Menjamin Kesihatan Rohani Yang Baik
Assalamualaikum....
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Keluarga yang sihat rohani dibina di atas pengetahuan dan amalan agama, kasih sayang, saling hormat-menghormati, saling faham-memahami, bertolak ansur dan bertanggungjawab.
Manusia mempunyai rohani. Kita perlu mengetahui siapa diri kita dan mengapa kita dijadikan. Memiliki kerohanian yang sihat membolehkan kita menjalani kehidupan seharian secara memuaskan lagi bermakna. Bagi sesetengah orang kerohanian memberi maksud mempercayai Yang Maha Kuasa dan kehidupan di hari kemudian. Ini memberi kesan kepada kekuatan dalaman, ketenangan, keselesaan dan perasaan kasih sayang. Kesihatan rohani juga mendekatkan seseorang kepada Yang maha Pencipta dan alam semesta. Menurut Al Ghazali fungsi roh antara lain adalah untuk mengenali siapa pencipta, lantas menyayangi dan mendekatkan diri kepadaNya.
Kesihatan rohani merujuk kepada tahap keimanan kita yang tinggi. Kita cepat sedar tentang kesilapan yang akan kita lakukan dan kita dapat mempertimbangkan untuk tidak mahu melakukan perkara yang salah di dalam kehidupan kita sehari-hari. Kesemua ini kita lakukan kerana kita sedar bahawa kita adalah hamba kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Rohani kita sihat apabila kita merasakan bahawa amalan kita diterima oleh Allah (kerana kita telah melakukannya bersungguh-sungguh dan dengan penuh ikhlas) dan kita menyerahkan segala takdir yang telah ditentukanNya. Kesihatan emosi pula ialah bagaimana kita boleh merasakan keselesaan dan ketenangan tentang diri dan persekitaran kita. Ia melibatkan keupayaan perasaan kita untuk menerima kelemahan dan kekuatan diri, mewujudkan perhubungan dengan orang dan persekitaran kita dan bagaimana kita dapat menangani perkara yang mendatangi diri kita. Emosi kita sihat apabila kita bebas dari tekanan yang kuat, kebimbangan yang tinggi, atau kecelaruan berperasaan.
Kepercayaan yang positif serta ketenangan yang diperoleh dari kerohanian banyak menyumbang kepada kesejahteraan jiwa dan pandangan hidup yang positif. Mempercayai dan meyakini tentang kewujudan Yang Maha Kuasa menjadikan seseorang itu sentiasa bersyukur, bertawakal dan redha. Manusia menjadi lebih bersyukur di saat bahagia dan tenang serta rasa ada tempat berdoa di kala mengalami duka nestapa.
Gabungan kukuh antara kesihatan emosi dan rohani menerbitkan kecergasan positif yang bersandarkan kepada nilai-nilai baik seperti kejujuran, bertanggungjawab, berpandangan jauh, boleh bekerjasama, adil dan mengambil berat.
Namun demikian adalah penting untuk seseorang itu menyedari akan kewujudan perasaan-perasaan yang boleh menyumbang kepada kecelaruan rohani seperti sombong, bermegah-megah dan riak.
Mereka yang mempunyai kesihatan emosi dan rohani yang stabil akan berkeupayaan untuk mengawal nafsu, emosi dan tingkah lakunya. Mereka yang stabil rohani dan emosi boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran bisikan syaitan dan desakan nafsu jahat yang datang dalam hidupnya, boleh membina perhubungan yang kuat dan mesra dengan orang yang berada di sekelilingnya, sentiasa berperasaan positif dalam setiap perkara yang dilaluinya dan mudah pulih dari malapetaka atau kesedihan yang dialaminya. Bagaimana seseorang itu dapat menjaga kesihatan fizikalnya begitu pulalah sepatutnya yang berlaku kepada aspek kesihatan rohani dan emosinya. Kesihatan rohani dan emosi akan menjana sikap, sifat dan perlakuan yang baik di dalam diri dan seterusnya akan menjadikan seseorang itu berjaya dan bahagia di dalam kehidupannya. Kali ini saya berikan tip untuk mengurus rohani dan emosi.
Kehidupan yang sihat dan berjaya memerlukan pengisian berikut:
- Kepintaran pelbagai Kebolehan berfikir secara logik dan rasional tidak menyumbang kepada kepintaran menyeluruh. Howard Gardner telah memperkenalkan konsep kepintaran pelbagai yang merangkumi aspek seperti kepintaran bahasa (contoh: kemahiran menghasilkan puisi); logik dan diterima akal dan matematik (contoh: ahli sains); muzik (contoh: penggubahan lagu); ruang (contoh: pengukir, juruterbang); gerakan (contoh: penari, ahli sukan); antara manusia (contoh: guru, jurujual); sesama manusia (contoh: dalam lingkungan diri sendiri); dan kepintaran alam semula jadi (contoh: pemburu).
- Kepintaran emosi Kepintaran emosi seperti yang ditakrifkan oleh Daniel Goldman membawa maksud kebolehan untuk meletakkan diri di dalam kedudukan orang lain.
- Kepintaran rohani Kepintaran rohani pula bermaksud kepintaran yang menjadikan diri kita lengkap dan sempurna (Donah Zohar).
- Kemampuan intelek ("apa yang saya fikirkan")
- Kemampuan emosi ("apa yang saya rasakan")
- Kemampuan rohani ("siapa saya? mengapa saya berada di sini")
Langkah mencapai kesihatan rohani yang baik
1. Fahami kesihatan rohani menerusi- Kefahaman yang betul mengenai kehidupan di dunia ini
- Kepercayaan yang jitu mengenai Yang Maha Kuasa, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
- Ibadat sebagai perantaraan hubungan rapat antara manusia dengan penciptaNya.
- Bertafakur
- Membaca buku-buku agama, berzikir dan berwirid
- Menyanyikan lagu-lagu kerohanianMendekati diri dengan alam ciptaanNya
- Menglibatkan diri dan menghadiri aktiviti kerohanian dan keagamaan
2. Memahami kehidupan sebagai perjalanan rohani
- Memberi makna yang positif terhadap semua aktiviti yang dilakukan.
- Jujur serta ikhlas
- Menunjukkan perasaan kasih dan sayang
- Keluar dari kepompong mementingkan diri sendiri
- Mudah bersedekah dan memberi maaf
- Bersyukur dan menghargai
- Boleh menyumbang tenaga tanpa berkira kepada yang memerlukan
Kesihatan rohani membuat seseorang menjadi lebih redha dan tawakal.
4. Kematian
- Menerima ketentuan bahawa jasad akan mati tetapi rohani berkekalan.
- Memahami kewujudan emosi semasa meratapi kehilangan dan kematian seperti menolak dan menerima hakikat, marah, bernazar, sedih dan murung.
Contohilah sikap Rasulullah SAW...... Apa yang lebih penting selain ikhtiar lahiriah, Rasulullah SAW sangat mantap dalam ibadah ritualnya, khususnya solat. Baginda SAW juga memiliki keterampilan sempurna dalam mengawal emosi, fikiran dan hati. Penelitian-penelitian terkini dalam bidang kesihatan membuktikan bahwa kemampuan dalam mengawal hati, fikiran dan perasaan, serta hubungan yang mantap dengan Zat Yang Maha Tinggi akan menentukan kualiti kesihatan seseorang, jasmani dan rohani. In sya Allah.