semoga dibawah naugan Allah hendaknya... aaamin...
Sy ingin berkongsi topik ini...beriadah/bersukan...... yg pasti ianya merupakan antara cara untuk menyihatkan badan. Dengan bersukan, tubuh badan akan bergerak aktif dan cergas, seterusnya menjadikan anggota badan lebih segar dan sihat. Oleh kerana itulah Islam melihat proses pembinaan fizikal yang utuh seseorang Muslim itu sebagai satu kewajipan yang harus di berikan perhatian. Allah mahu hamba-hambaNya mempunyai tubuh badan yang sihat agar ia dapat melakukan tugasnya sebagai khalifatullah fil ard di muka bumi, mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya secara berterusan .
Islam bukan saja satu agama yg merangkumi aspel peribadatan semata tetapi satu cara hidup yg menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, Sukan. Ini adalah kerana Islam amat peka terhadap pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi manusia agar proses transformasi yg dilakukan dalam dimensi-dimensi ini dapat melahirkan manusia bertaqwa, seimbang, berakhlak, sihat, intelek, berdisiplin serta teguh pendirian.
Islam menyeru manusia agar hidup sihat. Ekoran dari itu, Islam meletakkan asas bahawa segala aktiviti manusia pada asalnya adalah harus, melainkan jika wujud nas yang menyatakan pengharamannya. Ini bermakna semua bentuk sukan yang boleh menyihatkan badan adalah harus bahkan digalakkan, selama mana bentuk sukan itu tidak terkandung unsur-unsur yang menyalahi syariat; menyalahi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah secara qati’i, sahih dan sorih.
Justeru itulah, kita akan dapati bahawa Nabi SAW sendiri juga sering bersukan. Bermain pedang, memanah, menunggang kuda menjadi amalan nabi SAW dan para sahabat, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menyiapkan diri dengan persediaan fizikal dan persenjataan yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam.
Firman Allah;
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْMaksudnya;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu”
Namun, dalam Islam `Matlamat tidak menghalalkan cara’ atau `al ghayah la tubarrirul wasilah’. Matlamat yang baik iaitu untuk menjaga kesihatan badan tidak harus di cemari dengan cara atau pendekatan yang bercanggah dengan syariat Islam. Kita tidak mahu usaha menyihatkan badan melalui aktiviti sukan tidak di kira sebagai ibadah oleh Allah SWT dan ia menjadi sia-sia sahaja. Aktiviti sukan yang membenarkan pencampuran lelaki dan wanita secara bebas boleh membawa kepada kemudaratan jiwa , akal dan emosi. Akhirnya ia boleh membawa kepada perbuatan sumbang dan merosakkan akhlak mereka yang terlibat.
Panduan untuk Seseorang Muslim Dalam Bersukan:
1-Seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga sampai mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain.
2- Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersikap tidak peduli dalam bersukan dengan cara menimbulkan kecederaan kepada yang lain. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan jalan, ini bukan cara Islam.
3-Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang satu pasukan adalah tiada kaitan dengan Islam, kerana ini benar-benar becanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.
4- Tidak dibenarkan kata-kata kesat, perbuatan buruk dan fitnah semasa bersukan.
5-Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.
6-Islam menolak semua permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral seperti wanita berlatih menari dan ditontoni oleh orang ramai.
Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka dan sebaliknya. Didalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita mengamalkan sukan yang khas untuk lelaki.
Kesimpulannya, sudah jelas yang semasa membenarkan sesuatu sebagai halal, Islam meletakkan beberapa syarat yang bertujuan mengekalkan akhlak dan sesuai dengan matlamat peraturan umum. Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Shari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang.
Al-Qur’an mengisytiharkan: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87)”