Kecederaan Akibat Kepanasan (Heat-Related Injury)
Info yg bagus untuk dikongsi bersama......
Cuaca panas dan tidak menentu yang melanda seluruh negara ketika ini merunsingkan semua. Di negeri-negeri sebelah utara, cuaca panas terik disusuli kemarau yang mengeringkan sungai-sungai dan juga sawah.
Sementara di Lembah Kelang pula, bahang panas tetap terasa sekali pun selepas hujan turun untuk seketika. Di kawasan Selatan dan Pantai Timur juga turut mengalami keadaan yang sama.
Monsun Timur Laut
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa terakhir Monsun Timur Laut yang mana cuaca lebih panas dan kering berbanding bulan Disember 2009 dan Januari 2010 lalu.
Secara perbandingan, suhu lebih tinggi pada Februari hingga April berbanding bulan lain. Suhu yang dicatatkan pada 1 hingga 23 Februari 2010 lalu menunjukkan antara 34oC hingga 36oC. Sedangkan purata suhu negara ini adalah sekitar 28oC hingga 33oC.
Rekod suhu paling tinggi pernah dicatatkan di negara ini pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis ialah 40.1oC iaitu ketika fenomena El-Nino melanda. Sementara itu, suhu maksimum juga pernah dicatatkan di tempat yang sama, Chuping dan Pulau Langkawi pada 21 dan 26 Februari 1998 dengan suhu 38.6oC.
Kadar Hujan
Sepanjang tempoh 1 hingga 23 Februari 2010 lalu juga, bacaan di 26 daripada 35 stesen meteorologi di seluruh negara menunjukkan hujan turun kurang daripada paras sederhana, 4 stesen pula pada paras sederhana dan hanya 5 melebihi paras itu.
Kawasan yang menerima hujan rendah adalah Perlis, Kedah (termasuk Pulau Langkawi), Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, Sabah (semua bahagian) dan Sarawak (Miri, Bintulu dan Limbang).
Heat-Related Injury
Terdapat tiga peringkat HRI berlaku iaitu:
1. Kejang akibat kepanasan (heat cramps)
* Sakit otot di bahagian abdomen, lengan dan kaki yang berlaku disebabkan oleh aktiviti berterusan.
* Badan tidak berpeluh ketika melakukan aktiviti berat yang berterusan menyebabkan anda terdedah kepada heat cramps.
* Perpeluhan melampau hingga menyebabkan garam dan cecair dalam badan kehabisan, menyebabkan paras garam rendah dalam otot.
* Heat cramps juga merupakan contoh lesu akibat kepanasan (heat exhaustion).
2. Lesu akibat panas (heat exhaustion)
* Bentuk ringan HRI yang boleh berlaku akibat beberapa hari terdedah kepada suhu tinggi dan tidak mendapat keseimbangan cecair dalam badan.
* Mereka yang berusia dan mempunyai tekanan darah tinggi serta berkerja atau bersukan di bawah terik mentari lebih terdedah kepada masalah ini.
* Tanda-tanda adalah berpeluh melampau, pucat, kejang otot, keletihan, lemah tubuh badan, pening-pening, sakit kepala, muntah, mabuk dan pengsan.
* Lain-lain simptom berkaitan - kulit sejuk dan lembap, denyutan jantung lemah atau laju, pernafasan lemah atau terlalu laju.
* Jika mengalami lesu akibat panas, sila ambil langkah ini : minum air kosong, jus buah-buahan atau minuman isotonik; rehat dalam kawasan pendingin hawa; mandi atau berendam dalam air; pakai pakaian nipis.
3. Strok panas (heat stroke)
Keadaan paling teruk bagi HRI. Biasanya disebabkan bersukan atau kerja berat di kawasan panas ditambah dengan cecair yang kurang dalam tubuh badan. Tanda-tanda mengalami heat stroke :
* Suhu badan terlalu tinggi (melebihi 40oC boleh menyebabkan pengsan)
* Kulit menjadi merah, panas dan kering (tiada peluh)
* Nadi kuat dan laju
* Kepala berdenyut-denyut
* Pening-pening, muntah, keliru, tidak sedar diri.
Kanak-kanak, orang tua, individu obes dan individu yang kurang berpeluh (akibat keturunan) berisiko tinggi mengalami masalah ini.
Bagi atlet yang mengalami keadaan ini di padang, tiba-tiba mereka hilang kawalan diri dan tidak memahami permainan. Atlet itu tidak sedar dia sedang mengalami keadaan strok panas, simptom hanya boleh dilihat oleh orang di sekelilingnya.
Rawatan strok panas - seandainya sukar untuk merendamkan mangsa dalam air sejuk gunakan kaedah ini :
# Mandikan mangsa dengan air sejuk
# Renjis air sejuk pada mangsa menggunakan pam air taman
# Span mangsa dengan air sejuk
# Letakkan beg ais pada leher, ketiak dan kawasan sulit
# Jika kelembapan rendah, balut mangsa dengan selimut basah dan sejuk dan kipas
# Jika mangsa sedar, beri dia minum air sejuk
# Pesakit perlu dibawa ke hospital untuk pemerhatian doktor sekali pun rawatan di padang berjaya.
Perhatikan suhu badan dan teruskan proses penyejukan hingga suhu badan menurun kepada 36oC atau 37oC (mangsa perlu dikeluarkan daripada air untuk menghalang penyejukan lampau apabila suhu stabil).