F

Petua Kecantikan Semulajadi @ Tradisional

Mungkin ramai di antara yang masih tidak mengetahui kepentingan dan kelebihan tumbuhan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak. Sebenarnya kedua-dua bahan ini boleh digunakan sebagai petua dalam mengekalkan kecantikan khususnya kepada kaum wanita. Bahan-bahan ini membantu wanita untuk sentiasa tampil cantik dan menarik. Selain itu, bahan-bahan ini juga mudah didapati, murah dan cara penyediaannya sebagai petua juga mudah. Tidak susah untuk wanita memiliki dan mengekalkan seri wajah mereka kerana mereka tidak perlu berbelanja besar untuknya.

Petua menjaga muka
Menghaluskan kulit muka
a) Ambil sebiji tomato masak dan kisar halus. Kemudian lumurkan pada muka kira-kira 20 minit. Setelah itu, bersihkan muka dengan air suam. Amalkan selalu. Buah tomato ini juga berfungsi untuk membersihkan kulit.
b) Bancuhkan sedikit asam jawa bersama sedikit air dan tepung ubi. Kemudian kacau hingga sebati. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu, pupurkan pada muka dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air bersih.

Menegangkan kulit muka
a) Ambilkan sedikit tepung ubi kayu dan mentimun tetapi sebelum itu mentimun hendaklah dihancurkan sehingga lumat. Kemudian campurkan kedua-dua bahan tadi dengan sedikit air. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu, sapukan ke muka dan biarkan ia kering. Kemudian basuh dengan air bersih.
b) Rebus segenggam biji kani@manjakani di dalam periuk tanah sehinggalah ianya menggelegak dan pekat. Tunggu sehingga ianya suam. Kemudian sapukan pada wajah dan tunggu sehingga kering. Setelah itu, cucilah wajah dengan air bersih. Amalkan selalu.

Menghilangkan jerawat
a) Campurkan sedikit asam jawa dengan bedak sejuk. Selawat sebanyak 3 kali. Kemudian sapukan pada muka. Amalkan selalu, InsyaAllah jerawat akan beransur hilang.
b) Tumbukkan sedikit kulit kayu manis dan campurkan bersama dengan bedak sejuk. Lumurkan pada bahagian muka yang mengalami jerawat. Setelah itu, bersihkan muka dengan air bersih. Amalkan selalu.

Merawat kulit berkedut
a) Bersihkan sebatang lobak merah dan kemudian parutkan lobak itu. Selepas itu, campurkan parutan lobak bersama sesudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Kacau hingga sebati dan oleskan pada wajah sekali sehari. Amalkan selalu.

Petua menjaga rambut

Mengelakkan rambut gugur
a) Ambil segenggam daun bunga raya dan beberapa helai daun lidah buaya. Basuh bersih dan kisarkan kedua-dua hingga lumat. Perapkan bahan ini di atas kepala selama satu jam. Lakukan 2 kali seminggu. InsyaAllah rambut akan kekal kuat dan hitam semulajadi.
b) Rendamkan secawan kacang hijau semalaman. Kemudian tapis dan ambil airnya untuk disapu di atas kulit kepala sambil kulit kepala dipicit perlahan. Amalkan selalu. Selain itu, elakkan mengikat rambut dengan getah.

Menghilangkan kelemumur
a) Perahkan beberapa biji limau purut atau limau nipis di atas kulit kepala. Lumurkan sehingga rata dan biarkan selama beberapa jam. Untuk hasil terbaik, perapkan rambut dengan tuala. Amalkan selalu. Petua ini juga berguna untuk mengurangkan pening kepala.

Petua-petua ini boleh dicuba dan dilihat keberkesanannya tetapi harus diingat bahawa ianya akan mengambil masa untuk mengetahui keberkesannya. Oleh itu sesiapa yang mencuba petua-petua ini haruslah bersabar untuk mengetahui kesannya dan petua ini haruslah diamalkan selalu. Kebaikan mengamalkan petua yang berasaskan tumbuhan ini adalah kerana ia tidak mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan manusia. Selamat mencuba!
0 Responses

Sahabat2ku.......