F

Khasiat Dari Pokok Kari


Assalamualaikum....

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Entri pasal daun kari yer..... boleh dikatakan pokok kari ni kat rumah mesti ada. Lagi pun pokok kari ni senang sangat ditanam.... ambik bijinya dan semai.... in sha Allah.... tumbuh.... Dah tu bila bijinya jatuh ke tanah..... tahu2 dah bertunas lagi....senang sgt nak tanamnye..
Rasulullah saw. Bersabda:    "Seorang Muslim yang menanam pohon atau tanaman-tanaman, lalu sebahagian hasilnya dimakan burung, manusia, atau binatang, maka orang yang menanam itu mendapat pahala". (HR Anas r.a)
Saya sendiri suka buat pes daun kari..... Giling @ tumbuk daun kari, kelapa, daun pudina dan campurkan sedikit perahan limau, ditambah sedikit garam. Boleh dimakan bersama nasi panas dan juga makanan lain seperti roti. Cuba lah mana tau berselera!

Pokok kari berasal dari India dan Sri Lanka. Nama Saintifiknya Murraya Koenigii. Daunnya diguna sebagai rempah dalam masakan terutamanya dalam masakan kari, rasam, chutney, murukku dan sebagainya.

Pokok kari boleh tumbuh sehingga ketinggian antara 4 hingga 6 meter, dengan ukur lilit batang yang boleh membesar sehingga 40cm. Daunnya menyirip dengan 11-21 helaian pada satu-satu sirip atau lebaran, setiap helaian daun berukuran antara 2-4 cm panjang dan 1-2 cm lebar. Daun kari sangat aromatik.

Hasil kajian mendapati daun kari mengandungi:
66.3% kelembapan
6.1% protein
1.0% lemak
16.0% karbohidrat
6.4% fiber

Daun kari juga mengandungi mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan vitamin C. Ia juga mengandungi volatile oil dan sejenis glukosid yang dipanggil koenigiin.

Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan Ayurveda di India. Daun kari mempunyai nilai sebagai antioksidan, anti-diabetes, antimikrob, anti-inflamasi, Hepatoprotektor, anti-hiperkolesterolemia dan lain-lain lagi. Daun kari juga dikatakan baik untuk penjagaan rambut yang panjang dan sihat. Selain dari itu daun kari juga dapat mencegah uban. Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Pucuk daun muda juga boleh dibuat ulam.

Daun kari boleh dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif (julap) lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir.

Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening terutamanya akibat makan lemak yang berlebihan. Caranya dengan mencampurkan satu sudu teh jus daun kari dan satu sudu teh jus limau nipis. Daun kari juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan penyakit gonorea (gonorrhea), menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita mengandung.

Air rebusan kulit batangnya yang kering dapat digunakan untuk mengubat diabetes. Amalan memakan 10 helai daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis yang disebabkan oleh keturunan dan kegemukan.

Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman boleh dihancurkan dan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daunnya yang dihancurkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak dengan cara menampalnya pada bahagian yang sakit.

Daun kari juga berkesan menyembuhkan penyakit cirit-birit dan penyakit najis berdarah yang juga disebut disentri. Daun kari dan akarnya juga dikatakan baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.

Buat teh dari daun kari yang kering dan minum airnya. Khasiatnya dapat menambah selera makan dan mengurangkan muntah-muntah.

Walaupun terdapat pelbagai kegunaan tumbuhan ini, namun penggunaannnya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan untuk mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.

Wallahu a'alam.
1 Response
  1. Ayu Says:

    wau nice info..baru tahu daun kari ni banyak gunanya


Sahabat2ku.......