Hubungan Baik antara sesama Manusia
Artikel yg perlu dikongsi bersama.... sedangkan sesama haiwan pun kita sebagai insan mesti menjaga dan tidak menyakiti...inikan pula sesama manusia.... |
Di samping perhubungan manusia dengan Allah, Islam menitikberatkan juga perhubungan antara manusia dengan manusia. Allah s.w.t berfirman, maksudnya, “Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana-mana pun mereka berada (tanpa kemuliaan dan keamanan) kecuali (mereka berada) dengan tali (agama) daripada Allah dan tali (perdamaian) dengan manusia”. (Ali ‘Imran : 112). Apabila disebut, perhubungan baik dengan manusia, maka skop perhungan itu bukan di kalangan manusia semata, tetapi meliputi alam_makhluk yang bernyawa dan yang tidak bernyawa_yang ternyata merupakan komponan atau mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan manusia. Sudah menjadi kenyataan, apabila tidak ada perhubungan baik antara manusia dengan alam, misalnya sekelompok manusia melakukan kerosakan di mana-mana di atas muka bumi ini, maka berlakukah gejala alam yang bukan saja mejejaskan kehidupan kelompok manusia itu sendiri malah kelompok-kelompok manusia yang lain. Pemeliharaan alam ini jelas menjadi kewajipan dan tanggungjawab manusia, kerana Allah menjadikan manuisa sebagai khlifah di muka bumi ini (Maksud ayat 30, surah al-Baqarah). Dalam konteks perhubungan baik antara sesama manusia, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya, “Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kalian daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa), dan Kami jadikan kalian berbagai bangsa dan suku agar kalian saling kenal-mengenali (antara satu sama lain)”. (al-Hujurat : 13). Perhubungan manusia dengan Allah pula merupakan tujuan pokok manusia didiciptakan- Nya. Allah berfirman, bermaksud, “Dan aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku”. (al-Dzariat : 56). Tentang perhubungan baik yang khusus antara sesama manusia di kalangan ummah, iaitu persaudaraan seagama (ukhuwah Islamiyyah), Islam memperuntukkan peraturan atau undang-undang dalam sistem kehidupan sosial yang adil dan harmoni yang disebut sebagai Syari'at Islamiyyah. Semua perkara dalam hal ini terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Dan, semuanya adalah untuk kebaikan, kebajikan, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia seluruhnya, di dunia dan akhirat. Untuk kesejahteraan ummah, Islam menganjurkan penganutnya agar saling menjalinkan kasih sayang (mahabbah), hormat-menghormati, bekerjasama, bertimbangrasa, tolong-menolong, nasihat-menasihati, berbaik-baik sangka antara satu sama lain. Antara firman-firman Allah yang berkaitan ialah: ”Hai orang-orang beriman, janganlah berolok-olok satu kaum kepada kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang diprolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan itu), jangan juga wanita-wanita kepada wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada wanita-wanita (yang mengolok-olokkan itu), janganlah kalian mencela diri kalian sendiri dan janganlah kalian panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk.… Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya kebanyakan prasangka itu adalah dosa. Janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kalian memakan daging saudaranya yang mati?". (al-Hujurat : 11 dan 12). Demikianlah, larangan Allah. Umat islam, bukan sahaja dilarang daripada melakukan perlakuan atau tindakan yang boleh mencederakan fizakal atau mengorbankan nyawa orang lain, tetapi juga ditegah daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati atau boleh memutuskan tali perhubungan. Sebaliknya, Islam menekankan galakan agar manusia melakukan apa sahaja perbuatan yang akan menyenangkan hati dan membahagiakan kehidupan manusia yang lain. Sehinggakan senyuman kepada seseorang itu dikira sebagai satu sedekah (Maksud Hadis). Islam menggalakkan perpaduan ummah. Allah berfirman, mafhumnya : "Sesungguhnya segala orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara yang bersengketa". (al-Hujurat : 10). Rasulullah bersabda, "mukmin dengan mukmin itu umpama bangunan, sebahagiannya saling berkaitan dengan bahagian yang lain"; dan "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri". Untuk mengekalkan perpaduan ummah, Islam melarang sebarang perbuatan yang merupakan penindasan, penipuan atau penganiyaan antara satu sama lain, seperti rasuah, menyorok barang jualan, menabur fitnah, menghadu-dumba, makan riba, makan harta anak yatim dan sebagainya. Dilarang juga umat Islam melayani nafsu dan membiarkan hati dijangikiti penyakit mazmumah seperti hasad, tamak, riyak, 'ujub, takabbur dan sebagainya. Di samping mendatangkan manfaat duniawi, jalinan persaudaraan sesama penganut Islam itu juga akan menghasilkan manfaat ukhrawi. Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Barangsiapa menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam syurga". Mu'az bin Jabal meriwayatkan: Rasulullah bersabda (maksudnya): "Suatu kelompok manusia pada hari kiamat kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arasy. Wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul-qadar. Waktu itu manusia panik sedangkan mereka tidak berasa panik dan manusia takut padahal mereka tidak berasa takut. Mereka itu adalah aulia Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir". Lalu Mu'az bertanya: "Siapakah aulia itu, ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah". (Riwayat Ahmad dan Hakim) Abu Hurairah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Allah berfirmaan pada hari kiamat: 'Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apa pun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku'". Maksud persaudaraan kerana Allah itu ialah persaudaraan yang berasakan matlamat menegakkan kalimah Allah, mempertahnkan kebenaran (hak) dan menentang kebatilan. Mereka yang terlibat menjalinkan cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah (Maksud Hadis, riwayat Ibnu Hibban dan Hakim daripada Anas bin Malik). |
Meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Allah berfirmaan pada hari kiamat: 'Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apa pun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku'". Maksud persaudaraan kerana Allah itu ialah persaudaraan yang berasakan matlamat menegakkan kalimah Allah, mempertahankan kebenaran (hak) dan menentang kebatilan. Mereka yang terlibat menjalinkan cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah (Maksud Hadis, riwayat Ibnu Hibban dan Hakim daripada Anas bin Malik).