Bila anak menyusu, Si Ayah Janganlah merajuk!!!
Memandangkian sy baru sahaja beranak kecil lagi...maka artikel di bawah ni mmg sesuai untuk ibu2 dan kaum bapa khususnya.....Menarik sekali.
Ramai juga kaum ayah yang merungut, apabila si anak asyik menyusu dengan ibunya, si ayah rasa tersisih seolah tidak diperlukan. Janganlah merajuk wahai si ayah! Ikatan kasih sayang terhadap seorang anak tidak lengkap jika hanya dicurahkan oleh si ibu. Kasih sayang ayah memang amat diperlukan dan ini dapat meringankan beban buat si ibu terutama dalam menjalani bulan-bulan awal kelahiran.
Memang hampir 50 peratus masa bayi yang baru lahir akan dihabiskan bersama ibunya. Masa ini kebanyakannya dihabiskan semasa bayi menyusu dengan si ibu. Si ayah akan mengatakan: 'Untunglah si ibu kerana semasa proses penyusuan, si anak dapat lebih mengenali ibunya. Apa tidaknya, masa menyusu anak akan dapat menyentuh ibu, mencium bau ibu, merasa aliran susu ibu dan terus terlena dalam dakapan ibu. Semua kredit dihadiahkan buat ibu.' Begitulah antara luahan rasa hati seorang ayah.
Namun hakikatnya, banyak lagi peranan yang dapat dimainkan oleh ayah bagi menyempurnakan curahan kasih sayang terhadap si anak. Si ayah boleh memandikan anak. Belailah anak kecil ini dengan penuh kasih sayang. Selepas memandikan atau apabila bayi hendak tidur, si ayah boleh mengurut bayi agar bayi berasa selesa, nyaman dan selamat untuk berehat. Selepas bayi selesai menghisap susu, si ayah boleh mengambil alih tugas menyendawakan bayi. Bila perutnya sudah kenyang, pasti ada 'hasil' yang dikeluarkan dan si ayah boleh membantu membersihkan bayi. Sebenarnya memang banyak aktiviti yang boleh dikongsi bersama seorang ayah dengan bayinya. Kesemua aktiviti ini melibatkan setuhan kulit ke kulit. Ingatlah sentuhan kulit ke kulit amat penting dalam membina ikatan kasih sayang. Kelebihan ini bukanlah hak mutlak seorang ibu sahaja.
Oleh kerana itu wahai sang ayah, tempoh cuti 'Paternity' yang diberikan janganlah disia-siakan. Ambillah peluang ini sepenuhnya untuk mengenali anak anda. Jangan biarkan si ibu keseorangan mengendalikan segalanya tentang si anak. Pada hari-hari bekerja yang lain, cubalah pulang ke rumah seawal mungkin untuk sama-sama melalui hari-hari awal membesarkan anak. Pasti, segala kasih sayang yang dicurahkan ini akan mendapat hasil yang setimpal, jika tidak dari anak itu sendiri, kepuasan diri sendiri kerana dapat melaksanakan yang terbaik pasti dikecapi. InsyaAllah segala usaha murni yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat balasan yang baik, jika tidak di dunia, di akhirat kelak pasti.