F

Salam MAAL HIJRAH 1436H/2014


Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Rasanya masih belum terlewat untuk saya dan keluarga mengucapkan Salam Maal Hijrah 1436H kepada seluruh umat Islam di mana jua anda berada. Semoga tahun baru  ini akan menjadi tahun yang lebih baik dari tahun sebelumnya buat kita semua... InsyaAllah.

Jom kita citer skit pasal tahun hijrah ni....


Muharram adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (QS Al-Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah SAW telah menamakan bulan Muharram sebagai ‘Bulan Allah’ (Shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda SAW kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khawas (khusus) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Berkata Al-Hassan Al-Basri rahimahullah: “Sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.”

Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

Tema Maal Hijrah 2014
Sejarah Kalendar Hijrah

Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar As-Siddiq ini telah mencetuskan ilham menggunakan kalendar ini selepas Kesatuan Arab menuntut untuk dihasilkan satu kalendar Islam.

Ada juga kisah lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Ketika itu, terdapat banyak kalendar yang telah lama dihasilkan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Namun Saidina Umar memilih untuk memulakan Kalendar Hijrah pada tahun terdapatnya peristiwa besar yang melibatkan baginda Rasulullah S.A.W. Peristiwa tersebut tidak lain tidak bukan, peristiwa HIJRAH antara Kota Mekah dan Kota Madinah.

Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu. Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W berlaku antara bulan Safar hingga Rabiul Awal. Hanya TAHUN berlakunya peristiwa ini ditandakan sebagai TAHUN PERTAMA HIJRAH. Wallahu'Alam.


Mari sama-sama kita berubah dari insan yang baik kepada insan yang lebih baik. Semoga segala amalan baik kita di terima Nya dan di berkati Nya.   In sha Allah.


 جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا كَثِيْرًا وَجَزَاكُمُ اللهُ اَحْسَنَ الْجَزَاء
Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’
“Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA 1435H

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulillah..... hari ini umat Islam meraikan Hari Raya Aidil Adha... saya sekeluarga mengambil kesempatan utk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA, sama2lah kita menyelami erti sebuah PENGORBANAN......

Kedatangan 10 Zulhijah yang penuh kerahmatan, hendaklah disambut dengan berbanyak kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadat haji, dan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, mereka telah berjaya menunaikan puasa dari 1 – 9 Zulhijjah.

Nabi Muhammad SAW bersabda:  “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah.”  (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah pergandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.

Beberapa amalan yang dianjurkan bagi menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Aidiladha) adalah:-

SEBELUM 10 ZULHIJAH
*   Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
*   Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya Aidiladha.
*   Bersederhana dalam persiapan menyambut raya bagi mengelakkan pembaziran.

PAGI 10 ZULHIJAH
*   Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
*   Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
*   Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
*   Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
*   Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat Aidiladha.
*   Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
*   Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
*   Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari     pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
*   Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
*   Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
*   Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
*   Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.

Niat Mandi Sunat Hari Raya Aidiladha:
نَوَيْتُ الْغُسْلَ مِنْ يَوْمِ عِيدِ اْلاَضْحَى سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Daku berniat mandi sunat Aidiladha kerana Allah Ta’ala.

HARI RAYA KORBAN
Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

1. Takbir
Suasana hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Korban ini hendaklah dihiasi dengan takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutama selepas setiap solat fardu.

Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).”  (Hadis riwayat al-Thabrani).

Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.

اَللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.   ( × 5/3)
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ. 
 Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.

2.  Banyakkan membaca doa Nabi Yunus:

لآ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِيْنَ
Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.

Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, adakah doa ini hanya khusus untuk Nabi Yunus atau untuk orang mukmin secara umum?”
Rasulullah menjawab dengan firman Allah bermaksud: “Dan kami selamatkannya daripada kesusahan. Begitu jugalah kami akan menyelamatkan orang mukmin.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 88)

3.  Berdoa Taubat
Perbanyakkan berdoa kehadrat Allah, terutama merayu kepada-Nya supaya Allah mengangkat kemarahan dan kemurkaan-Nya daripada kita.
Kita merayu kepada-Nya janganlah dibalas jika kita terlupa atau tersilap. Merayu kepada-Nya agar Dia tidak menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul.
Merayulah kepada Allah, agar Dia memaaf, mengampun dan mengasihi kita. Dialah pelindung dan Dialah yang akan memberi kemenangan kepada kita.

4.  Solat Sunat Aidiladha
Solat Sunat Aidiladha dua rakaat adalah sunat muaakkad, yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji, di Tanah Suci Mekah.

5.  Ibadah Korban
Aidiladha disebut juga Hari Raya Korban. Kata `Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata `dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.”       Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.

Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HIKMAH AIDILADHA
#    Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
# Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.

Penjelasan JAKIM : Puasa sunat hari Arafah

Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Baru-baru ini, timbul isu tentang kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia dan pelaksanaan puasa sunat sempena hari Arafah. Persoalan ini timbul kerana perbezaan hari dan waktu antara Malaysia dan Arab Saudi. Antara persoalan yang bermain di minda mereka mungkin disebabkan perbezaan tarikh antara negara Arab Saudi dan Malaysia pada hari 9 Zulhijjah 1435 hijrah.

Ini berikutan 9 Zulhijjah di Arab Saudi (Mekah) jatuh pada 3 Oktober 2014 (Jumaat) manakala menurut takwim Islam di Malaysia 9 Zulhijjah bersamaan 4 Oktober 2014 (Sabtu)
Antara persoalan tersebut adalah, sama ada hari Jumaat atau hari Sabtu untuk berpuasa sunat Hari Arafah (Wukuf) khususnya di Malaysia.


Perbezaan ini menimbulkan sedikit kekeliruan hari bilakah umat Islam boleh berpuasa sunat. Bagi menjawab kekeliruan itu Jakim telah mengeluarkan suatu kenyataan media melalui ketua pengarahnya, Datuk Haji Othman Mustapha.


KAEDAH PENENTUAN AIDILADHA DI MALAYSIA DAN PELAKSANAAN  PUASA SUNAT SEMPENA HARI ARAFAH 1435H

Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memaklumkan mengenai Kaedah Penentuan Aidiladha di Malaysia dan Pelaksanaan Puasa Sunat sempena Hari Arafah.

1. Kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia pada masa kini adalah berpandukan rukyah dan hisab negara sendiri yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994 setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992. 

2. Antara hujah Jawatankuasa Fatwa menyetujui penentuan Aidiladha berpandukan cerapan hilal Zulhijjah sendiri dalam muzakarahnya pada 22 Ogos 1992 dan 23 April 2002 adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 mengenai rukyah hilal untuk menentukan awal bulan yang bermaksud: 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa, dan siapa yang sakit  atau  dalam  musafir,  maka  (bolehlah   ia   berbuka  dan kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…”

3. Juga hadith-hadith riwayat Muslim mengenai ibadah korban mesti dengan melihat hilal yang bermaksud: “Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.” 

“Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya (yakni membuang rambut dan kulitnya).’

4. Begitu juga hadith riwayat Muslim mengenai hilal yang mempunyai matla’ (kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit dan terbenam yang hampir sama) tertentu yang bermaksud, “Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham.  Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat, kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah  SAW menyuruh kami…’.”

5. Untuk penentuan awal Zulhijjah 1435H, kebanyakan negara di seluruh dunia telah mencerap hilal pada petang 24 September 2014 yang lalu. Antara negara tersebut termasuklah negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang lebih dikenali dengan MABIMS. Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah juga telah mencerap hilal Zulhijjah pada tarikh yang sama.

6. Tiada negara anggota MABIMS melaporkan telah berjaya mencerap hilal pada petang 24 September 2014. Di Malaysia, 29 tempat cerapan rasmi keseluruhannya melaporkan tidak berhasil mencerap hilal. Justeru, Malaysia dan kesemua negara anggota MABIMS telah menetapkan awal Zulhijjah pada 26 September 2014 seterusnya akan menyambut Aidiladha pada 5 Oktober 2014. Komuniti Islam di negara 
yang menerima pakai keputusan cerapan hilal rantau MABIMS seperti Jepun juga akan menyambut Aidiladha pada tarikh yang sama. Di rantau Timur Tengah pula, Arab Saudi dilaporkan telah berhasil mencerap hilal Zulhijjah di kawasan sekitar Shaqra dan Sudair berdekatan dengan Riyadh seterusnya menetapkan wuquf di Arafah jatuh pada 3 Oktober 2014 dan Aidiladha pada 4 Oktober 2014. 

7. Matla’ negara Malaysia yang berbeza dengan Arab Saudi yang berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal lebih tinggi di negara berkenaan. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara adalah sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. 

8. Setiap negara hanya boleh menerima pakai keputusan cerapan hilal matla’  negara masing-masing. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;

“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”. 

Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang sama. Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam  matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya penentuan tarikh Aidiladha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS.  

9. Komuniti Islam di Jepun telah bertanyakan kepada negara Arab Saudi berkenaan sejauh mana kesahan matla’ hilal dalam menentukan awal Zulhijjah dan Aidiladha di tempat mereka. Kenyataan rasmi negara Arab Saudi memaklumkan supaya komuniti Islam di Jepun berhari raya dan berpuasa sunat sempena hari Arafah mengikut hasil cerapan hilal di Jepun atau pun negara yang sama  matla’  dengannya seperti negara MABIMS. Oleh kerana itulah komuniti Islam di Jepun menerima pakai 
keputusan cerapan hilal di Malaysia.

10. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj  menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah:

“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji…

11. Hakikatnya, bukan semua negara di dunia dapat berpuasa pada detik yang sama. Sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada detik yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Jumaat ini,  maka 
ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa, orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka. Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului apa yang sedang berlaku di Arafah.

12. Ringkasnya, kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia yang berpandukan kepada cerapan hilal Zulhijjah sendiri dan tidak terikat dengan hasil cerapan hilal Zulhijjah Arab Saudi adalah tepat. Pun begitu, negara-negara atau rakyat Malaysia yang berada sekitar Arab Saudi atau negara-negara sebelah barat Arab Saudi (atas dasar imkanur-rukyah atau peluang kenampakan hilal menjadi lebih besar sebelah barat negara yang berhasil rukyah hilal) perlu beraya bersama 
Arab Saudi. 

13. Cadangan untuk menukar kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia kepada berpandukan hari wuquf pernah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23 April 2002. Muzakarah membuat keputusan seperti berikut:

“Menolak Cadangan Penentuan Aidiladha Berdasarkan Hari Wukuf  Dan  Mengekalkan  Kaedah   Penetapan   Aidiladha  Di Malaysia Adalah Berdasarkan Kepada Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah Berasaskan Sistem Imkanul Rukyah Kerana Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah Lebih Sesuai Diamalkan Di Negara Ini. 

14. Pelaksanaan puasa sempena hari Arafah di Malaysia bolehlah dilaksana pada 9 Zulhijjah negara bersamaan hari Sabtu 4 Oktober 2014. 

Sahabat2ku.......