F

Makanan tambahan bukan satu keperluan

Terpanggil untuk berkongsi artikel ini....moga ada manfaatnya ya...

AWAS... pengambilan makanan tambahan secara berlebihan boleh meninggalkan kesan pada kesihatan. - Gambar hiasan.

JIKA anda seorang individu yang sihat, mengamalkan pengambilan makanan seimbang dan menjalani gaya hidup sihat, `lupakan' saja tentang makanan tambahan. Ini kerana pemakanan seimbang yang lengkap dengan karbohidrat, protein, serat, air dan sedikit lemak setiap hari sudah memadai untuk memenuhi keperluan seorang individu.
``Seorang individu yang sihat sebenarnya tidak memerlukan makanan tambahan kerana makanan yang dimakan mempunyai komponen semula jadi yang diperlukan tubuh.
 ``Tabiat makan mengikut masa, kuantiti makanan yang betul dan kandungan makanan semula jadi yang mengandungi pelbagai khasiat berbeza-beza telah memadai,'' demikian menurut Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Abu Bakar Majeed.

Sebaliknya, pengambilan makanan tambahan dalam jangka masa panjang secara berlebihan boleh meninggalkan kesan pada kesihatan.
Sebagai contoh, kromium pikolinat boleh menyebabkan kanser, manakala kalsium, vitamin C dan zat besi boleh meninggalkan kesan sekalipun diambil dalam jangka masa pendek.
Agensi Piawaian Makanan (FSA), di Britain menyatakan, vitamin C yang diambil lebih 1,000 miligram (mg) dan kalsium 1,500mg sehari boleh menyebabkan kesakitan pada abdomen dan cirit-birit.
Begitu juga dengan vitamin B6, pengambilan melebihi 10mg sehari hanya dibolehkan sekiranya mendapat nasihat doktor.
Secara umum menurut Abu Bakar, dari perspektif dunia perubatan, makanan tambahan hanya diperlukan apabila seseorang itu sakit atau didiagnos doktor menghidap masalah kesihatan tertentu.
Sebagai contoh, individu terbabit mungkin mengalami masalah kekurangan darah atau tidak boleh makan.
``Golongan ini akan diberi makanan tambahan dalam bentuk cecair seperti protein, kacang soya dan sebagainya dimasukkan ke dalam tubuh seseorang secara terus melalui intravena,'' jelasnya.
Makanan tambahan atau food supplement merupakan sejenis produk yang bukan dikategorikan sebagai ubat dan diambil sebagai membantu pemakanan. Secara asas, makanan tambahan tidak boleh dijuruskan kepada jenis kandungan, tetapi apa yang boleh dimanfaatkan daripadanya.
Abu Bakar menjelaskan, ada beberapa pendapat mengapa makanan tambahan diwujudkan.
Pertama, trend pada masa kini lebih berorientasikan makanan segera, menyebabkan makanan tambahan seolah-olah satu keperluan yang tidak harus dipinggirkan.
Kedua, seiring dengan gaya hidup masa kini, makanan yang telah diproses dalam bentuk kapsul atau tablet untuk memudahkan pengguna.
Ketiga, tahap pencemaran persekitaran yang tinggi menyebabkan tubuh lebih terdedah kepada gejala yang merosakkan sel dengan pantas.
``Alasan-alasan seumpama hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan psikologi bagi menguatkan hujah dan dakwaan mereka supaya pengguna meletakkan makanan tambahan sebagai satu keperluan,'' katanya.
Beliau tidak menafikan asakan dari pembekal, menyebabkan pengguna boleh menerima dakwaan dan maklumat berhubung makanan tambahan.
Malah, cara mereka mempromosi, membungkus produk sama ada dalam bentuk dos, kapsul, tablet dan sebagainya mudah menarik pelanggan.
Tambah beliau, mereka yang cuba mengiklankan sesuatu jenis produk seolah-olah mereka tahu segala-galanya dengan memberi pandangan atau keyakinan kepada pengguna boleh dikenakan tindakan.
``Mempromosikan sesuatu produk tanpa bukti yang kukuh merupakan satu tindakan yang salah di sisi undang-undang,'' ujarnya.
Menurut Akta Iklan dan Jualan Ubat 1956, mereka yang mempromosikan makanan tambahan tidak boleh mengaitkan penyembuhan penyakit-penyakit berikut:
- Penyakit yang membabitkan buah pinggang
- Penyakit yang membabitkan jantung
- Diabetes
- Epilepsi
- Lumpuh
- Batuk kering
- Asma
- Kusta
- Kanser
- Kepekakan
- Penagihan dadah
- Hernia
- Penyakit yang berkaitan dengan mata
- Hipertensi
- Penyakit mental
- Masalah ketidaksuburan
- Masalah seksual wanita
- Masalah fungsi seksual
- Penyakit berjangkit yang disebabkan hubungan seksual
- Masalah sistem saraf yang dikaitkan dengan kegagalan hubungan seksual. 
Menurut Abu Bakar, sesetengah produk makanan tambahan tidak mempunyai kajian saintifik bagi membuktikan bahawa produk yang dijual benar-benar berkesan seperti didakwa.
``Jika diteliti, kita belum pernah melihat satu kajian pun yang mengatakan bahawa kehidupan individu yang mengamalkan makanan tambahan lebih baik berbanding mereka yang tidak mengamalkan makanan tambahan,'' katanya.
Begitu juga dengan penyakit Alzheimer yang dikaitkan dengan pengambilan vitamin C atau E boleh mengurangkan risiko penyakit ini.
Sebaliknya, apa yang lebih nyata ialah mereka yang banyak melakukan senaman otak seperti banyak membaca, berfikir, kemungkinan menghidap penyakit Alzheimer rendah.
Begitu juga dengan warga tua, selagi mereka sihat, golongan ini tidak memerlukan makanan tambahan.
``Makanan tambahan hanya diperlukan jika mereka mengalami masalah kesihatan, itu pun berdasarkan preskripsi doktor,'' katanya.
Kata beliau, sekalipun tanpa makanan tambahan, amalan gaya hidup sihat adalah rahsia untuk kekal sihat.
Oleh NAJIBAH HASSAN (Utusan Malaysia)
0 Responses

Sahabat2ku.......