F

Kematian & Peringatan Untuk Kita Semua


Membicarakan perihal kematian akan membuatkan kita terdiam sejenak, kelu dan hilang kata-kata sewaktu rancak berbicara.

Sesiapa sahaja yang sedang asyik ketawa dan berbicara tentang perihal dunia maka pastinya akan terdiam atau sekurangnya merasa kurang enak apabila kita berbicara tentang kematian.

Kematian

"(Dialah) yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". (Al-Mulk: 2).
Cubalah berbicara tentang meninggal dunia, mengingati orang-orang sekeliling kita yang telah pergi mengadap Allah, jasad yang kaku, hilang segala-galanya hubungan dengan kehidupan.

Fikirkan pula tentang kubur, ruangan yang kecil, perlahan-lahan jasad diturunkan ke dalam lubang lalu ditimbus.

Gelap gelita, sempit sehingga sesak nafas, apa masih bernafaskah ? Ruangan yang gelap dan kehidupan yang tidak pasti apa akan berlaku seterusnya di hadapan. Kehidupan lalu di dunia semuanya terputus dan hilang tanpa ada upaya kembali walau sesaat untuk menguruskan apa yang belum sempat.

Tiada masa dan tidak akan ada peluang untuk membetulkan kembali kesalahan lalu, apakah masih berpeluang merangkak keluar dari kubur dengan jasad yang sudah tiada nyawa, tiada darah mengalir, badan yang sejuk kaku dan lama-lama membusuk ?

Masih berpeluangkah merangkak keluar dan kembali ke dunia dan kembali ke sisi keluarga untuk mengucup pipi ibu dan ayah bagi melepas rindu ? atau memeluk isteri barang sekali dua melepas rasa dendam kasih atau mencium anak-anak dan mengusap wajah dan kepala mereka sekejap cuma ?

Punyai waktu lagikah untuk menguruskan beberapa kerja yang tertangguh yang belum sempat disiapkan disebabkan datangnya malaikat mencabut nyawa dengan begitu cepat tanpa sempat membuat persediaan dan tanpa pemberitahuan ?

"Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula mempercepatkannya". (al-A’raaf: 34).
Kematian datang secara tiba-tiba dan tiada sesiapa dari kalangan manusia yang tidak terkejut dengan mati kecuali orang yang benar-benar beriman dan berjuang di jalan Allah yang mengharapkan kematian kerana Allah swt.

Kematian boleh berlaku dengan kemalangan, kecederaan atau sakit atau kadang-kadang tergempar dan tiba-tiba begitu sahaja. Maka hendaklah difahami bahawa tujuan hidup ini ialah beribadah dan melaksanakan satu misi khusus iaitu menjadi hamba dan beribadah kepada Allah swt sehingga mendapat redha-Nya dan memenuhi tanggungjawab kepada-Nya.

"Apakah manusia mengira, bahwa dia akan dibiarkan sia-sia?" (al-Qiyamah: 36)


Berkata Imam Syafi’i (ketika menafsirkan ayat ini): “Makna sia-sia adalah tanpa ada perintah, tanpa ada larangan.” (Tafsirul Quranul Karim, Ibnu Katsir, jilid 4, cet. Maktabah Darus Salam, 1413 H hal. 478) .

Ayat ini sudah dijawab oleh Allah swt dengan ayat yang lain apabila Allah menyebut : "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada-Ku." (adz-Dzariyat: 56).

Penciptaan manusia ini sememangnya untuk beribadah dan menjalankan kewajipan kepada Allah swt tanpa mempedulikan apa pandangan manusia dan penghinaan yang diterima.

Seseorang yang akan mati maka tetap akan mati tetapi hendaklah berusaha mencapai kematian yang baik. Bagaimanakah kematian yang baik ? Apakah mati di atas tilam dalam pelukan isteri ? Mati di Mekah di dalam Ka'bah atau mati di dalam Masjid ? atau Mati di dalam loji najis atau mati di dalam Kereta kerana kemalangan atau di atas katil kerana sakit atau di atas jalan kerana ditembak oleh musuh Allah ??

Kematian yang baik ialah apa yang disebutkan oleh Allah swt di dalam kitab-Nya : "Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan kalian mati dalam keadaan Islam". (Ali Imran: 102).Selama kematian itu dalam Islam dan kerana Islam maka tidakah mengapa keadaan mati itu kerana bukan cara mati itu baik digantung, ditembak, dibunuh, kemalangan itu yang menjadi perkiraan sebaliknya keadaan diri dan iman dan agama kita sewaktu mati itu yang menjadi nilaian Allah swt.

Oleh : Ustaz Emran



Permasalahan Bercampur Lelaki Perempuan

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma 'ruf, mencegah dari yang munkar" (At-Taubah: 71).

Permasalahan Bercampur Lelaki Perempuan

Sesungguhnya perintah menundukkan pandangan merupakan satu adab, tuntutan dan perintah sunnah yang diperintah oleh Allah swt dan diajari oleh sunnah baginda salallahualaihiwasalam. Ana merasa pelik bagaimana pemilik-pemilik weblog tertentu boleh memaparkan gambar lelaki dan wanita bergambar di tepi pantai yang indah.....konon melalui satu program, baktisiswa dan pelbagai lagi.

“Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan (dalam memenuhi fitrah)” (Al-isra : 32).

Sungguh persahabatan lelaki perempuan, memual di friendster, di Sms.ac, YM dan pelbagai lagi medan yang ana tahu dan tidak tetapi sebenarnya ianya meragukan dan dipenuhi syubhat. Tidak bersalah berkenalan, tidak bersalah apa-apa untuk seorang lelaki menjemput seorang muslimah menyertai rangkaian "friendster"nya atau apa....

Namun menjadi kesalahan bagi seorang muslim yang beriman dengan Allah dan rasul serta mengakui menuruti perintah Al-Qur'an dan sunnah untuk memaparkan gambar-gambar wanita dan lelaki sekalipun bertudung tetapi bercampur dalam sebuah gambar dengan tanpa keperluan yang mustahak dan darurat.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampaui batas” (Al-Maidah : 87).

Apakah kepentingan dan manfaat seorang yang beriman kepada Allah swt memaparkan gambar rakan-rakan kenalan wanitanya dalam weblog, friendster dan lain-lain sekiranya dia seorang yang muslim ?

“Dan katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya" (An-Nur: 30).

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya” (An-Nur: 31).

Lalu menulis di bawahnya " rehlah ke pantai" atau " kami berposing dengan gembira" apakah ini adab dan teladan sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam ?

Sekalipun pada zaman baginda rasulullah tiada kamera digital dan kamera manual tetapi tentu kita tahu bahawa sekiranya wujud kamera pun pada zaman nabi salallahualaihiwasalam para sahabat ra dan rasulullah tidak akan berpossing-possing bercampur lelaki dan perempuan dalam satu gambar !!!

Sedangkan baginda pernah menyebut : “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar (dari rumah) , syaitan akan menghiasinya” (Dikeluarkan oleh Al Bazzar dan At Tirmidzi dan dishahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Irwaul Ghalil jilid I).

“ Sesunnguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan…” (Yusof : 53).

Baginda rasul pernah mengatakan : “Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).

Apakah mungkin sahabat ra akan berpossing bertangkap gambar dengan sahabat wanita ra dengan alasan mereka bergambar kenangan kononnya "ukhuwah fillah" di tepi pantai yang indah atau di hutan peranginan kawasan rekreasi ?

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

MasyaAllah..., sekalipun ana ini dianggap kolot tetapi ana merasakan perlulah menegur sahabat-sahabat dan kenalan ana yang terlalu sangat modennya dan bebas pergaulannya.

Kita perlu sedar, perbuatan bersosial lelaki perempuan tanpa batasan sangat ketara bertentangan dengan perintah daripada Al-Qur'an dan sunnah dan hendaklah kita berusaha menjaga diri dari maksiat.

Tidak haram perempuan muslimah memaparkan gambarnya yang menutup aurat dan gambar-gambar bersama kawan-kawan perempuannya sekalipun hukumnya makruh dan dibenci serta boleh jatuh haram apabila mengundang fitnah tetapi apabila dia memaparkan gambar dirinya (wanita) dengan kawan-kawan lelakinya maka ianya sudah jadi salah dan seolah-olah umat Islam ini sama sahaja seperti barat yang biasa bergambar lelaki perempuan kawan kenalan cuma hanya tudung yang membezakan.

Hubungan Bebas Lelaki Dan Wanita

Sesungguhnya syariat Islam membataskan perhubungan lelaki dan wanita dalam apa jua keadaan yang tiada keperluan dan hendaklah hubungan itu berlangsung dengan menuruti syariat dan membawa manfaat bukan mudharat.

Terlalu bebas hubungan lelaki perempuan baik dalam ruangan chat di yahoo mesengger, di dalam mirc dan juga di dalam ruangan-ruangan agama yang merapu dan mengarut.

“ Sesunnguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan…” (Yusof : 53).

Kita lihat dalam group-group dan ruangan agama yang dibangunkan secara portal banyak mengarut sekalipun mengunakan nama-nama agama dan arab tetapi dalamnya lelaki dan perempuan bebeas mengarut dan bermaksiat dan merapu dan berkenalan dan bersosial seolah-olah seperti barat cuma di atas namakan agama.

eida (bukan nama sebenar) : Hai..apa kaba ? cihat x ? i just visit ur blog...nice i like it...ukhuwah fillah...bila leh jumpe tuan punya blog ( lelaki) : baik....u pulak jaga diri yee...Ukhuwah Fillah !

Apabila ana membaca tulisan di atas dalam ruangan chitchat di blog-blog dan juga seringkali menemui percakapan bodoh, kosong seperti ini dalam ruangan-ruangan agama maka ana merasa sedih dan terkilan dengan budaya Islam di Malaysia yang sudah mengarut.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda : “Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakkan penduduknya adalah wanita” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas dan Imran serta selain keduanya).

Dari Imran bin Husain dia berkata, Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda : “Sesungguhnya penduduk syurga yang paling sedikit adalah wanita.” (hadith riwayat Muslim dan Ahmad).

Imam Qurthubi rahimahullah mengulas hadits di atas dengan pernyataannya : “Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat.” (Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tadzkirah halaman 369).

Apalah gunanya ada jemaah-jemaah dan gerakan sofwah Islamiyah sekiranya mereka dengan gerakan-gerakan dan persatuan-persatuan ini lebih merosakan dan mencampurkan anak-anak muda lelaki dan perempuan dengan mengatas namakan agama ??

Muslimat tudung labuh konon menjaga diri tetapi boleh pula bergambar senyum manis dengan rakan-rakan lelaki yang berkopiah merah, putih dan kopiah raihan konon "ukhuwah Islamiyah" sedangkan Islam bukanlah demikian dan pemikiran umat Islam Malaysia sudah melampaui batasan.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt dan dalam kesakitan dan kesihatan yang merosot dan diri yang lemah ini ana memanjatkan rayuan kepada umat Islam kembalilah kepada sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam.

Pesanan buat muslimah, hentikanlah kata-kata mengedik-gedik, terhegeh-hegeh, mengatal tak tentu hala dan jadilah muslimah solehah yang menjaga diri, cakapan dan tulisan serta perangai.

Bagi muslimin, hendaklah menjaga diri dengan iman dan ilmu serta akhlak yang soleh dan mentaati perintah Allah dan rasul-Nya, usahakan menghindari fitnah wanita dan godaan percampuran bebas kerana lelaki yang soleh ialah yang menjaga dirinya dari maksiat kepada Allah swt.

Sabda baginda rasulullah : " Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah swt di hari tiada naungan (perlindungan) selain dari perlindungan Allah...pemuda yang hidup dalam ibadah kepada Allah (jauh dari maksiat) ....pemuda yang apabila digoda oleh wanita yang cantik dan berkedudukan untuk melakukan maksiat lalu berkata : Sesungguhnya aku takut kepada Allah..." ( Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Katakanlah wahai muslimin sejati, salafi dan sunni dan hakiki dan umat Nabi Salallahualaihiwasalam apabila kamu di goda oleh muslimat-muslimat dengan menerima kehadiran mereka tanpa diundang dalam hidup kamu dengan berkata "Sesungguhnya aku takut kepada Allah".

Segala puji hanyalah bagi Allah swt, semoga Allah menerima diri ana di sisinya dan kepadanyalah ana kembali...

Sakit ini satu nikmat
Kerananya kita menyedari akan perihal rahmat
Hikmah yang tersembungi di dalam langit tinggi
Hanya pemilik langit dan bumi yang mengetahui
Kesembuhan itu aku tidak ingini
Keredhaan itulah yang aku dambai

p/s :

Sebuah risalah yang bertajuk : "Permasalahan Hubungan Lelaki Perempuan di Alam Maya" akan dikeluarkan untuk manfaat umum...insyaAllah.

Oleh : Ustaz Emran

Apakah dengan kematian, terputus segala amalan????

Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo'a untuknya".

Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga".

Daripada kedua hadis tersebut kita mengambil kesimpulan bahawa meskipun, dengan datangnya kematian kepada kita, kesempatan untuk beramal telah terputus atau terhenti, tetapi peluang untuk memperoleh pahala amalan tertentu tetap terbuka bagi kita.

Di dalam kedua hadis tersebut, Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan kepada kita bidang-bidang pelaburan yang pasti akan menguntungkan kerana pahalanya akan berterusan mengalir selepas kematian kita, iaitu:

Pertama: sadaqh jariyah, iaitu sedekah yang pahalanya terus mengalir selama faedah atau manfaat yang disedekahkan itu terus berjalan, seperti menderma atau mewakafkan tanah untuk masjid, surau, madrasah atau lain-lain yang berguna bagi agama dan umat Islam.

Kedua: menuntut dan mengembangkan ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi agama dan umat, menghidupkan majlis-majlis ilmu atau pengajian-pengajian, dan lain-lain usaha yang membantu ke arah perkembangan ilmu pengetahuan yang dituntut oleh agama.

Ketiga: memperhatikan pendidikan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, yang sentiasa berdo'a untuk kedua ibu-bapanya.

Keempat: setiap amalan yang mendatangkan kebaikan, yang selari atau tidak bercanggah dengan syariat, yang kita mulakan melakukannya semasa hidup kita, kemudian diikuti oleh orang ramai sehingga menjadi adat kebiasaan bagi mereka, maka kita akan mendapat pahala melakukannya dan juga sebanyak pahala orang yang mengikutinya.

Amalan yang hidup untuk yang mati

Mengenai amalan orang yang hidup, seperti bacaan Al-Qur'an, do'a, sedekah dan lain-lain, untuk orang yang sudah mati, terdapat perbezaan pandangan: Imam Nawawi, di dalam kitabnya Al-Adzkaar, menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa do'a untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka, dan pahalanya sampai kepada mereka bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Hasyr:

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo'a dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa kami, dan dosa saudara-saudara kami yang mendahulu kami dalam iman,...".

Dan juga bersandar kepada hadis-hadis yang masyhur, seperti: do'a Rasulullah s.a.w.:

"Ya Allah, ampunilah bagi ahli yang hidup dan juga yang mati daripada kami", dan lain-lain.

Mengenai bacaan Al-Qur'an, terdapat perbezaan pandangan:

Yang masyhur daripada mazhab Syafi'ie bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Tetapi, sekumpulan sahabat Imam Syafi'e sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya, yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat dan sampai pahalanya kepada si mati.

Imam Nawawi r.a. telah menukil riwayat Abi Dawud dan Baihaqi daripada Uthman Bin Affan r.a. bahawa beliau berkata:

"Nabi s.a.w., apabila selesai daripada mengebumikan mayat, berdiri di atasnya, kemudian bersabda: Mohonlah keampunan bagi saudaramu, dan mintakan baginya ketabahan, kerana sesungguhnya ia sekarang sedang disoal".

Imam Syafi'ie r.a. dan sahabat-sahabatnya menyatakan bahawa disunatkan membaca sebahagian daripada Al-Qur'an, dan jika mereka mengkhatamkan seluruhnya adalah lebih baik lagi.

Imam Nawawi juga telah menukil riwayat Baihaqi bahawa menurut Ibnu Umar r.a. disunatkan membaca awal dan penghabisan daripada surah Al-Baqarah, selepas pengembumian di atas kubur.

Segolongan kaum muslimin berpendapat bahawa orang mati tidak akan mendapat sebarang faedah daripada amalan orang yang hidup. Mereka berhujjah dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Najm: 39:

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya".

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya".

Dan mereka juga berhujah dengan sabda Nabi s.a.w.:

"Apabila manusia mati, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah(untuk masjid, surau, madrasah dan lain-lain keperluan kaum muslimin), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo'a untuknya".

Hasan Al-Saqqaf telah menukil jawaban Imam Abdullah Ibnu al-Siddiq al-Ghamawi di dalam risalahnya, Tawdih al-Bayan Li Wusul Thawab al-Qur'an, yang di antara kandungannya:

"Ayat tersebut (Al-Najm:39) tidak menafikan bolehnya seseorang mengambil manfaat daripada usaha orang lain. Yang dinafikan olehnya adalah pemilikan manfaat tersebut bagi selain yang mengusahakannya. Di antara kedua perkara tersebut terdapat perbezaan yang nyata.

Allah SWT mengkhabarkan bahawa manusia tidak memiliki selain yang diusahakannya. Adapun yang diusahakan oleh orang lain, maka ia adalah milik yang mengusahakannya: jika ia ingin ia boleh memberikannya kepada orang lain, dan jika ia ingin ia boleh mengekalkannya bagi dirinya sendiri. Allah SWT tidak memfirmankan bahawa ia tidak akan mengambil manfaat melainkan dengan apa yang ia usahakan.

Imam Qurtubi berkata: Dikatakan sesungguhnya Allah berfirman; laam al-khafd dalam bahasa Arab bererti memiliki dan mewajibkan, maka makna ayat: Tidak wajib bagi manusia selain yang ia usahakan. Jika orang lain bersedekah kepadanya, maka tidak wajib baginya sesuatu, tetapi Allah Azza Wa Jalla bermurah hati ke atasnya dengan memberikan apa yang tidak wajib baginya, sebagaimana Allah bermurah hati dengan memasukkan kanak-kanak ke dalam Syurga tanpa amal.

Syaikh Abul Abbas, Ahmad Bin Taimiyah berkata: Barangsiapa yang mengiktiqadkan bahawa manusia tidak akan mengambil faedah selain daripada apa yang ia lakukan, maka ia telah menyalahi ijma'. Yang demikian adalah batil dari beberapa segi:

Pertama: Manusia mengambil faedah daripada do'a orang lain, yang bererti mengambil manfaat daripada amalan orang lain.
Kedua: Nabi s.a.w. memberi syafaat kepada ahl al-mawqif (semua manusia yang menunggu penghisaban di Mahsyar) untuk menyegerakan penghisaban, kemudian kepada ahli Syurga untuk memasukkan mereka ke dalam Syurga, kemudian bagi ahl al-kabair (orang-orang yang melakukan dosa besar) untuk mengeluarkan mereka dari neraka.

Ketiga: Para malaikat berdo'a dan memintakan ampunan bagi penduduk bumi.

Keempat: Allah SWT mengeluarkan orang yang belum pernah melakukan sebarang kebaikan dari neraka kerana semata kemurahan dan rahmatNya. Ini bermakna mereka mengambil manfaat daripada selain amalan mereka.

Kelima: Kanak-kanak orang mukmin memasuki Syurga dengan amalan bapa mereka.
Keenam: Dalam surah al-Kahfi, dua anak yatim mengambil manfaat daripada amalan bapa mereka yang soleh.

Ketujuh: Mayat mengambil manfaat dengan sedekah yang dibuat untuknya, dengan nas Al-Sunnah dan ijma'.

Kelapan: Haji wajib gugur tuntutan ke atas mayat dengan haji yang dilakukan oleh Walinya untuknya, dengan nas Al-Sunnah.

Kesembilan: Haji nazar atau puasa nazar gugur tuntutan ke atas mayat dengan dilakukan oleh orang lain.

Kesepuluh: Orang yang berhutang, yang Nabi s.a.w. menolak untuk solat ke atas jenazahnya sehingga dibayarkan hutangnya oleh Abu Qotadah r.a., dan dibayarkan hutang lainnya oleh Ali Bin Abi Talib r.a., mengambil manfaat daripada amalan mereka dan daripada solat Nabi s.a.w., yang juga merupakan amalan orang lain.

Dengan huraian ini jelaslah bahawa berhujah dengan ayat tersebut atas tidak sampainya pahala do'a atau bacaan kepada mayat adalah tidak benar, kerana ayat tersebut tidak menunjukkan yang demikian.

Imam Nawawi berkata: "Sebaiknya, orang yang membaca (Al-Qur'an), selepas selesai membacanya, hendaklah berdo'a: Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si Fulan, dan juga disunatkan supaya memuji si mati dan menyebut kebaikan-kebaikannya". 
 
Petikan : Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Perlu ikhlas dalam berdoa

Islam adalah agama yg sangat sempurna......semua aspek kehidupan di dunia dan di akhirat diajar untuk panduan kehidupan kita di dunia dan juga di akhirat kelak..... apa pun yang kita lakukan biarlah ikhlas kerana Allah swt semata-mata....termasuklah apabila kita berdoa... insyaallah pasti dikabulkanNya, namun seandainya doa kita tidak terjadi seperti apa yg diminta pasti ada sesuatu yg hebat telah Allah swt sediakan untuk kita insyaallah......

Sheikh al-Maghari berkata: Apabila Allah menuntut hambanya dalam ayat yang dahulu tentang kefarduan puasa Ramadan, menyempurnakan bilangannya serta menggesa mereka supaya bertakbir untuk persiapan bersyukur. Allah s.w.t menyebut dengan ayat ini sebagai dalil dia bersifat Maha Mengetahui keadaan mereka dan Maha Mendengar segala doa mereka.

Sayid Qutub berkata: Sebelum rangkaian ayat ini meneruskan penerangannya mengenai hukum-hukum yang terperinci tentang masa-masa puasa, had-had menikmati kenikmatan dalam masa puasa dan had-had imsak, kita dapati di sana ia mengemukakan satu tarikan perhatian kepada pedalaman-pedalaman jiwa manusia dan liku-liku rahsia hati mereka.

Kita dapati satu ganti rugi yang amat diingini terhadap kesulitan berpuasa dan satu balasan yang segera terhadap mereka kepada perintah Allah. Kita dapati ganti rugi dan balasan itu terletak pada nikmat perdampingan mereka dengan Allah dan pada nikmat keredaan-Nya memperkenankan doa mereka. Semua itu digambarkan dengan kata-kata yang lemah lembut, jernih dan indah yang hampir-hampir memancarkan cahaya yang terang.

Firman Allah, “Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” (Al-Baqarah: 186)
Sayid Qutub berkata: Yakni Aku sangat hampir dan akan terus memperkenankan doa setiap yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku… alangkah lembutnya! Alangkah halusnya! Dan alangkah ramahnya! Dan dimana lagi letak kesulitan berpuasa dan kepayahan taklif di bawah naungan kemesraan kehampiran dan keramahan yang seperti ini.

Firman Allah: “Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” Sebab turunnya ayat ini bahawa Nabi s.a.w mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang yang tinggi di dalam peperangan Khaibar.

Lantas Nabi s.a.w bersabda kepada mereka yang bermaksud: Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu. Di sini Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan turunnya ayat ini selain di atas:
  • Seorang Badwi datang bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini. Seperti riwayat Alsalt bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya.
  • Yahudi Madinah bertanya: Hai Muhammad! Bagaimana Tuhan kami mendengar doa kami, sedangkan kamu sangka antara langit perjalanan lima ratus tahun? Kemudian turunnya ayat ini. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.
  • Mereka berkata: Hai Rasulullah! Kalau kami tahu waktu yang disukai oleh Allah untuk kami berdoa kepada-Nya. Lantas turunnya ayat ini, seperti pendapat Ata’.
  • Sahabat Nabi bertanya Rasulullah: Di manakah Allah? Lantas turunnya ayat ini. Seperti kata al-Hasan.
Firman Allah: Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Sheikh al-Maghari berkata: Dekatnya Allah dengan hambanya bermaksud: Penguasaan ilmu dengan sesuatu ialah dia mendengar segala ucapan dan melihat perbuatan mereka.
Dinyatakan di sini beberapa adab berdoa, antaranya:
1. Berdoa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah s.w.t.
2. Memulakan dengan pujian kepada Allah s.w.t dan diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
3. Menutup doa dengan pujian kepada Allah s.w.t dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Imam al-Nawawi berkata bahawa para ulama telah sepakat (ijmak) bahawa doa itu dimulai dengan kalimah memuji Allah s.w.t kemudian selawat kepada Rasulullah s.a.w. Demikian juga penutup doa, diakhiri dengan pujian dan selawat. (Al-Azkar dalam Bab Pembukaan dan Penutup Doa. Ibn Hajar mengatakan sanadnya adalah jayyid, (Sahih al-Tirmizi).
4. Berdoa dengan khusyuk, tadharru’ dan disertai dengan penuh pengharapan.
5. Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah s.w.t.
6. Tidak berdoa untuk keburukan seperti kecelakaan dan memutuskan silaturrahim.
7. Berdoa dengan mengucapkan Ya Rabb sebanyak tiga kali. Dari riwayat daripada Atha’ r.a beliau berkata: Tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali melainkan Allah s.w.t akan mendengar akan permintaannya. Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah s.w.t dalam doa tentang wajarkah atau tidak diseru dengan nama Sayyid. Jawab beliau: Katakanlah: Ya Rabb, kerana itulah panggilan para nabi a.s kepada Allah s.w.t dalam munajat mereka. (Fiqh al-Doa: Bab Doa Makbul).
8. Mengadap kiblat. Mengangkat kedua-dua belah tangan semasa berdoa kerana berdasarkan dalil: Anas bin Malik.
9. Berdoa dalam keadaan berwuduk.
10. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-namanya yang mulia iaitu Asmaulhusna.
11. Bertawasul dengan amal soleh yang pernah dilakukan.
12. Makanan dan minuman mestilah dari sumber yang halal dan bersih.
13. Hendaklah melakukan amal makruf dan nahi mungkar. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Demi Allah s.w.t yang jiwaku berada dalam tangan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar. Jika kalian tidak melakukannya Allah s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Turmuzi dan dianggap sebagai hasan.
14. Menghimpunkan kesemua anak jari melainkan ibu jari ini berdasarkan sebuah hadis sahih.
15. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa. Dalilnya Ibn Abbas berkata: Apabila kamu memohon kepada Allah s.w.t mohonlah dengan tapak-tapak tangan dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tangan kanan. (riwayat Abu Daud, Ibn Majjah dan al-Hakim).
Saad bin Majid menceritakan daripada bapanya memberitahu bahawa apabila Rasulullah berdoa, baginda akan menadah kedua belah tapak tangannya, kemudian menyapu dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.
Umar bin Al-Khatab pula menceritakan, apabila baginda mengangkat kedua belah tangannya ketika berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim.
16. Mengaminkan doa yang dibaca.

Sebahagian adab doa ini diambil daripada buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran; Khasiat dan Kaifiat Beramal oleh Zahazan Mohamed.
Firman Allah: Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak. Orang yang arif dengan syariat Allah dan sunah Allah terhadap makhluknya tidaklah bermaksud doanya kecuali hidayahnya dengan sebab kepada penghasilan segala matlamat dan mencapai maksud.

Sebagai contoh: Apabila seseorang memohon kepada Allah supaya rezeki bukan bermaksud turun hujan ke atasnya hujan emas dan perak. Apabila memohon sembuh penyakit, bukan bermaksud dia mencari adab sebaliknya untuk taufik kepada rawatan yang membawa kepada penyembuhan.

Ditegaskan oleh Sheikh al-Maghari: Siapa yang meninggalkan usia sebaliknya menuntut untuk didatangkan apa yang dihajati tanpa sebarang usia, maka ia dianggap tidak berdoa sebaliknya jahil. Ini kerana ia membatalkan segala sunah yang telah disunahkan Allah mengikut hukumnya terhadap makhluk.

Seperti yang diketahui, doa merupakan tuntutan serta bertawajuh dengan Allah dengan hati akan terkesan betapa perlu-Nya. Orang yang mengingati kebesaran Allah pasti mencapai matlamat doa. Sebab itulah Nabi s.a.w menamakan doa sebagai otak segala ibadah.
Dalam ayat ini Allah memperakukan penerimaan dengan syarat beriman dan yakin kepada-Nya. Orang yang mempunyai sifat tersebut sudah pasti mendapat petunjuk Allah s.w.t.
Iktibar dan pengajaran ayat:
1. Dekatnya Allah s.w.t dengan hamba untuk memberi pertolongan dan mengetahui keadaan mereka.
2. Doa merupakan otak ibadat dan senjata yang ampuh bagi orang Islam.
3. Bagi mentahqiqkan penerimaan doa hendaklah dilaksanakan dua syarat:
  • Beriman.
  • Melaksanakan segala arahannya sama ada yang fardu atau sunat dan meninggalkan segala larangannya.
* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Rapuhnya nilai akhlak manusia masa kini

Oleh Ustaz Zainudin Hashim

Islam satu-satunya agama (cara hidup) yang diperakui oleh Allah SWT yang diperuntukkan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia serta makhluk yang lain.

Islam yang menjadi mercu tanda kegemilangan di zaman Rasulullah s.a.w, kemudian disambung oleh para sahabat nabi, setelah itu diperpanjangkan oleh sistem pemerintahan Islam seperti pemerintahan Bani Umaiyah, ‘Abbasiyyah sehinggalah ke era pemerintahan Islam ‘Othmaniyyah di Turki.

Matlamat utama penubuhan negara Islam tersebut adalah untuk merealisasikan tuntutan agama menerusi al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi matlamat tersebut lenyap dengan berakhirnya negara Islam di Turki yang jatuh ke tangan British menerusi pengkhianat Islam iaitu Mustafa Kamal Atarturk. Di mana beliau menjadi dalang untuk melihat Islam dikikis dari bumi Turki.

Ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia kehilangan kepimpinan Islam dan mereka amat dahagakan kepimpinan tersebut, kerana teori barat ataupun isme ciptaan manusia yang sudah lama bertapak sejak puluhan malah ratusan tahun tidak mampu menjadikan manusia sebagai insan yang bertamaddun dalam segenap tindak-tanduk mereka.

Ini dapat dilihat kerakusan manusia dalam pentas dunia, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa, seolah-olah menggambarkan pihak yang kuat dan lantang menguasai yang lemah.

Kekuatan teknologi dan senjata nuklear menentukan segala-galanya, pengguguran bom di bumi Hiroshima dan Nagasaki membuktikan tindakan yang kejam.

Pencabulan Israel pada awal 80an di Sabra dan Shatila yang mengorbankan banyak nyawa, serangan Soviet Union (sekarang Russia) dan yang terkini serangan kuasa besar Amerika Syarikat ke atas bumi Afghanistan kononnya memerangi pengganas, sehingga ke hari ini Amerika tidak mampu mengemukakan sebarang bukti yang nyata bahawa Osama Bin Laden bertanggung-jawab memusnahkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon yang dikenali dengan peristiwa 11 september.

Peristiwa 11 September itu, seolah-olah dilihat sebagai batu loncatan buat Amerika untuk bertindak atas slogan hak asasi manusia. Akibatnya orang tua, wanita, kanak-kanak serta harta benda awam musnah hasil bedilan bom tercanggih Amerika. Ini juga menggambarkan seolah-olah bumi Afghanistan medan raptai segala ciptaan nuklearnya.

Amerika yang dianggap dunia sebagai sebuah negara maju dalam segenap bidang hidup, antaranya pencapaian teknologi maklumat, ekonomi,hiburan dan lain-lain, namun tidak mampu membendung jenayah di wilayah Amerika yang berlaku setiap detik seperti yang dilaporkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Hollywood yang mengaut keuntungan luar biasa hasil penjualan filem, dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada terhakisnya nilai akhlak di kalangan manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Sumbangannya itu tidak terbatas hanya kepada negara barat sahaja, malah menembusi pasaran Asia termasuklah Malaysia yang tidak terkecuali kerana Malaysia dianggap salah sebuah negara yang berpotensi dalam segala hal.

Kita tidak lupa rosaknya akhlak remaja di negara kita khasnya, adalah hasil hiburan yang mudah diperolehi, bermula di pawagam, pub-pub, internet, video-video lucah dan sebagainya yang memberi saham ke arah keruntuhan moral.

Fenomena ini merisaukan semua pihak, lebih-lebih lagi para ibu-bapa yang telah banyak mengeluarkan wang semata-mata untuk melihat agar anak mereka menjadi insan yang berguna pada satu hari nanti.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka lupa persekitaran yang ada tidak mampu menjamin suasana yang baik. Kerana persekitaran itu dicipta oleh penguasa, pemerintah atau pemimpin. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyatakan sikapnya iaitu “Rakyat bergantung kepada agama/pegangan pemimpin mereka”.

Justeru, umat Islam khasnya di segenap pelusuk dunia, mesti bersedia untuk kembali kepada ajaran Islam tulen, iaitu mendalami ilmu Islam seperti Usuluddin dan Syari’ah, sejarah Islam seperti sejarah hidup Rasulullah s.a.w, para nabi, para sahabat, para ‘ulamak serta tokoh-tokoh Islam.

Ini kerana semua maklumat tersebut dapat membantu daya tahan dalaman seseorang muslim, malah dapat menghilangkan krisis keyakian umat Islam terhadap agama mereka sendiri.

Membina Kemahiran Berfikir

BERFIKIR tidak saja suatu kegiatan akal tetapi ia boleh dibentuk sebagai suatu kemahiran. Kemahiran berfikir tidak datang begitu saja tetapi memerlukan latihan dan juga persiapan. fikir

Berfikir sekadar berfikir melihat sesuatu seadanya tidak mendatangkan apa-apa kemahiran. Tetapi sesuatu itu apabila ditanggapi berasaskan perspektif tertentu maka kemahiran mula terbentuk.

Melihat silih gantian siang dan malam, hujan dan panas, angin dan ribut seadanya tidak membimbing seseorang kepada kemahiran berfikir.

Tetapi apabila seseorang mula bertanya hikmah di sebalik hal-hal tersebut, kemahiran berfikir mula wujud. Mengagumi sumber-sumber alam yang banyak, keindahan pemandangan, debur ombak dan kicau burung boleh menjadi fenomena biasa. Ia akan menjadi suatu kemahiran apabila seseorang mula mengkaji secara tafakur dan tadabbur hikmah di sebalik kejadian tersebut. Ia mendorong tidak saja melihat sesuatu itu sebagai fenomena biasa tetapi ada rahsia yang boleh dikongsi tidak saja untuk menafaat kehidupan tetapi ada menafaat yang lebih tinggi dan murni.

Berfikir secara tafakur dan tadabbur tidak saja melihat sesuatu secara zahiri atau gambaran luaran seadanya tetapi ia membimbing manusia bertanya di sebalik adanya sesuatu tentu adanya proses penciptaan. Dan sesuatu itu tidak dicipta atau dijadikan atau wujud dengan begitu saja tetapi tentu bersebab. Walau pun keupayaan berfikir tidak mungkin mampu menjawab semua perkara tetapi ada pedoman asas yang membolehkan seseorang menghubungkan faktor kewujudan dengan faktor penciptaan dan faktor penciptaan sebagai sumber hikmah.

Oleh itu sebagai pemikir yang Islami, proses berfikir harus ditautkan dengan asas tauhid. Faktor tauhid menghubungkan kejadian sebagai ciptaan Allah. Sesuatu tidak terjadi tanpa hikmah tetapi sesuatu terjadi dan dicipta mempunyai maksud tertentu. Maksud itu boleh dikaji oleh akal manusia dalam batasan yang termampu. Dalam batas yang termampu manusia boleh sampai kepada suatu titik tentang keperkasaan dan kebesaran Allah s.w.t..

Apabila al-Quran dalam surah al-Alaq menyebutkan tentang kejadian manusia dari sebutir nutfah, ayat terawal dari Allah itu sudah membuka ruang fikir manusia tentang sains embriologi atau kejadian manusia. Apabila surah al- Mukminun: 12-14 mengisahkan bagaimana Allah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah, meletakkan air benih ‘pada tempat penetapan yang teguh kukuh’, kemudian menjadi sebuku darah beku, kemudian menjadi seketul daging, kemudian beberapa tulang, kemudian dibalut dengan daging-daging dan menjadi manusia yang sempurna.

Hikmah yang terungkap dari al-Quran ini mendorong pemikir mengembangkan pemikirannya dengan mengambil perspektif sains sebagai asas. Perspektif sains mendapati ungkapan al-Quran itu tidak bercanggah dengan kaedah dan dapatan sains moden.

Al-Quran, dalam Surah al-Mukminun ayat 18, menyebutkan tentang bagaimana Allah s.w.t. menurunkan hujan dengan sukatan yang tertentu serta ditempatkan air hujan itu tersimpan di bumi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa melenyapkannya. Ayat ini memberi perspektif berfikir mengenai matematik, geologi dan juga memahami kekuasaan Allah. Ayat ini kalau dikembangkan dalam pemikiran secara tafakur dan tadabbur, ia mampu membimbing seseorang kepada pemikiran sains yang Qurani.

Oleh itu kemahiran berfikir secara Islami tidak saja memanfaatkan potensi akliah dan indrawiah sebagai sumber mendapatkan ilmu dan maklumat yang berbagai tetapi apabila asas maklumat, ilmu itu dilihat menerusi jendela tafakur dan tadabbur, ia mampu membimbing pemikiran manusia di tahap tinggi. Pemikiran tahap tinggi inilah yang sering menghubungkan kemahiran berfikir tidak secara lepas bebas tetapi kemahiran berfikir yang ditautkan dengan memahami dan menginsafi tanda-tanda kebesaran dan keperkasaan Allah.

Bezanya orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam dalam membangun tradisi pemikiran ialah kemahiran berfikir, baik ia bersifat rasional, logik, reflektif, kreatif, lateral, kritikal atau saintifik tidak saja berkembang dalam potensi akal dan inderawi seadanya menerusi proses pemerhatian dan pengamatan serta uji kaji bagi melahirkan hipotesis, teori dan andaian tentang sesuatu tetapi ia dipandu oleh sumber naqliah atau wahyu sebagai pedoman memahami perkara yang nyata dan juga perkara yang ghaib.

Para remaja Islam perlu memahami asas kemahiran berfikir yang sifatnya integratif. Tidak mungkin remaja Islam mampu berfikir di tahap tinggi tanpa memahami al-Quran sebagai sumber dan sunah Nabi sebagai manifestasi amal Islami. Prasyarat untuk mengembangkan kemahiran berfikir walau dalam apa bentuk pun bermula dengan penguasaan ilmu.

Dengan mendalami ilmu tafsir dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya para remaja boleh membina kemahiran berfikir yang tidak saja mengambil pendekatan akliah dan inderawiah sebagai asas tetapi boleh dilanjutkan lebih jauh lagi supaya asas naqliah dapat dijadikan pedoman dalam membina kemahiran berfikir dalam perspektif yang berbagai.

Alam dan kehidupan, peristiwa dan kejadian adalah sumber-sumber yang amat relevan dalam mengembangkan kemahiran berfikir. Kemahiran berfikir akan subur kerana sentuhan pemikiran tidak saja kepada asas yang tersurat tetapi menjurus kepada hal-hal yang tersirat. Asas berfikir tidak saja melihat kepada fenomena sesuatu yang nyata tetapi juga merasakan nikmat iman mengenai sesuatu yang ghaib. Darinya mendekatkan pemikir kepada Pencipta dan Pengurus alam ini dan darinya lahir jiwa-jiwa yang muttaqin.

Asas berfikir tidak saja menanggapi sesuatu secara zahiri tetapi faktor batini juga diambil kira. Darinya lahir jiwa ihsan yang merasakan kemurnian makna kehidupan yang membolehkan remaja hidup secara sejahtera dan menginsafi bahawa remaja dijadikan oleh-Nya sebagai hamba dan khalifah untuk melaksanakan misi ibadullah dan ibadur rahman.

Jiwa iqra̢۪ yang menjadi asas kepada ditanzilkan al-Quran harus mendorong remaja tidak saja berfikir dalam perspektif yang dangkal. Berfikir secara zahiri yang tidak ditautkan dengan faktor batini menjadikan hasil pemikiran hambar. Jiwa iqra̢۪ harus memandu remaja melihat sesuatu dari jendela yang zahiri dan batini serta mendorong perspektif pemikiran didukung oleh nilai dan etika dan menyebabkan remaja merasai bahawa memahami faktor zahiri saja tidak cukup untuk mencari makna diri, kehidupan dan alam.

Berpandukan sumber nilai yang sifatnya Qurani, ia bakal memberikan kemahiran berfikir yang Islami dan remaja bakal menjadi pemikir yang tidak saja mampu menukil ilmu dan maklumat hasil adanya proses berfikir tetapi ilmu dan maklumat itu sifatnya mempedoman remaja ke arah jalan berfikir yang lebih fitrah.

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA - DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Kecederaan Akibat Kepanasan (Heat-Related Injury)




Info yg bagus untuk dikongsi bersama......
Cuaca panas dan tidak menentu yang melanda seluruh negara ketika ini merunsingkan semua. Di negeri-negeri sebelah utara, cuaca panas terik disusuli kemarau yang mengeringkan sungai-sungai dan juga sawah.

Sementara di Lembah Kelang pula, bahang panas tetap terasa sekali pun selepas hujan turun untuk seketika. Di kawasan Selatan dan Pantai Timur juga turut mengalami keadaan yang sama.

Monsun Timur Laut

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa terakhir Monsun Timur Laut yang mana cuaca lebih panas dan kering berbanding bulan Disember 2009 dan Januari 2010 lalu.

Secara perbandingan, suhu lebih tinggi pada Februari hingga April berbanding bulan lain. Suhu yang dicatatkan pada 1 hingga 23 Februari 2010 lalu menunjukkan antara 34oC hingga 36oC. Sedangkan purata suhu negara ini adalah sekitar 28oC hingga 33oC.


Rekod suhu paling tinggi pernah dicatatkan di negara ini pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis ialah 40.1oC iaitu ketika fenomena El-Nino melanda. Sementara itu, suhu maksimum juga pernah dicatatkan di tempat yang sama, Chuping dan Pulau Langkawi pada 21 dan 26 Februari 1998 dengan suhu 38.6oC.

Kadar Hujan

Sepanjang tempoh 1 hingga 23 Februari 2010 lalu juga, bacaan di 26 daripada 35 stesen meteorologi di seluruh negara menunjukkan hujan turun kurang daripada paras sederhana, 4 stesen pula pada paras sederhana dan hanya 5 melebihi paras itu.

Kawasan yang menerima hujan rendah adalah Perlis, Kedah (termasuk Pulau Langkawi), Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, Sabah (semua bahagian) dan Sarawak (Miri, Bintulu dan Limbang).

Heat-Related Injury

Terdapat tiga peringkat HRI berlaku iaitu:


1. Kejang akibat kepanasan (heat cramps)

* Sakit otot di bahagian abdomen, lengan dan kaki yang berlaku disebabkan oleh aktiviti berterusan.

* Badan tidak berpeluh ketika melakukan aktiviti berat yang berterusan menyebabkan anda terdedah kepada heat cramps.

* Perpeluhan melampau hingga menyebabkan garam dan cecair dalam badan kehabisan, menyebabkan paras garam rendah dalam otot.

* Heat cramps juga merupakan contoh lesu akibat kepanasan (heat exhaustion).


2. Lesu akibat panas (heat exhaustion)

* Bentuk ringan HRI yang boleh berlaku akibat beberapa hari terdedah kepada suhu tinggi dan tidak mendapat keseimbangan cecair dalam badan.

* Mereka yang berusia dan mempunyai tekanan darah tinggi serta berkerja atau bersukan di bawah terik mentari lebih terdedah kepada masalah ini.

* Tanda-tanda adalah berpeluh melampau, pucat, kejang otot, keletihan, lemah tubuh badan, pening-pening, sakit kepala, muntah, mabuk dan pengsan.

* Lain-lain simptom berkaitan - kulit sejuk dan lembap, denyutan jantung lemah atau laju, pernafasan lemah atau terlalu laju.

* Jika mengalami lesu akibat panas, sila ambil langkah ini : minum air kosong, jus buah-buahan atau minuman isotonik; rehat dalam kawasan pendingin hawa; mandi atau berendam dalam air; pakai pakaian nipis.


3. Strok panas (heat stroke)

Keadaan paling teruk bagi HRI. Biasanya disebabkan bersukan atau kerja berat di kawasan panas ditambah dengan cecair yang kurang dalam tubuh badan. Tanda-tanda mengalami heat stroke :

* Suhu badan terlalu tinggi (melebihi 40oC boleh menyebabkan pengsan)
* Kulit menjadi merah, panas dan kering (tiada peluh)
* Nadi kuat dan laju
* Kepala berdenyut-denyut
* Pening-pening, muntah, keliru, tidak sedar diri.

Kanak-kanak, orang tua, individu obes dan individu yang kurang berpeluh (akibat keturunan) berisiko tinggi mengalami masalah ini.

Bagi atlet yang mengalami keadaan ini di padang, tiba-tiba mereka hilang kawalan diri dan tidak memahami permainan. Atlet itu tidak sedar dia sedang mengalami keadaan strok panas, simptom hanya boleh dilihat oleh orang di sekelilingnya.

Rawatan strok panas - seandainya sukar untuk merendamkan mangsa dalam air sejuk gunakan kaedah ini :

# Mandikan mangsa dengan air sejuk
# Renjis air sejuk pada mangsa menggunakan pam air taman
# Span mangsa dengan air sejuk
# Letakkan beg ais pada leher, ketiak dan kawasan sulit
# Jika kelembapan rendah, balut mangsa dengan selimut basah dan sejuk dan kipas
# Jika mangsa sedar, beri dia minum air sejuk
# Pesakit perlu dibawa ke hospital untuk pemerhatian doktor sekali pun rawatan di padang berjaya.

Perhatikan suhu badan dan teruskan proses penyejukan hingga suhu badan menurun kepada 36oC atau 37oC (mangsa perlu dikeluarkan daripada air untuk menghalang penyejukan lampau apabila suhu stabil).

Dahaga Petanda Kekurangan Air

"Mengantuknya! Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak," rungut seorang rakan yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.


Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.


Dahaga
Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.

Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira 2 cawan cecair badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

Unsur Penting
Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65% air dan 55% bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.

Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70% berat otak, 75% berat jantung, 90% berat paru-paru dan 82% kandungan darah membabitkan air.

Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80% sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau 2 gelas air yang hilang melalui pernafasan.

Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya 8 gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berapa Banyak Air Diperlukan?

Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air atau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air melalui peluh.

Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.

Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.

Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.

Masalah Jika Kurang Air
Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.

Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.

Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul membentuk batu karang.

Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang, jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.

Kenapa Perempuan Lebih Banyak Menangis?

Kajian ilmiah menyatakan bahawa perempuan lebih banyak menangis 4 kali ganda berbanding lelaki. Ini kerana mereka memiliki kelenjar-kelenjar air mata yang bentuknya lebih besar daripada kelenjar-kelenjar air mata lelaki.


Para ilmuwan Amerika sampai pada kesimpulan bahawa menangis sangat berguna untuk kesihatan. Air mata yang asli, baik itu air mata bahagia atau air mata kesedihan dapat membantu mengembalikan keseimbangan kimia tubuh.

Perempuan lebih banyak menangis kerana mereka sering hanyut dalam tangisan. Mereka mengeluarkan tangisan dengan diiringi suara yang dapat didengar sebanyak 64 kali dalam setahun. Sedangkan lelaki hanya mampu menangis 17 kali dalam setahun.

Jenis air mata yang mengalir akibat tekanan perasaan (emosi) dari segi bentuk dan fungsinya adalah berbeza-beza. Air mata jenis ini merupakan reaksi kimia yang muncul sebagai tindak balas atas gejala-gejala emosi yang bercampur dengan perasaan. Dengan demikian, ia lebih penting daripada protein.

Menangis dapat meringankan kadar tekanan kejiwaan. Ini sangat berguna untuk kesihatan lebih-lebih lagi kita kerap mendengar pelbagai jenis penyakit yang disebut sebagai penyakit tekanan jiwa.

Faktor Panjang Usia

Para ilmuwan menegaskan bahawa menangis dapat menyebabkan panjangnya usia kaum hawa. Menurut mereka, air mata mengandungi peratusan racun yang dikeluarkan dari tubuh melalui tangisan. Perkara ini mengakibatkan tubuh akan bebas dari racun. Pakar doktor jiwa menegaskan bahawa menangis dapat menyelamatkan perempuan masa kini dari ketegangan urat saraf yang ia alami akibat banyaknya permasalahan yang harus dihadapi ketika menjalani rutin kehidupan.

Para doktor pakar mata juga berpendapat bahawa air mata berfungsi membasuh mata dan mengosongkannya daripada kandungan racun yang muncul akibat tegangnya urat saraf perasaan dan emosi yang selalu datang silih berganti.

Hormon Berbicara

Perempuan memiliki hormon yang dipanggil oksinosin. Para ilmuwan menamakannya sebagai hormon pengendalian watak. Hormon ini dianggap sebagai faktor terpenting di sebalik fenomena bersembangnya kaum perempuan dengan teman-teman ataupun keluarga mereka untuk menghilangkan stres dan bukan cara menyembunyikan diri atau melampiaskannya dengan tindakan yang zalim seperti yang dilakukan oleh lelaki.

Sahabat2ku.......